Until Death Do Us Part - Jonas

Memaparkan catatan dengan label Jin Notti [2009]. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Jin Notti [2009]. Papar semua catatan

Selasa, Mei 12, 2009

#413. Jin Notti Uji Mawi & Fara

KRU Studios terkenal dengan filem-filem yang bercorak fantasi seperti Duyung dan Cicakman 1 & 2. Kesinambungan itu diteruskan lagi dengan terhasilnya filem Jin Notti yang bakal menemui penonton tidak lama lagi.Ironinya, untuk filem Jin Notti, KRU Studios telah pun bekerjasama dengan Telekom Malaysia Berhad (TM) sebagai pakatan perniagaan yang lebih strategik bukan sahaja untuk promosi filem tetapi bagi menarik pelanggan TM.

Tradisi itu diteruskan dengan Jin Notti yang diarahkan oleh Azhari Zain dan disokong oleh Yusri Abdul Halim sebagai penyunting yang menggunakan teknik imej penjanaan komputer (CGI).Jin Notti yang dibintangi oleh Mawi sebagai Aziz, Fara Fauzana (Notti), Cat Farish (Jinbara) dan ramai lagi pelakon hebat mengisahkan tentang dunia jin yang menjadi kepercayaan dalam masyarakat Melayu khususnya.

Cerita Jin Notti mengenai Notti seekor jin yang sangat baik, lembut dan jujur yang berusia 117 tahun. Notti kemudian dikurung dalam penjara oleh Majlis Penghakiman Jin yang diketuai oleh Jin Samsu.

Sebagai hukuman, Notti dihantar turun ke dunia manusia untuk bergaul dengan golongan yang manusia yang melakukan perkara nakal. Notti masuk ke dalam tiga tubuh manusia dan bergaul dengan golongan yang melakukan perkara nakal.

Notti sempat masuk ke dalam badan tiga orang gadis termasuklah Ruby, seorang remaja Punk yang berasal daripada keluarga yang berpecah belah. Kemudian dia masuk ke tubuh Y'vonne seorang wanita Tionghua dan menjadi teman wanita kepada ketua kongsi gelap.

Kali ketiga Notti menjadi Sharifah seorang peguam yang sering membela jenayah. Kenakalan Notti harus melepasi skala kenakalan dan dia sering diiringi oleh peguamnya Jinbara.

Sepanjang perjalanan hukumannya, Notti mula jatuh cinta pada seorang lelaki yang dijumpainya di tiga tempat yang berbeza.

Mawi nanti reaksi peminat

Ketika ini mungkin ramai yang sedang menantikan kehadiran Mawi di layar perak. Jin Notti merupakan filem pertama yang memaparkan Mawi sebagai teraju utama.

Mungkin ada antara peminat yang kecewa kerana tidak dapat melihat aksi Mawi dalam filem Aduh Saleha yang sudahpun ditangguhkan penggambarannya.

Jadi, setelah muncul sebagai penyanyi paling popular, adakah Mawi juga bakal bergelar pelakon terbaik pada masa hadapan.

Ketika ditemui pada sidang media filem Jin Notti di Qualtro Avanue K, Kuala Lumpur, Mawi menjelaskan yang dia sendiri masih berdebar-debar menantikan tayangan filem ini.

Tampil membawakan watak Aziz, seorang anggota polis, Mawi menjelaskan yang dia sangat teruja menantikan filem ini ditayangkan memandangkan ini filem komedi romantik yang sangat hebat.

Mengikut kenyataan yang dibuat oleh Norman, lakonan yang ditunjukkan oleh Mawi dan Fara tidak ada cacat celanya, sudah pasti ia merupakan satu penghargaan buat kedua-dua pelakon ini.

"Saya harap komen yang dilemparkan itu ikhlas. Itu hanyalah komen daripada mereka yang sudah menonton sebanyak 25 kali. Tapi bagaimana pula dengan komen daripada peminat nanti?

"Saya lebih suka orang membuat penilaian yang betul terhadap mutu lakonan saya. Bukan apa takut nanti komen yang diberikan itu akan menjatuhkan saya sahaja," jelas Mawi tanpa berselindung.

Ini merupakan sebuah filem komedi romantik. Tapi peminat mungkin tidak dapat melihat Mawi menunjukkan taring berjenaka kerana watak yang dipegang oleh Mawi merupakan watak yang agak serius.

Cuma penonton boleh melihat bagaimana aksi pertarungan yang melibatkan juara Akademi Fantasia 3 ini dalam beberapa babak dalam filem ini bersama dengan kongsi gelap yang ada.

"Mujur saya pernah belajar Silat Pukul Pelaga. Jadi dapat juga saya gunakan sebagai asas dalam babak bertarung itu," luah Mawi.

Belajar daripada pelakonsenior - Fara

Fara Fauzana popular sebagai penyampai radio dan pengacara. Kehebatannya dalam kedua-dua bidang ini sudahpun terbukti. Dalam masa yang sama dia cuba pula melebarkan sayapnya dalam bidang lakonan pula.

Jika dahulu dia pernah berlakon dalam filem SH3, tapi kini Fara diberi kepercayaan pula untuk menjadi teraju utama dalam filem Jin Notti.

Akui Fara, banyak pengorbanan yang terpaksa dihadapinya semasa penggambaran filem ini berlangsung. Masakan tidak, setiap pagi dia harus ke konti Hot FM dan ia diteruskan pula dengan penggambaran Jin Notti.

Sudah pasti banyak perkara yang terpaksa dikorbankan demi memastikan kelancaran filem ini.

"Saya bukan seorang pelakon. Bila mula-mula berlakon sudah pasti banyak perkara yang perlu saya belajar daripada mereka yang sudah berpengalaman," jelas Fara yang melakonkan lima watak berbeza dalam Jin Notti.

Menurutnya lagi, agak sukar untuk melakonkan babak romantik bersama dengan Mawi memandangkan pelbagai andaian yang bersarang di dalam fikiran termasuklah penerimaan peminat Mawi sendiri apabila selesai menonton nanti.

Namun, sebagai seorang yang profesional, Fara berharap semua itu tidak akan menjadi masalah yang besar kepada semua pihak.

Di samping itu Fara juga mengharapkan peminat setianya untuk datang ke panggung nanti bagi melihat sendiri kelainan filem terbaru taruhan KRU Studios ini.

Sumber : Utusan Malaysia [10/05/2009]
Oleh SY MUSSADDAD MAHDI

Baca Sepenuhnya...

#412. Jin Notti Temukan Mawi, Fara

SELEPAS filem Aduh Saliha terbengkalai penggambarannya pada tahun lalu, ramai yang ternanti-nantikan kemunculan Mawi sebagai pelakon di layar perak.Jin Notti merupakan filem terbaru terbitan KRU Studios dan yang pertama mengetengahkan Mawi dalam bidang lakonan.

Menurut Mawi, dia berpuas hati berlakon dalam filem sulungnya itu, apatah lagi lakonannya mendapat pujian daripada Pengarah Urusan KRU Studios, Norman Abdul Halim."Itu komen orang (Norman) yang sudah 25 kali menonton filem Jin Notti. Tetapi komen para penonton atau peminat, saya belum tahu lagi. Saya harap biarlah komen yang diberi nanti positif dan sejujur-jujurnya."Saya juga seronok berlakon filem ini kerana adanya adegan silat dan aksi yang banyak saya lakukan sendiri. Apatah lagi, saya ada latarbelakang dalam silat pukul pelaga yang saya pelajari sejak berusia 13 tahun."Dengan tunjuk ajar daripada pengarah (Azhari Zain) saya dapat melakonkan watak Inspektor Aziz dengan baik," katanya ketika ditemui selepas pelancaran Jin Notti di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Filem terbitan KRU Studios yang mendapat tajaan daripada Telekom Malaysia (TM) itu telah pun selesai menjalani penggambarannya dan bakal ditayangkan pada Hari Raya Aidil Fitri ini.Selain pelakon, hadir sama pada majlis itu ialah Naib Presiden Produk Jualan TM, Azizi A. Hadi dan Eksekutif Pengguna TM, Jeremy Kung.

Selain Mawi, Jin Notti juga dilakonkan oleh Fara Fauzana yang membawakan watak Notti.

Kata penyampai radio Hot FM ini, dia terpaksa membahagikan masanya sebagai penyampai radio sewaktu mengikuti penggambaran filem dengan kos RM2 juta itu.

"Saya telah membuat perjanjian dengan majikan saya (Media Prima Berhad) iaitu masa penggambaran Jin Notti tidak akan mengganggu tugasan saya di radio Hot FM.

"Biasanya saya akan menjalani penggambaran selepas 12 tengah hari dan habis sebelum 10 malam. Ini kerana saya bertugas di konti pada sebelah pagi," ujar Fara.

Jelas Fara, Jin Notti merupakan filem pertama yang memberikannya peluang melakonkan watak utama di mana ia merupakan cabaran besar buatnya.

Apatah lagi katanya, menerusi filem yang mula menjalani penggambarannya pada Jun tahun lalu itu, dia perlu melakonkan lima karakter berbeza.

"Saya melakonkan watak jin yang perlu melakonkan lima watak berbeza selepas watak itu masuk ke dalam lima orang. Itu antara cabaran saya. Tetapi sebelum ini saya pernah berlakon dalam filem SS3 ketika saya masih belajar di UiTM (Universiti Teknologi Mara).

"Wataknya kecil sahaja. Bagaimanapun pengalaman itu sedikit sebanyak membantu saya berlakon dalam filem ini," kata selebriti berasal dari Shah Alam, Selangor ini.

Bagaimanapun, pembabitan Fara dalam filem keempat terbitan KRU Studios itu bukan baru bermula, sebaliknya dia pernah ditawarkan berlakon filem Duyung yang diterbitkan beberapa tahun lalu.

Namun, Fara terpaksa menolak tawaran itu kerana mempunyai komitmen lain, kerana penggambaran itu diadakan jauh dari Kuala Lumpur iaitu di Sabah.

Menceritakan pengalamannya berlakon bersama Mawi, Fara bukan sahaja berasa teruja, malah beliau turut berhati-hati supaya ia tidak menyinggung mana-mana pihak.

"Sewaktu penggambaran filem ini, Mawi belum kahwin dengan Ekin. Jadi semasa berlakon filem itu saya pernah hantar SMS (khidmat pesanan ringkas) pada Ekin minta kebenaran.

"Saya lakukan itu supaya ia tidak menimbulkan salah faham kalau ada apa-apa yang berlaku kelak. Saya juga hantar SMS pada Maya Karin meminta pendapatnya tentang pembabitan saya dalam filem ini. Dia (Maya) beri galakan kepada saya," jelasnya.

Penerbit Jin Notti, Norman Abdul Halim pula menjelaskan, filem itu merupakan genre komedi yang menampilkan pengarah baru, Azhari Zain.

Jelasnya, pemilihan Azhari merupakan suatu percubaan bagi memberi peluang muka-muka baru berkarya dalam filem terbitan KRU Studios.

"Kami mahukan filem-filem kami nampak berbeza dengan sentuhan pengarah yang juga berbeza. Kami menggunakan hampir 200 teknik CGI (imej janaan komputer) dalam filem ini.

"Ia sebagai tarikan walaupun jumlah yang digunakan tidaklah sebanyak seperti Cicak-Man. Selain itu, kami bertuah kerana dapat menggunakan khidmat Mawi dan Fara yang kebetulan telah banyak menang anugerah sebelum ini. Ia sebagai suatu bonus untuk filem ini," katanya.

Sementara itu, pengarah Jin Notti, Azhari Zain pula berasa bertuah kerana diberi peluang mengarahkan filem yang dijangka mampu menarik perhatian ramai penonton.

"Selepas menjadi penolong pengarah dalam 30 filem, saya bangga kerana diberi peluang mengarahkan filem ini. Selepas ini saya juga akan mengarahkan sebuah lagi filem terbitan KRU Studios berjudul Bangla lakonan Nabil," ujarnya yang juga pensyarah Jabatan Skrin UiTM, Shah Alam.

Sumber : Utusan Malaysia [09/05/2009]
Oleh ABD. AZIZ ITAR

Baca Sepenuhnya...

#411. Mawi, Fara Hebat

KALI pertama digandingkan menerusi layar lebar, namun persembahan lakonan mereka menerusi filem terbitan KRU Studio Sdn Bhd iaitu Jin Notti cukup luar biasa.Sehinggakan sutradara, Azhari Mohd Zain selaku pengarah filem tidak putus-putus memuji kehebatan dua selebriti popular ini, Asmawi Ani dan Fara Fauzana sepanjang sidang media sempena pengumuman kerjasama KRU & TM yang dilangsungkan di Autumn Club @ Quattro, Avenue K, kelmarin.

Azhari atau lebih dikenali sebagai Zack berkata, dia cukup bertuah kerana berjaya menyatukan dua artis popular tanah air dalam satu filem dan lebih mengharukan, Mawi dan Fara memberikan apa yang dimahukan dalam filem ini."Peringkat awal melakar karakter Jin Notti, memang kedua-dua watak utama sangat hampir dengan wajah Mawi dan Fara Fauzana."Hampir gagal mendapatkan Mawi pada mulanya kerana kesibukan kerjaya, namun selepas bertemu sendiri dengan beliau, lalu saya jelaskan perjalanan kisah Jin Notti termasuk mesej yang ingin disampaikan, Mawi bersetuju.

"Hari pertama di set penggambaran, tanpa sebarang pengalaman berlakon filem sebelum ini, Mawi mengagumkan ramai orang kerana lakonannya sangat bersahaja dan dia membuktikan pelakon yang hebat.

"Begitu juga dengan Fara Fauzana di atas komitmen yang diberikan. Meskipun jadual kerjanya begitu padat hinggakan pada satu hari, Fara menangis kerana masih di set penggambaran sedangkan jam 4 pagi perlu ke konti, namun dia berjaya mengawal emosinya sebaik penggambaran dimulakan.

"Dia terus ketawa dan menjiwai lima karakter yang dimainkannya sepenuh hati. Terima kasih tidak terhingga pada Fara di atas komitmen 120 peratus yang diberikannya," katanya.

Pertama kali mengarahkan filem, Zack berterima kasih atas kepercayaan diberikan tiga beradik KRU merangkap produser filem ini iaitu Norman, Yusry dan Edry Abdul Halim kerana kepercayaan mereka.

Zack menambah, projek ini bukanlah kerjasama pertamanya dengan KRU. Sebelum ini, dia pernah dilantik sebagai penolong pengarah untuk filem Cicak Man 1 dan 2.

Terbaru, dia sekali lagi bergandingan menerusi filem terbaru Yusry, Merong Mahawangsa, sebuah hikayat lama yang difilemkan.

Pada temu bual sama, Zack sempat diajukan apakah pihaknya sudah merujuk dan mendapatkan nasihat daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung penampilan karakteor Fara Fauzana sebagai Notti yang bertanduk dalam filem itu.

Akui Zack, pihaknya sudah pun meminta pandangan daripada pihak berkenaan, bahkan setiap babak dalam filem ini diluluskan 100 peratus oleh Lembaga Penapisan Filem (LPF). Ia dijangka melewati pawagam pada Syawal nanti.

"Kami risau juga pada mulanya, bimbang perkara ini membangkitkan sensitiviti di kalangan penonton atau dianggap cuba memesongkan akidah walaupun tujuan filem ini memberi pengajaran.

"Bagaimanapun, kami sudah merujuk dan mendapatkan nasihat daripada Jakim. Memandangkan filem ini membabitkan dunia fantasi, Jakim melonggarkan sedikit syarat, cuma meminta supaya ia tidak dibuat berlebih-lebihan.

"Kalau ikutkan rekaan asal, lebih 'extreme'. Bagaimanapun, menghormati keputusan Jakim serta menghargai tanggungjawab kami sebagai penggiat filem, saya tampilkan imej yang lebih ringan, misalnya yang boleh kita nampak tanduk Fara cuma kecil," katanya.

Menampilkan ramai pelakon, Bob Lokman sebagai Jin Samsu, Adibah Nor (Sofea Jin), Acappan (Jingam), Hafidzuddin Fazli (Nesti), Corie (Taiko), Sazzy Falak (Ibu Zulu), Betty Benafe (peguam bela) dan David Teo (Ketua Kongsi Gelap).

Namun, perjalanan kisah Jin Notti lebih tertumpu pada konflik pelakon utamanya, Inspektor Aziz (Mawi) dan Notti (Fara Fauzana) yang dibantu Jinbara (Cat Farish).

Jin Notti mengisahkan Notti, gadis jin yang baik, lembut dan jujur menyebabkan golongan jin tidak menyukainya walaupun kebaikan itu dituntut dalam hidup manusia.

Notti dikenakan hukuman sangat berat dan dikurung dalam penjara 'All Alone' oleh majlis penghakiman jin lantas dihantar ke dunia manusia untuk bergaul dengan golongan yang melakukan kesalahan.

Adakah Notti terpengaruh atau berpegang teguh pada prinsipnya yang suka berbuat baik?

Mawi tatkala menceritakan pengalamannya, mengakui dunia lakonan bukanlah semudah yang disangka dan memerlukan kesabaran yang tinggi.

"Lebih penat menunggu daripada berlakon sebenarnya. Namun itu tidak bermakna saya serik, sebaliknya kenyataan ini sekadar satu luahan bagi individu yang pertama kali berlakon seperti saya.

"Banyak perkara baru saya pelajari dalam pembikinan filem ini. Seperkara yang jelas, bukan mudah untuk membuat filem kerana banyak menggunakan masa," katanya.

Sumber : Harian Metro [09/05/2009]
Oleh Norhadiani Baharom

Baca Sepenuhnya...

#410. Terlepas Gunting LPF

Azhari Zain puji lakonan Mawi, Fara Fauzana dalam filem Jin Notti

KEJAYAAN filem Jin Notti terbitan KRU Studios dilakar lebih awal apabila filem arahan Azhari Zain itu terlepas menjadi mangsa gunting Lembaga Penapis Filem (LPF). Biarpun menggunakan perkataan Jin dalam judulnya, namun filem yang membariskan Mawi dan Fara Fauzana sebagai pelakon utamanya ini lulus seratus peratus dan ketika ini hanya menunggu keputusan Syarat Wajib Tayang untuk menentukan bilakah filem ini akan menemui khalayak di pawagam.

Mengulas lanjut perkara ini, Azhari melahirkan rasa syukur kerana buah tangan sulungnya itu tidak berdepan dengan sebarang masalah ketika dalam pembikinan.

Mengenai watak dan imej Jin yang berkemungkinan besar bakal mengundang kontroversi, Azhari berkata mereka sudah pun merujuk kepada pihak berwajib untuk mendapatkan pandangan mereka dan hasilnya adalah positif.“Memang pada awalnya kami risau juga untuk menggunakan perkataan Jin bimbang ia mencuit sensitiviti masyarakat. Namun selepas kami rujuk pada seorang ustaz di Jakim dan ia berkata untuk tujuan hiburan seperti itu perkara itu dibolehkan. Bagaimanapun gambaran mengenai Jin itu sendiri hendaklah diringankan,” jelas Azhari yang sebelum ini pernah menjadi penolong pengarah untuk lebih 30 buah filem dan drama.

Sebagai penerbit, Norman Abdul Halim menyambut baik sikap terbuka LPF yang langsung tidak menapis walau sedikitpun filem berkenaan.

“Saya puas hati dengan sikap terbuka LPF dan saya harap perkara ini akan dikekalkan sampai bila-bila supaya ia tidak menjadi kekangan terhadap kreativiti pengarah generasi muda masa kini,” ujarnya.

Dalam filem ini, terdapat beberapa watak yang menggunakan nama yang menyamai nama artis terkenal antaranya Jin Samsu, Jinbara dan Sofea Jin. Apakah mereka tidak bimbang jika nama itu juga boleh mengguris hati mereka yang berkenaan. Bagaimanapun ketika diajukan pertanyaan ini kepada Azhari, dia memberi jaminan bahawa perkara itu takkan berlaku.

“Hanya nama saja mempunyai sedikit persamaan tetapi dari segi perwatakan dan karakter memang tidak ada kena-mengena dengan mereka walau sedikitpun,” jelas Azhari yang menunggu masa selama 15 tahun untuk menduduki kerusi pengarah.

Ketika berucap pada majlis itu, Norman turut memuji kehebatan lakonan yang ditunjukkan dua bintang popular itu dan menyifatkan lakonan mereka sebagai tiada cacat cela. Bukan saja Norman, malah Azhari juga memuji Mawi dan Fara walaupun ini kali pertama mereka tampil di layar perak sebagai pelakon utama.

“Komitmen mereka sebagai pelakon memang amat saya puji. Sebagai contoh, ada ketika saya terpaksa menghalang Mawi daripada melakukan adegan aksi secara berlebihan kerana tidak mahu dia cedera. Dalam pada dihalang itu, cedera jugalah kaki Mawi yang lebih suka membuat aksi lagak ngeri sendiri itu.

“Begitu juga dengan Fara yang membawakan lima watak dalam filem ini. Dia cukup komited dengan tanggungjawab yang diamanahkan sehingga ada ketika saya melihat dia menangis di lokasi. Apapun, lakonannya sebagai Notti memang hebat dan harap penonton semua dapat bersabar untuk melihat hasilnya nanti,” kata sutradara berusia 37 tahun ini.

Dijolok pertanyaan apakah dia yakin umpannya mempertaruhkan dua bintang terkenal akan mengena sekali gus mampu menarik ramai penonton menyaksikan filem ini, Azhari berkata dia optimis itu akan berlaku.

“Namun filem ini bukan saja mempertaruhkan dua pelakon ini sebagai umpan tetapi juga dari segi jalan cerita yang pada saya menarik serta lain dari yang lain,” katanya positif.

Azhari ditemui pada majlis menandatangani perjanjian antara KRU Studios dan syarikat telekomunikasi, Telekom Malaysia Berhad atau TM yang berlangsung di kelab Quattro, Avenue K di ibu negara petang Selasa lalu.Hadir sama, Norman KRU selaku Eksekutif Produser, Naib Presiden Produk TM Aziz A.Hadi, Mawi, Fara Fauzana, Corie, Edry dan juga Yusry.

Sebagai penaja utama, TM turut menawarkan kandungan media online eksklusif filem yang menelan belanja sebanyak RM2 juta ini menerusi Hypp.TV.

Mawi terkejut, Fara risau

PERTAMA kali melihat lakonan sendiri, pelbagai perasaan menyelubungi jiwa lelaki ini. Terkejut ada, seronok pun ada. Iyalah, sebelum ini kecewa juga Mawi apabila filem Aduh! Saliha sehingga kini masih tertangguh pembikinannya. Mujurlah, filem Jin Notti yang mungkin akan ditayangkan pada musim perayaan nanti menjadi pengubat hati penyanyi popular ini.

“Masa mula-mula tengok lakonan sendiri, memang terkejut. Tertanya-tanya juga, betulkah itu saya. Berkenaan komen yang diberikan Norman, saya anggap itu semua komen positif yang boleh memajukan karier lakonan saya.

“Apapun, saya berterima kasih kepada pengarah yang memberi tunjuk ajar bagaimana untuk membawakan watak Aziz dengan baik. Untuk watak ini saya banyak buat watak aksi lagak ngeri sendiri walaupun dihalang Azhari yang bimbangkan keselamatan saya.

“Mujurlah saya ada belajar ilmu persilatan iaitu Silat Pukul Pelaga sewaktu berumur 15 tahun sehinggalah usia saya 17 tahun. Jadi ilmu itulah yang saya gunakan untuk babak pertarungan,” kata Mawi yang teringin membawakan watak Hang Jebat kerana dia begitu kagum dengan kehebatan Allahyarham Ahmad Mahmud yang berjaya membawakan watak itu dengan baik sebelum ini.

Ditanya bagaimana dia berdepan dengan aksi romantik bersama Fara, Mawi berkata dia tidak kisah melakonkan babak seperti itu kerana sebagai pelakon itu adalah satu tanggungjawab.

Sementara itu, menurut Fara, terbabit dalam filem ini sebenarnya memberikan banyak ujian padanya. Bukan saja perlu melakonkan lima watak tetapi juga terpaksa memikirkan banyak perkara sebelum melakonkan sesuatu babak itu.

“Selalunya kalau saya dikehendaki berlakon atau bergandingan dengan sesiapa saja yang sudah berpasangan, saya akan minta kebenaran dulu daripada pasangannya. Sebagai contoh, kalau hendak berlakon bersama Mawi terutama apabila membabitkan babak romantik, saya telefon dulu Ekin untuk meminta kebenaran.

“Bukannya apa, saya tak mahu nanti disebabkan hal itu, ada pihak yang terluka. Bukan saja berlakon, tapi apabila bergandingan dengan Faizal di radio juga, saya akan buat perkara yang sama. Saya lebih selesa dengan cara begitu,” dedahnya.

Mengenai kononnya di menangis di lokasi, Fara berkata perkara itu tidak ada kena mengena dengan perasaan tertekan akibat berlakon.

“Sebagai penyampai, saya sebenarnya terikat dengan komitmen di radio yang menjadi keutamaan buat kami. Kalau ada kerja luar pun, saya kena pastikan yang ia tidak mengganggu kerja radio. Jadi apabila ada ketika saya terpaksa berlakon hingga lewat malam sedangkan keesokan paginya saya kena ada di konti, saya rasa risau sangat bimbang akan lewat ke studio.

“Saya tidak mahu prestasi terjejas. Memang ada dalam perjanjian, jika prestasi saya tidak bagus, majikan saya berhak untuk menghentikan semua kegiatan luar saya. Saya tak mahu itu berlaku kerana tak mahu menyusahkan banyak pihak. Itu yang membuatkan ada kala air mata saya mengalir,” cerita Fara.

Pelakon lain yang turut membintangi filem ini termasuklah Cat Farish, Bob Lokman, Adibah Noor, Sazzy Falak, Acappan, Hafidzuddin Fazli, Betty Banafe, Sheila Mambo dan David Teo.

Sumber : Berita Harian [08/05/2009]
Oleh Farihad Shalla Mahmud

Baca Sepenuhnya...

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP