Until Death Do Us Part - Jonas

Selasa, Mei 12, 2009

#408. Borak Lokasi : Komedi Tapi Boleh Menangis

WALAUPUN hujan gerimis sebelah pagi, pada petangnya Putrajaya yang menjadi antara lokasi penggambaran filem Kapoww arahan Azizi Adnan (Chunk) tetap panas terik. Seawal jam 9 pagi, kru dan pelakon sudah berada di lokasi.Kelihatan pada satu sudut, Pengarah Stunt, Mohd Razib Salimin, melatih anak buahnya yang bakal beraksi dalam filem itu. Begitu tekun sekali kerana filem membabitkan cerita superhero ini memerlukan pelakon lagak ngeri melakukan aksi luar biasa yang lebih tangkas.

Pelakon juga sedang disolek kerana penggambaran dijangka bermula sekitar jam 12 tengah hari. Bagaimanapun, menjelang jam 2 petang penggambaran belum bermula. Penggambaran yang dibuat di salah satu jambatan di Putrajaya itu mendapat kerjasama polis trafik untuk mengawal lalu lintas.Apabila melihatkan penggambaran yang belum bermula, Azizi yang sekian lama menunggu depan monitor dalam khemah, mula hilang sabar dan bertanya kru apa yang tidak kena dan kenapa peralatan yang digunakan untuk penggambaran belum siap.

Katanya, mujur ada wartawan datang terpaksalah dia mengawal tahap kemarahannya.

"Sudah hendak petang, tetapi penggambaran belum mula lagi. Sepatutnya hari ini buat banyak babak, tetapi satu pun belum dimulakan lagi. Bukan senang jadi pengarah, ia memerlukan tahap kesabaran yang luar biasa.

"Saya tak suka hendak marah orang kerana saya mahu semua buat kerja dengan tenang dan selesa. Cuba tengok 'bom' itu, bungkus pun tak betul. Dengan bajet yang ada, kita belum mampu menempah 'bom' yang kelihatan macam betul kerana kos terlalu tinggi. Jadi dengan menggunakan kemampuan terhad kita pakai saja apa yang ada.

"Tetapi janganlah buat kerja ala kadar. Saya mahu bom itu dibalut kemas supaya apabila ditayangkan nanti, penonton tidak nampak lilitan gam yang tidak kemas itu.

"Walaupun tidak mampu mengadakan props sehebat Hollywood, janganlah sambil lewa. Meskipun serba kekurangan kita mesti berusaha menonjolkan yang terbaik untuk penonton," katanya.

Menurut Azizi, Kapoww lain daripada yang lain. Ia cerita superhero atau satira yang dekat dengan hati masyarakat. Kapoww filem grafik komedi agak gila-gila dan menyelitkan pelbagai mesej tersendiri disampaikan melalui jenaka ringan mengikut kesantunan dan budaya ketimuran masyarakat negara ini.

"Melalui ketawa, kita merasa dan belajar. Selain menghidangkan filem dengan jenaka ringan, dialog yang bijak dan lucu serta senario yang gila-gila, Kapoww juga membawa maksud mendalam iaitu bagaimana manusia begitu mudah lupa diri dan terpengaruh dengan kuasa, kemasyhuran serta tuah yang datang.

"Dalam apa juga situasi, jangan lupakan kasih sayang, sokongan seorang ibu dan bagaimana kita perlu percaya kepada kawan-kawan," katanya.

Kapoow mengisahkan keluarga superhero, keluarga Astromen yang berbakti melindungi rakyat Malaysia daripada anasir jahat. Mereka adalah superhero disukai ramai orang.

"Kapoww berlegar kepada kisah si Tanggang moden dalam bentuk superhero yang banyak menggunakan CGI. Apabila Abu (Zizan Raja Lawak) mendapat kuasa luar biasa dia menjadi kaya raya dan mula menyalahgunakan kuasa serta lupa diri. Filem ini sangat menghiburkan yang penuh fantasi.

"Sejak kecil saya memang berminat dengan cerita superhero, paling suka baca komik dan mengumpul permainan. Sampai sekarang saya masih membeli permainan untuk bermain dengan anak. Sejak sekolah juga, setiap bulan saya mesti membeli majalah Gila-Gila, Ujang dan sebagainya. Dek terlalu banyak, emak membakar majalah itu. Saya turut membaca buku mitos dan kisah benar.

"Saya sangat menyukai cerita fantasi dan apabila buat filem fantasi banyak elemen yang boleh dimasukkan. Filem Barat lagi banyak cerita merapu seperti Batman, Spiderman, Catwoman dan Superman. Sebenarnya sejak dulu lagi kita ada filem merapu seperti filem Mat Bond lakonan Mat Sentul. Bagi saya Mat Sentul adalah seperti Stephen Chow zaman sekarang. Saya kagum dengan bakat Mat Sentul.

"Apapun saya harap jangan ada pula yang mengkaji di mana logiknya filem ini kerana sebagai filem fantasi macam-macam perkara boleh terjadi. Saya mahu penonton terhibur. Dalam pada itu saya yakin apabila melihatkan sikap Abu dalam filem itu, penonton akan teringatkan ibu bapa di kampung terutama kepada yang lama merantau di bandar.

"Kebanyakan pengarah sekarang banyak buat filem kisah cinta terhalang jadi biarlah saya mencari paparan lain untuk penonton. Walaupun Kapoww digarap dalam bentuk komedi, tetapi saya pasti penonton akan menangis," katanya.

Selepas selesai penggambaran Kapoww. Azizi akan bekerjasama dengan Adnan Abu Hassan mengarahkan filem Bunian. Jelasnya, filem ini agak berat dan ia seperti filem Lords of The Rings yang turut menggunakan kesan CGI namun dalam konteks berbeza. Filem ini akan dilakonkan Nasha Aziz, Rushdi Ramli dan Awie.

"Habis penggambaran Bunian saya akan mengarahkan drama Awan Dania musim kedua," katanya yang bercadang hendak mengarahkan filem hantu pula.

Sumber : Harian Metro [07/05/2009]
Oleh Nor Akmar Samudin

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP