#406. Tiada Niat Eksploitasi 'Bohsia'
Syamsul harap penonton dapat manfaat
MUNGKIN kutipan filem kedua arahannya, Bohsia, tidak sekencang pungutan yang pernah dilakukan Evolusi KL Drift, apabila filem sulungnya itu ditayangkan kira-kira setahun yang lalu. Filem terbabit yang memungut RM3 juta dalam masa seminggu, seterusnya menutup tayangan dengan pungutan sekitar RM4.5 juta.Namun begitu, Syamsul Yusof tetap gembira dan amat bersyukur apabila keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan ketika ini, serta klasifikasi 18PL yang diterima filem berkenaan tidak menghalang orang ramai untuk terus berkunjung ke panggung, menonton hasil garapannya yang terbaru.
Katanya, Evolusi bukan hanya ditayangkan pada ketika ekonomi dalam keadaan lebih baik, malah klasifikasi U yang diterima juga membolehkan lebih ramai penonton berhibur bersama judul itu."Justeru, saya amat bersyukur apabila Bohsia masih mampu memungut kutipan sehingga RM2.2 selepas enam hari tayangan memandangkan beberapa faktor seperti had umur menonton yang dikenakan ke atas judul ini," katanya ketika dihubungi Rabu lalu.Menurut anak muda ini, dia turut menerima maklum balas daripada pihak pempamer di Mid Valley, yang terpaksa memulangkan tiket kepada beratus penonton, yang tidak pun menyedari filem berkenaan sebenarnya hanya untuk tontonan mereka yang berusia 18 tahun ke atas.
"Bayangkan beratus-ratus ibu bapa dengan anak kecil mereka serta remaja sekolah yang sudah pun membeli tiket, terpaksa meminta pihak panggung memulangkan semula wang mereka apabila tidak dibenarkan masuk ke dewan tayangan untuk menonton filem ini. Tetapi tidak mengapalah, kerana saya percaya pada rezeki," katanya.
Mengulas mengenai sesetengah komen peminat yang mengatakan kononnya filem itu mempromosikan budaya hidup kurang sihat di kalangan golongan muda, Syamsul berpendapat, masing-masing mempunyai pandangan mereka sendiri.
"Saya tidak mengatakan pendapat mereka salah kerana kita semua mempunyai pandangan sendiri. Bagaimanapun, saya hanya cuba menjalankan tanggung jawab sosial saya dengan memaparkan kebenaran yang berlaku dalam masyarakat. Takkan kita hendak menyembunyi sesuatu yang benar-benar berlaku? Lambat laun perkara itu akan terdedah juga.
"Jadi, saya mengarahkan filem ini sebagai ingatan kepada semua. Ibu bapa yang menontonnya pasti tidak mahu perkara serupa menimpa anak-anak. Begitu juga abang atau kakak yang enggan melihat insiden sebegitu terjadi pada adik masing-masing. Jadi, Bohsia bukanlah dihasilkan dengan niat mengeksploitasi kehidupan kelompok mat dan minah rempit, sebaliknya menjadi pengajar berguna buat semua. Saya menghasilkannya kerana saya yakin, ia penuh dengan pengajaran moral," tegas Syamsul.
Jelas anak lelaki Datuk Yusof Haslam ini, setiap filemnya sentiasa memuatkan pengajaran untuk penontonnya. Dia sendiri tidak akan menghasilkan sesuatu filem, yang dirasakan kosong pengisiannya.
"Bukan saya ingin mengagungkan kehidupan kelompok terbabit, tetapi kisahnya boleh kita teladani bersama. Apa yang buruk kita jauhkan," sambung jejaka bujang ini.
Ditanya perkembangan filem ketiganya, Evolusi KL Drift II, Syamsul memberitahu, ketika ini dia sedang sibuk dengan proses suntingan filem berkenaan, sebelum ia berkemungkinan besar ditayangkan sebelum penghujung tahun ini juga.
Ketika yang sama, Syamsul ingin merehatkan badan seketika daripada pengarahan filem bercorak aksi. Bukan berehat terus, tetapi dia akan turun juga ke lokasi, kali ini mengarahkan filem yang lebih ringan dalam genre komedi romantik.
"Insya-Allah, jika segala perancangan berjalan dengan baik, Julai nanti saya akan memulakan penggambaran filem terbabit. Skripnya sudah pun ada dan sebagaimana biasa, saya jugalah yang menghasilkannya.
"Saya teringin sekali untuk membikin filem komedi cinta seperti ini bagi membuktikan saya juga mempunyai kekuatan dari segi lakonan, di samping menunjukkan keupayaan saya yang pelbagai dalam bidang pengarahan. Tidaklah nanti orang ramai melihat saya asyik dengan filem aksi," katanya yang masih tercari-cari pelakon wanita yang sesuai untuk bergandingan dengannya nanti.
Menurutnya, menerusi filem itu, dia ingin sekali melihat penonton ketawa dan menangis, sepanjang sejam lebih tempoh tayangan filem terbabit.
Sumber : Berita Harian [Oleh Nurulhisham Abdul Latiff]