Until Death Do Us Part - Jonas

Rabu, Mac 04, 2009

#200. Isu : Peranan TV bangunkan industri animasi negara


SOKONGAN awal daripada stesen TV tempatan banyak membantu kejayaan program dan filem animasi seperti Geng: Pengembaraan Bermula.

Stesen swasta wajar mainkan peranan secara aktif bantu pasarkan, promosi karya tempatan.

SEHINGGA Ahad lalu, filem animasi buatan tempatan, Geng: Pengembaraan Bermula mencatatkan kutipan kasar RM4.8 juta iaitu selepas dua minggu ditayangkan iaitu pada 12 Februari lalu.Nampaknya sasaran penerbitnya untuk mencatatkan kutipan RM5 juta hampir tercapai. Mereka kini mengharapkan filem Geng: Pengembaraan Bermula mampu mencatatkan kutipan lebih baik lagi berdasarkan kepada permintaan orang ramai yang masih tinggi.

Dalam perbualan dengan Pengarah Kreatif & Pemasaran Les Copaque Production Sdn Bhd, Mohd Nizam Abd Razak, sasaran untuk mencapai kutipan RM10 juta masih jauh kerana pihak panggung sudah mengurangkan jumlah panggung yang menayangkan filem ini. Malahan, di sesetengah tempat, pihak panggung sudah menukar dewan tayangan yang lebih kecil, untuk memberi laluan kepada filem lain.

Bagaimanapun, katanya, kalau permintaan masih tinggi sehingga musim cuti sekolah pada minggu depan, pemilik panggung bersetuju untuk menambah dewan tayangan.

“Sebenarnya, pihak panggung juga mengakui filem Geng ini masih mendapat permintaan yang tinggi. Mereka mengatakan kutipan filem Geng ini jauh lebih baik daripada filem luar negara.

“Tapi disebabkan sudah ada perjanjian dengan pengedar filem luar, menyebabkan pihak panggung terpaksa mengurangkan dewan tayangan atau menukar ke dewan tayangan lebih kecil,” kata Nizam.

Kita tumpang bangga dengan pencapaian filem Geng: Pengembaraan Bermula. Tahniah kepada Nizam dan tenaga produksinya dan syarikat Les’Copaque kerana berjaya tidak putus asa untuk menyiapkan filem animasi itu walaupun mengambil masa lama dan menghadapi masalah kewangan.

Kita mula mengenai Nizam dan dua rakannya, Muhammad Usamah Zaid iaitu penyelia teknikal dan Mohd Anas Abdul Aziz yang bertindak sebagai pengarah, dalam satu jamuan ringan selepas Anugerah Filem Pendek Malaysia (AFP) anjuran Filem Negara dan RTM pada tahun 2006.

Ketika menyertai AFP 2006, mereka menggunakan judul Geng: The Beginning. Filem ini menang Filem Terbaik bagi kategori Filem Animasi, manakala Mohd Anas sebagai Pengarah Animasi Terbaik. Filem ini juga dipilih sebagai Filem Pendek Terbaik Keseluruhan pada anugerah itu.

Dalam perbualan dengan Nizam dan Mohd Anas ketika itu, mereka mengatakan judul itu berbentuk sementara kerana judul sebenarnya mungkin Geng: Misteri Hantu Durian, bukan Pengembaraan Bermula seperti sekarang.

Pertemuan kali kedua juga pada tahun yang sama di Shah Alam apabila melihat Nizam dan rakannya memberikan sesi ceramah mengenai teknologi animasi anjuran Perbadanan Pembangunan Multimedia Malaysia.

Teras kekuatan filem Geng: Pengembaraan Bermula sudah tentulah kepada watak Upin & Ipin. Kedua-dua watak budak comel berkepala botak ini cukup diminati.

RTM sebenarnya memainkan peranan penting kerana menjadi stesen TV yang memberi peluang kepada Les’Copaque untuk mempromosikan watak Upin & Ipin apabila kedua-duanya muncul secara khas dalam beberapa minit saja menjelang waktu berbuka puasa.

Waktu itu, gelagat Upin & Ipin ketika hendak bersahur, berpuasa dan berbuka puasa cukup memeningkan kakaknya, Ros. Selepas RTM, tahun lalu watak Upin & Ipin ‘berhijrah’ ke TV9.

Dalam tempoh dua tahun, nama dan watak Upin & Ipin sudah popular menerusi promosi dan publisiti yang dimainkan oleh stesen TV.

Dalam hal ini, RTM adalah stesen TV yang kita lihat paling membantu pembangunan dan perkembangan dunia animasi tempatan.

Siri animasi seperti Keluang Man, Kampung Bola, Anak Anak Sidek, Kacang adalah produk buatan tempatan yang diberi peluang oleh RTM.

Sesetengahnya boleh dikembangkan untuk menjadi filem animasi. Kita melihat siri kartun Kacang, misalnya, berpotensi untuk diangkat sebagai sebuah filem kerana karakter atau watak-wataknya yang bagus dan asli. Stesen TV swasta pula belum lagi memainkan peranan secara aktif untuk membantu memasarkan dan mempromosikan bidang animasi, terutama tempatan.

Memanglah kalau kita lihat standard atau piawaian animasi tempatan tidak setanding dengan program animasi luar negara. Tetapi kita kena realistik. Penerbitan siri animasi dilihat masih baru hendak berkembang. Ia masih kekurangan dari aspek teknologi dan modal.

Bagaimanapun, dari sudut kreativiti, kita mempunyai ramai animator berkaliber. Mereka masih muda dan berkelulusan daripada pelbagai universiti dan kolej tempatan dan luar negara. Buat masa ini pembabitan mereka lebih kepada penghasilan produk iklan.

Untuk melihat bidang animasi ini berkembang sebagai satu industri, semua stesen TV juga perlu memberi sokongan sepenuhnya.

Kejayaan filem animasi Geng: Pengembaraan Bermula adalah satu contoh bagaimana stesen TV boleh memainkan peranannya dengan berkesan. Peluang harus diberikan kepada penggiat dan pembikin program animasi ini.

Kita berharap Astro dapat membantu atau mempunyai perancangan untuk menjadikan siri animasi Kampung Boy karya Datuk Lat dan kini disiarkan di Astro Ceria boleh diangkat sebagai sebuah filem. Kampung Boy yang diadaptasi daripada siri komik popular Lat yang sudah terkenal hampir seluruh dunia dan diterjemahkan pelbagai bahasa.

Malahan Astro dan rangkaian televisyen kumpulan Media Prima juga boleh mencipta watak tertentu dengan menyediakan slot khas bagi program animasi yang dibuat dan diterbitkan oleh pengkarya tempatan. Membeli dan menyiarkan program animasi dari luar negara memang mudah dan murah, tetapi akhirnya kita tidak memiliki apa-apa kerana ia ibarat barangan ‘pakai dan buang’. Selepas digunakan atau disiarkan, program animasi import tidak dapat dijadikan bahan dagangan yang boleh dipasarkan keluar negara.

Memang membuat produk tempatan mahal, tetapi kosnya tinggi kerana kita baru hendak bermula. Kalau segala-galanya sudah ada, kos boleh dikurangkan. Bila hendak mulakan? Sepatutnya sekarang.

Sumber :
Berita Harian
zainuri@bharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP