Until Death Do Us Part - Jonas

Selasa, Mei 12, 2009

#410. Terlepas Gunting LPF

Azhari Zain puji lakonan Mawi, Fara Fauzana dalam filem Jin Notti

KEJAYAAN filem Jin Notti terbitan KRU Studios dilakar lebih awal apabila filem arahan Azhari Zain itu terlepas menjadi mangsa gunting Lembaga Penapis Filem (LPF). Biarpun menggunakan perkataan Jin dalam judulnya, namun filem yang membariskan Mawi dan Fara Fauzana sebagai pelakon utamanya ini lulus seratus peratus dan ketika ini hanya menunggu keputusan Syarat Wajib Tayang untuk menentukan bilakah filem ini akan menemui khalayak di pawagam.

Mengulas lanjut perkara ini, Azhari melahirkan rasa syukur kerana buah tangan sulungnya itu tidak berdepan dengan sebarang masalah ketika dalam pembikinan.

Mengenai watak dan imej Jin yang berkemungkinan besar bakal mengundang kontroversi, Azhari berkata mereka sudah pun merujuk kepada pihak berwajib untuk mendapatkan pandangan mereka dan hasilnya adalah positif.“Memang pada awalnya kami risau juga untuk menggunakan perkataan Jin bimbang ia mencuit sensitiviti masyarakat. Namun selepas kami rujuk pada seorang ustaz di Jakim dan ia berkata untuk tujuan hiburan seperti itu perkara itu dibolehkan. Bagaimanapun gambaran mengenai Jin itu sendiri hendaklah diringankan,” jelas Azhari yang sebelum ini pernah menjadi penolong pengarah untuk lebih 30 buah filem dan drama.

Sebagai penerbit, Norman Abdul Halim menyambut baik sikap terbuka LPF yang langsung tidak menapis walau sedikitpun filem berkenaan.

“Saya puas hati dengan sikap terbuka LPF dan saya harap perkara ini akan dikekalkan sampai bila-bila supaya ia tidak menjadi kekangan terhadap kreativiti pengarah generasi muda masa kini,” ujarnya.

Dalam filem ini, terdapat beberapa watak yang menggunakan nama yang menyamai nama artis terkenal antaranya Jin Samsu, Jinbara dan Sofea Jin. Apakah mereka tidak bimbang jika nama itu juga boleh mengguris hati mereka yang berkenaan. Bagaimanapun ketika diajukan pertanyaan ini kepada Azhari, dia memberi jaminan bahawa perkara itu takkan berlaku.

“Hanya nama saja mempunyai sedikit persamaan tetapi dari segi perwatakan dan karakter memang tidak ada kena-mengena dengan mereka walau sedikitpun,” jelas Azhari yang menunggu masa selama 15 tahun untuk menduduki kerusi pengarah.

Ketika berucap pada majlis itu, Norman turut memuji kehebatan lakonan yang ditunjukkan dua bintang popular itu dan menyifatkan lakonan mereka sebagai tiada cacat cela. Bukan saja Norman, malah Azhari juga memuji Mawi dan Fara walaupun ini kali pertama mereka tampil di layar perak sebagai pelakon utama.

“Komitmen mereka sebagai pelakon memang amat saya puji. Sebagai contoh, ada ketika saya terpaksa menghalang Mawi daripada melakukan adegan aksi secara berlebihan kerana tidak mahu dia cedera. Dalam pada dihalang itu, cedera jugalah kaki Mawi yang lebih suka membuat aksi lagak ngeri sendiri itu.

“Begitu juga dengan Fara yang membawakan lima watak dalam filem ini. Dia cukup komited dengan tanggungjawab yang diamanahkan sehingga ada ketika saya melihat dia menangis di lokasi. Apapun, lakonannya sebagai Notti memang hebat dan harap penonton semua dapat bersabar untuk melihat hasilnya nanti,” kata sutradara berusia 37 tahun ini.

Dijolok pertanyaan apakah dia yakin umpannya mempertaruhkan dua bintang terkenal akan mengena sekali gus mampu menarik ramai penonton menyaksikan filem ini, Azhari berkata dia optimis itu akan berlaku.

“Namun filem ini bukan saja mempertaruhkan dua pelakon ini sebagai umpan tetapi juga dari segi jalan cerita yang pada saya menarik serta lain dari yang lain,” katanya positif.

Azhari ditemui pada majlis menandatangani perjanjian antara KRU Studios dan syarikat telekomunikasi, Telekom Malaysia Berhad atau TM yang berlangsung di kelab Quattro, Avenue K di ibu negara petang Selasa lalu.Hadir sama, Norman KRU selaku Eksekutif Produser, Naib Presiden Produk TM Aziz A.Hadi, Mawi, Fara Fauzana, Corie, Edry dan juga Yusry.

Sebagai penaja utama, TM turut menawarkan kandungan media online eksklusif filem yang menelan belanja sebanyak RM2 juta ini menerusi Hypp.TV.

Mawi terkejut, Fara risau

PERTAMA kali melihat lakonan sendiri, pelbagai perasaan menyelubungi jiwa lelaki ini. Terkejut ada, seronok pun ada. Iyalah, sebelum ini kecewa juga Mawi apabila filem Aduh! Saliha sehingga kini masih tertangguh pembikinannya. Mujurlah, filem Jin Notti yang mungkin akan ditayangkan pada musim perayaan nanti menjadi pengubat hati penyanyi popular ini.

“Masa mula-mula tengok lakonan sendiri, memang terkejut. Tertanya-tanya juga, betulkah itu saya. Berkenaan komen yang diberikan Norman, saya anggap itu semua komen positif yang boleh memajukan karier lakonan saya.

“Apapun, saya berterima kasih kepada pengarah yang memberi tunjuk ajar bagaimana untuk membawakan watak Aziz dengan baik. Untuk watak ini saya banyak buat watak aksi lagak ngeri sendiri walaupun dihalang Azhari yang bimbangkan keselamatan saya.

“Mujurlah saya ada belajar ilmu persilatan iaitu Silat Pukul Pelaga sewaktu berumur 15 tahun sehinggalah usia saya 17 tahun. Jadi ilmu itulah yang saya gunakan untuk babak pertarungan,” kata Mawi yang teringin membawakan watak Hang Jebat kerana dia begitu kagum dengan kehebatan Allahyarham Ahmad Mahmud yang berjaya membawakan watak itu dengan baik sebelum ini.

Ditanya bagaimana dia berdepan dengan aksi romantik bersama Fara, Mawi berkata dia tidak kisah melakonkan babak seperti itu kerana sebagai pelakon itu adalah satu tanggungjawab.

Sementara itu, menurut Fara, terbabit dalam filem ini sebenarnya memberikan banyak ujian padanya. Bukan saja perlu melakonkan lima watak tetapi juga terpaksa memikirkan banyak perkara sebelum melakonkan sesuatu babak itu.

“Selalunya kalau saya dikehendaki berlakon atau bergandingan dengan sesiapa saja yang sudah berpasangan, saya akan minta kebenaran dulu daripada pasangannya. Sebagai contoh, kalau hendak berlakon bersama Mawi terutama apabila membabitkan babak romantik, saya telefon dulu Ekin untuk meminta kebenaran.

“Bukannya apa, saya tak mahu nanti disebabkan hal itu, ada pihak yang terluka. Bukan saja berlakon, tapi apabila bergandingan dengan Faizal di radio juga, saya akan buat perkara yang sama. Saya lebih selesa dengan cara begitu,” dedahnya.

Mengenai kononnya di menangis di lokasi, Fara berkata perkara itu tidak ada kena mengena dengan perasaan tertekan akibat berlakon.

“Sebagai penyampai, saya sebenarnya terikat dengan komitmen di radio yang menjadi keutamaan buat kami. Kalau ada kerja luar pun, saya kena pastikan yang ia tidak mengganggu kerja radio. Jadi apabila ada ketika saya terpaksa berlakon hingga lewat malam sedangkan keesokan paginya saya kena ada di konti, saya rasa risau sangat bimbang akan lewat ke studio.

“Saya tidak mahu prestasi terjejas. Memang ada dalam perjanjian, jika prestasi saya tidak bagus, majikan saya berhak untuk menghentikan semua kegiatan luar saya. Saya tak mahu itu berlaku kerana tak mahu menyusahkan banyak pihak. Itu yang membuatkan ada kala air mata saya mengalir,” cerita Fara.

Pelakon lain yang turut membintangi filem ini termasuklah Cat Farish, Bob Lokman, Adibah Noor, Sazzy Falak, Acappan, Hafidzuddin Fazli, Betty Banafe, Sheila Mambo dan David Teo.

Sumber : Berita Harian [08/05/2009]
Oleh Farihad Shalla Mahmud

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP