Until Death Do Us Part - Jonas

Selasa, Mei 12, 2009

#409. Kongsi Semangat, Aspirasi Dr. Rais

SARANAN Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim supaya stesen televisyen menayangkan lebih banyak program serta drama yang mencerminkan wajah Malaysia daripada menyiarkan program atau drama dari luar mendapat sokongan padu stesen televisyen dan penerbit tempatan.Hasrat kementerian itu yang mahu lebih banyak program serta drama berkaitan masyarakat negara ini dipaparkan bagi membina serta membentuk negara berasaskan konsep 1Malaysia dilihat stesen televisyen dan penerbit sebagai satu usaha yang baik dalam membentuk pembangunan industri penerbitan tempatan.

Ketua Pegawai Operasi Astro, Henry Tan berkata, Astro menyokong konsep 1Malaysia itu. Dengan lebih 116 saluran di mana 27 daripadanya adalah jenama saluran Astro, mereka sentiasa membawa kepelbagaian khas untuk demografi Malaysia.“Akademi Fantasia (AF) , program realiti nombor satu dan Astro Ceria, saluran kanak-kanak nombor satu di Malaysia adalah antara contoh yang menonjolkan nilai 1Malaysia. AF contohnya dari mula lagi menonjolkan peserta dan pemenang yang terdiri daripada pelbagai etnik. Pada masa sama, kami juga bekerjasama dengan saluran antarabangsa untuk mempamerkan yang terbaik mengenai negara dan rakyat kita ke mata dunia menerusi program seperti Smart Tunnel dan The Making Of A King,” katanya.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif TV3, Datuk Amrin Awaluddin, pula berkata TV3 mengalu-alukan usul Dr Rais mengesyorkan stesen televisyen menerbitkan lebih banyak drama dan program berwajah 1Malaysia.Katanya, TV3 sudah pun melaksanakan usul itu sebaik mendengar saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.“Sebagai stesen televisyen yang sinonim dengan tayangan drama dan telemovie menarik serta berkualiti, TV3 sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik terutama kepada kandungan program yang menepati cita rasa masyarakat agar sentiasa relevan dan kekal sebagai stesen pilihan.

“Kami sudah mula menerapkan nilai kemasyarakatan seperti disarankan menerusi program TV3 malah akan terus berusaha untuk mempelbagaikan kandungan drama seperti Platun Satria, Mencari Arah Kiblat dan banyak lagi di samping menerapkan ciri-ciri yang mencerminkan 1Malaysia bagi memupuk semangat muhibah,” katanya.

Sambutan baik pula diterima daripada penerbit drama tempatan yang kebanyakan bersetuju dengan saranan menteri itu yang pada pandangan mereka dapat membela nasib penerbit tempatan.

Menurut mereka, pengurangan pembelian program dan drama dari luar secara tidak langsung melatih penerbit tempatan menjana produktiviti namun pada masa yang sama tidak mengabaikan kualiti.

Pemilik MIG Group, David Teo berkata, usul mencerminkan wajah Malaysia dapat membantu pembangunan industri penerbitan yang sebelum ini terpaksa bersaing dengan produk dari luar.

“Saya bersetuju dengan pandangan Dr Rais supaya stesen televisyen lebih menonjolkan nilai budaya masyarakat tempatan berbanding produksi dari luar.

“Peluang diberikan ini secara tidak langsung dapat menjana pembangunan industri penerbitan drama dan pada waktu sama dapat menjana pendapatan pelakon serta tenaga produksi.

“Kami di MIG sentiasa berusaha memaparkan jalan cerita yang pelbagai untuk menggambarkan kesejagatan rakyat Malaysia. Kami tidak pernah terhad mempamerkan kehidupan golongan kenamaan saja tetapi berusaha untuk memaparkan kisah hidup masyarakat daripada pelbagai latar belakang di negara ini,” katanya.

Penerbit Pena Creative, Ziela Jalil pula bersyukur dengan saranan serta keprihatinan yang ditunjukkan menteri terhadap industri penerbitan tempatan.

Katanya dengan menekankan konsep 1Malaysia, ia memberi peluang lebih kepada produksi tempatan yang sebelum ini terpaksa bersaing dengan program luar.

“Dengan membeli program dari luar, stesen televisyen tidak perlu pening kepala kerana semua benda boleh diselesaikan dalam jangka waktu pendek, mereka hanya yang perlu menyediakan wang untuk membeli program dimahukan.

“Pembelian program dari luar sedikit sebanyak memberi kesan kepada periuk nasi penerbit tempatan. Kadang kala hairan juga kenapa cerita dari luar yang boleh mencetuskan isu disiarkan. Bagaimanapun penerbit tempatan diberikan pelbagai garis panduan. Dengan aspirasi yang ditonjolkan menteri, nasib penerbit tempatan, tenaga kerja dan pelakon kita akan lebih terbela,” katanya.

Penerbit Global Station, Zaiton Mohamad Jiwa pula berkata, kebanyakan penerbit tempatan kini dapat menarik nafas lega dengan keprihatinan yang ditunjukkan menteri itu

“Sudah lama penerbit kita mengharapkan pembelaan seperti ini dan kami juga berharap saranan menteri itu dapat dilaksanakan dengan segera. Kami berharap penerbit tempatan diberi peluang lebih banyak dengan mengehadkan 10 peratus saja program dari luar ditayangkan di kaca televisyen kita.

“Penonton kita terlalu banyak disuapkan dengan program luar. Apa yang mengecewakan penerbit tempatan seperti saya adalah penayangan program luar pada waktu perdana. Kadang kala kami tertanya, apakah produk tempatan tidak mampu mencapai standard dari luar?

“Sebagai produser kami cuba menghasilkan produk berkualiti dengan mendapatkan pelakon yang hebat tetapi ada kalanya kami berdepan masalah yang tidak dapat dielakkan namun kami tetap berusaha mengatasi masalah itu dengan sedaya upaya menghasilkan produk terbaik,” katanya

Sumber : Berita Harian [07/05/2009]
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP