Until Death Do Us Part - Jonas

Selasa, Mei 12, 2009

#407. Studio Lambang Kemegahan KRU

BERKELUASAN 15.39 ekar di atas sebidang tanah di Cyberjaya, pembinaan KRU Studios yang bakal menempatkan ibu pejabat lumpulan KRU serta studio berteknologi tinggi kini sedang giat dijalankan.Mendahulukan fasa pertama membabitkan pembinaan kompleks studio rakaman, ia telah dimulakan sejak Januari lalu dan bakal siap sepenuhnya menjelang Ogos nanti.Andai tiada aral melintang, kompleks terbabit akan beroperasi sekitar Januari 2010, manakala fasa-fasa lain akan berterusan sehingga 2015.

Terbinanya KRU Studios dengan dilengkapi pelbagai kemudahan canggih untuk tujuan penerbitan, ia dilihat sebagai simbol kejayaan kepada KRU yang ditunjangi tiga beradik popular, Norman Abdul Halim, Yusry Abdul Halim serta Edry Abdul Halim.Bukan sahaja menyaksikan perpindahan operasi KRU dari Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur ke Cyberjaya, KRU Studios akan memacu KRU dalam mengembangkan perniagaan mereka yang menumpukan kepada perfileman, muzik serta teknologi animasi.

Sememangnya, ruang kerja di Taman Setiawangsa membataskan perkembangan daya juang KRU yang menuntut mereka memerlukan ruang lebih luas untuk berkarya.

Justeru, pembinaan kompleks studio di Cyberjaya amat bertepatan kerana semua sedia maklum hasil kerja tiga beradik ini sentiasa menampilkan elemen-elemen baru dan agresif.

Detik membanggakan

Presiden yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KRU, Norman berkata, pemindahan pusat operasi KRU ke Cyberjaya merupakan detik membanggakan selepas lebih 12 tahun KRU menjalankan operasi di Taman Setiawangsa.

"Meski berpindah ke Cyberjaya, pejabat di Setiawangsa akan kami fikirkan sama ada untuk disewakan, dijual atau dijadikan pusat latihan.

"Kalau ada pihak yang mahu mengambil alih studio di sana, kami amat mengalu-alukan kerana segalanya sudah lengkap.

"Berkenaan studio KRU di Cyberjaya, ia sebenarnya bukan hanya untuk produksi KRU tetapi terbuka kepada produksi-produksi lain yang mahu menggunakan studio berkenaan,'' katanya ketika ditemui pada sesi lawatan tapak KRU Studios di Cyberjaya bersama media baru-baru ini.

Turut sama dalam lawatan selama sejam meninjau perkembangan semasa pembinaan KRU Studios itu adalah Yusry dan Edry.

Ujar Norman, KRU Studios apabila siap kelak akan dilengkapi dengan studio penerbitan audio, studio suntingan, studio pengimejan digital dan studio animasi visual kesan khas.

Jelasnya, ia juga akan menyediakan dua pentas persembahan yang masing-masingnya berkeluasan 2,500 dan 10,000 kaki persegi.

"Melalui pentas ini, ia menempatkan ruang untuk persembahan konsert dan rakaman program-program televisyen. Selain itu, ia juga menyediakan bilik-bilik serbaguna seperti bilik pakaian, bilik solekan serta bilik untuk artis,'' katanya.

Menurutnya, KRU Studios mampu berbangga apabila studionya di Cyberjaya turut menawarkan sistem penataan kesan khas dan imej janaan komputer (CGI) yang kini banyak digunakan dalam industri penerbitan.

"Tidak cukup dengan itu, KRU Studios menyediakan ruang untuk set penggambaran luar terutama untuk perfileman, ruang pejabat untuk disewa oleh syarikat produksi yang bukan sahaja daripada bidang filem malah pengiklanan,'' katanya.

Pusat sehenti

Kata Norman, melihatkan kemudahan-kemudahan yang disediakan, KRU Studios boleh dianggap sebagai pusat sehenti untuk pelbagai aktiviti membabitkan penerbitan filem, program televisyen, iklan komersial, muzik, kesan khas serta animasi tiga dimensi.

"Dengan adanya KRU Studios ini, KRU merancang untuk menghasilkan 12 buah filem dalam setahun dan menggiatkan penghasilan penerbitan-penerbitan lain.

"Paling utama, kualiti gambar diharap akan menyamai standard Hollywood melalui teknologi definisi tinggi (HD),'' jelasnya.

Katanya, meskipun Thailand dan beberapa negara rantau Asia memiliki teknologi HD, KRU Studios menawarkan perkhidmatan yang jauh lebih murah di samping lokasinya strategik.

"Dengan itu, kita juga membuka peluang kepada mana-mana produksi luar untuk memanfaatkan kemudahan di KRU Studios,'' ujarnya.

Ditanya mengenai tempahan penggunaan KRU Studios, Norman berkata, apabila dibuka nanti, ia akan digunakan oleh tenaga produksi KRU terlebih dahulu.

"Biarlah kami yang gunakan sebelum dibuka kepada pihak luar.

"Ini kerana kami mahu merasa sendiri apa masalah yang timbul. Apabila masalah-masalah ini sudah diatasi, barulah kita ada keyakinan untuk membuka ruang pihak luar pula,'' katanya.

Mahu maju di pentas antarabangsa

Dalam pada itu, kepada soalan tentang masa depan KRU, Norman memberitahu, KRU mahu pergi lebih jauh dalam industri penerbitan di samping menghasilkan produk berkualiti.

"Dalam masa terdekat ini, KRU telah pun menghasilkan sebuah dokumentari berorientasikan budaya tempatan untuk pasaran luar.

"Dokumentari itu berkisar tentang keris, wau, batik dan kehidupan masyarakat Bajau Laut serta penduduk Portugis di Melaka.

"Membanggakan, dokumentari itu telah berjaya dipasarkan di 22 buah negara dan ada dokumentari terbabit berjaya memenangi anugerah dalam satu majlis penganugerahan di Bali, Indonesia tahun lalu,'' jelasnya.

Ujar Norman, filem terbitan KRU iaitu Cicakman juga sudah pun dipasarkan di Perancis dengan dialih bahasa kepada bahasa negara itu.

"Untuk menembusi pasaran luar, kita perlu pandai mengambil peluang. Jangan hanya memikirkan untuk menghasilkan produk yang akan dipasarkan di negara sendiri sahaja.

"Kalau hanya tertumpu kepda pasaran tempatan, sampai bila pun kita tidak akan mampu menajamkan kemahiran untuk bersaing ke peringkat lebih jauh,'' tambahnya.

Sumber : Utusan Malaysia [Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED]

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP