Until Death Do Us Part - Jonas

Khamis, Mac 19, 2009

#291. Hype : Phua Chu Kang selepas sedekad

APABILA ungkapan "Don't pray-pray" dan "Best in Singapore, JB, and some say Batam" ini disebut, dengan serta-merta fikiran kita akan membayangkan seorang figura lelaki berambut kerinting, bertahi lalat besar di tepi bibir kanannya serta sepasang but kuning yang menjadi identitinya.

Dialah Phua Chu Kang yang dilakonkan oleh Gurmit Singh sebagai kontraktor yang cukup berjaya dan terkenal di Singapura yang dizahirkan ke kaca televisyen menerusi siri komedi, Phua Chu Kang Pte. Ltd. (PCKPL) yang telah membawa satu fenomena baru dalam penerbitan drama komedi bersiri di kota Singa itu.

Masakan tidak, sejak kali pertama PCKPL bersiaran pada tahun 1997, ia telah berjaya memikat hati penonton bukan sahaja di Singapura malah juga dari Malaysia sehinggakan kelompok peminat PCKPL lebih ramai di sini berbanding di Singapura.

Bukan itu sahaja, selama 10 tahun bersiaran menerusi lapan musim yang disifatkan cukup berjaya, terlalu banyak kenangan manis dan kejayaan yang telah dikecapi oleh siri komedi ini.

Para pelakonnya juga telah mengalami transisi hidup yang cukup ketara apabila mereka diibaratkan sebagai ikon di Singapura.

Tetapi, selepas melalui sedekad yang penuh warna-warni, siri itu akhirnya melabuhkan tirainya pada 11 Februari 2007 dan ia ternyata memberi kesan kepada peminat mahupun pelakonnya.

Khabar angin yang bertiup kencang mengatakan PCKPL tidak lagi dapat disambung adalah kerana pihak kerajaannya merasakan penggunaan slanga Singlish dalam sitkom itu telah mempengaruhi cara komunikasi rakyat republik itu.

Namun, perkara tersebut tidak dilihat sebagai satu halangan dan kekangan untuk penerbit sitkom itu kerana apa yang penting buat mereka adalah penerimaan yang baik daripada penonton yang telah menjadikan PCKPL sebagai sebuah kejayaan.

Memikirkan tentang sambutan dan sokongan peminat yang tidak pernah berkesudahan, sitkom popular itu kini kembali menemui peminatnya setelah dua tahun PCKPL dinoktahkan.

Kemunculan semula sitkom ini juga menampilkan satu pembaharuan dan pendekatan yang berbeza.

PCK kini dikenali sebagai Phua Chu Kang Sdn. Bhd. (PCKSB) yang menyaksikan Phua Chu Kang dan isterinya, Rosie (lakonan Irene Ang) berhijrah ke Malaysia untuk memulakan perniagaannya di sini.

Ia boleh diibaratkan sebagai PCK yang baru mengambil konteks Malaysia yang mampu mendekatkan lagi sitkom ini kepada peminat setianya di negara ini.

Apa yang menariknya, PCKSB menampilkan pelakon dan artis dari Malaysia yang membintangi sitkom itu yang akan memulakan tayangannya setiap hari Rabu bermula 25 Mac ini menerusi saluran ntv7 (Saluran 107, Astro) pukul 8.30 malam.

Mereka yang dimaksudkan itu ialah Adibah Noor, Harith Iskander, Nell Ng, Carliff Carleel dan Fadzlie Rahim yang akan muncul dalam musim pertama PCKSB sebanyak 13 episod itu.

Ketika ditemui sejurus selepas berlangsungnya pelancaran sitkom tersebut di Bandar Botani, Klang, minggu lalu, Hits sempat berbicara dengan empat pelakon utamanya iaitu Gurmit, Irene, Adibah dan Nell tentang penglibatan mereka dalam siri popular itu.

Tidak pernah puas - Gurmit

ARTIS berusia 43 tahun ini tidak pernah menyangka watak Phua Chu Kang yang dibawakannya sedekad yang lalu telah memberikan impak yang cukup besar dalam diari seninya.

Rata-rata orang disekelilingnya tidak memanggilnya dengan nama Gurmit tetapi mereka ternyata lebih selesa memanggilnya dengan gelaran PCK.

"Saya gembira sebenarnya apabila sitkom ini muncul kembali. Memang saya sentiasa bersedia seandainya PCK akan diterbitkan semula. Walaupun sudah lapan musim saya membawakan watak yang sama, saya tidak pernah puas dengan Phua Chu Kang.

"Biarpun ramai yang mengkritik dengan mengatakan saya tidak akan berkembang apabila membawakan watak ini berulang kali tetapi ironinya, banyak membawa kebaikan dan seribu kemanisan dalam hidup saya," kata Gurmit membuka bicara.

Bercerita tentang PCKSB, Gurmit ternyata tidak mampu menyembunyikan perasaan terujanya lebih-lebih lagi dapat beraksi dengan bakat-bakat Malaysia yang disifatkannya sebagai terbaik.

Apatah lagi, selepas PCKPL tamat, dia mengharapkan magis untuk sitkom itu muncul semula yang juga telah melonjakkan namanya sebagai Pelakon Lelaki Terbaik di Asian Television Awards sebanyak lima kali.

"Bekerja dengan orang-orang seperti Harith dan Adibah yang pertama kali dipertemukan, membuatkan saya benar-benar bertuah. Mereka sungguh berbakat, profesional dan banyak yang saya belajar daripada mereka.

"Pada mulanya, saya agak bimbang juga tidak akan wujud sebarang keserasian antara kami tetapi ternyata saya silap. Kami cukup serasi sebaik sahaja muncul di set pada hari pertama.

"Tentang PCKSB, saya tidak melihat ia adalah satu transformasi kerana watak dan karakter saya masih lagi sama. Cuma yang bezanya adalah senario dan lokasinya sahaja. Tetapi, itu bukanlah satu masalah kerana Singapura dan Malaysia adalah sama. Lagipun, negara ini sudah menjadi rumah kedua saya," katanya yang mempunyai darah kacukan India, Cina dan Jepun itu lagi.

Bukan itu sahaja, dia juga telah membeli rambut palsu, tahi lalat, aksesori serta but kuning yang dipakainya selama menjadi Phua Chu Kang.

"Semuanya mempunyai nilai sentimental buat saya dan kerana Phua Chu Kang juga, telah menjadikan saya dikenali. Tidak mungkin untuk saya melupakan Phua Chu Kang," katanya sambil memberitahu Phua Chu Kang The Movie kini sedang dalam perbincangan.

Impak besar Rosie - Irene

APABILA duduk bersembang dengan wanita ini, memang tidak pernah kering gusi dibuatnya.

Ada sahaja perkara dan kata-kata yang terpacul dari mulutnya yang bisa membuatkan anda ketawa berdekah-dekah.

Apatah lagi, melihatnya membawakan watak Rosie dalam sitkom popular itu membuatkan ramai yang menyangka personaliti dirinya yang sebenar sama seperti watak yang dibawakannya itu.

Malah, figura yang sudah sedekad memerankan watak Rosie itu sempat memberitahu selepas PCKPL tamat, dia nekad untuk meninggalkan bidang televisyen dan mahu menumpukan perhatian kepada perniagaannya.

"Tetapi, apakan daya, saya tidak mampu untuk menolak kehendak takdir apabila mereka mahu membawa kembali. Saya tidak menafikan bahawa Rosie telah memberikan impak yang bukan sedikit dalam hidup saya.

"Sana sini, mereka memanggil saya Rosie dan mereka juga menyangka perwatakan saya sama seperti di dalam sitkom tetapi realitinya, saya tidak. Jujurnya, saya pernah berasa penat untuk membawakan watak ini tetapi saya sedar kerana Rosie saya menjadi apa yang saya miliki hari ini.

"Jadi, apabila mereka mahu menerbitkan PCKSB, saya terima kerana saya mahu menceriakan dan menggembirakan peminat saya dan PCK khususnya," katanya penuh makna.

Apa yang pasti, sepanjang menjalani penggambaran di Malaysia, ia telah memberikan pengalaman baru buat Irene terutama sekali apabila dipertemukan pertama kali dengan Abidah yang dianggapnya sebagai seorang yang cukup fantastik.

Malah, dengan penuh jujur, Irene memberitahu dia tidak pernah mengenali Adibah secara personal apatah lagi tentang dunia seni pelakon dan penyanyi hebat itu.

"Saya pernah diberitahu oleh seseorang sebelum ini yang mengatakan dirinya adalah diva. Takut juga saya tetapi semua itu silap. Kami memang akrab dan cukup serasi.

"Lepas mengenalinya, dia memang seorang yang cukup baik, ramah dan senang di bawa berbincang. Begitu juga dengan Harith dan Nell," jelas Irene.

Apabila ditanya dengan kritikan yang diterima berhubung dengan penggunanan Singlish dalam sitkom itu, Irene yang juga merupakan pengacara dan pelawak itu mempunyai pandangannya sendiri.

"Saya melihat ini merupakan satu senario yang sering berlaku kerana apa yang diucapkan dalam sitkom itu adalah realiti hidup yang sebenar. Saya tidak fikir jika kita berkomunikasi sesama sendiri akan menggunakan bahasa yang formal melainkan jika ia memerlukan kita berbuat demikian.

"Kerana Phua Chu Kang juga, saya pernah didatangi oleh seorang wanita Jepun yang berupaya belajar bahasa Inggeris hanya dengan menonton Phua Chu Kang. Jadi, saya fikir ia adalah sesuatu yang menarik dan saya bangga apabila peminat dan penonton mengambil sesuatu yang baik daripada siri ini," ujarnya yang menghabiskan masa selama satu setengah jam setiap hari untuk solekan dan dandanan bagi watak Rosie.

Adibah peminat setia PCK

SEBAIK sahaja Harith menawarkannya satu watak dalam PCKSB, Adibah tidak mampu untuk menolaknya.

Ini kerana jelas Adibah, selain daripada dia merupakan peminat setia PCK, dia menyifatkan tawaran itu adalah sesuatu yang tidak wajar untuk dilepaskan.

"Siapa yang tidak mahu berlakon dalam PCK yang mempunyai penangan dan auranya yang tersendiri. Jadi, apabila diberikan peluang ini, saya sifatkan ia sebagai satu lembaran baru dalam karier seni saya.

"Apatah lagi, ini juga merupakan kali pertama saya berlakon dalam sitkom. Apa yang saya harapkan, PCKSB adalah platform terbaik untuk saya memperkenalkan diri saya kepada peminat rancangan ini yang mungkin tidak pernah mengenali diri saya," kata Adibah penuh harapan.

Membawakan watak Fatimah yang juga merupakan ibu kepada Izzy dan Fazzy yang dilakonkan oleh Harith dan Fadzlie, penyanyi lagu Terlalu Istimewa itu memberitahu dia tidak berhadapan dengan sebarang masalah sepanjang penggambaran.

"Saya sudah banyak kali bertemu dengan Gurmit dan kiranya sudah masak dengan perangainya (ketawa). Malah, sepanjang berlakon bersama mereka, saya tidak berhenti ketawa sehingga pengarahnya menyuruh saya berhenti dan ketawa puas-puas sebelum meneruskan lakonan.

"Namun, perkara itu tetap terjadi. Bukan itu sahaja, sebahagian besar dialog yang kami ucapkan adalah daripada kami sendiri. Ada juga ikut skrip tetapi apabila sudah berlakon, semuanya terjadi sendiri tanpa mengikut skrip," jelasnya sambil ketawa.

Bukan itu sahaja, Adibah yang akan muncul dalam filem Talentime pada 26 Mac ini juga memberitahu dia diberi sepenuh kebebasan untuk mewarnai watak Fatimah.

Biarpun PCKSB tidak akan ditayangkan di Singapura, Adibah tidak sedikit pun berasa kecewa walaupun ia merupakan platform terbaik untuk memperkenalkan lagi namanya di republik itu.

"Phua Chu Kang juga dapat disaksikan di YouTube. Jadi, saya fikir itu satu cara juga untuk peminat di sana mengikuti PCKSB," ujarnya yang turut membuat penampilan istimewa dalam filem Magika sebagai Mak Kundur.

Pendedahan baru Nell

NAMANYA sudah lama dikenali tetapi mungkin ramai yang masih tidak lagi mengenali anak jati Kuala Lumpur ini.

Bagi, mereka yang mengikuti perkembangan teater tempatan, Nell bukanlah seorang pelakon yang asing terutama bagi mereka yang mengikuti perkembangan Actorlympics.

Tanpa disedari, semakin hari nama Nell mula meniti di bibir peminat seni tempatan apabila drama lakonannya, Kelibat ditayangkan berulang kali di saluran Ria (saluran 104, Astro).

Bukan itu sahaja, watak seorang wartawan hiburan bernama Lulu yang dibawakannya dalam drama bersiri Frontpage tidak lama dulu sedikit sebanyak memberikan impak kepada wanita gebu ini.

Justeru, apabila dia mendapat watak sebagai Datin Suzie dalam PCKSB, Nell menyifatkannya sebagai batu loncatan untuk mengembangkan lagi bakat dan namanya.

"Sewaktu mula mendapat skrip, saya membuat penyelidikan dan cuba memahami bagaimana karakter Suzie yang merupakan seorang rupawan, manja, bergaya dan bercita-cita tinggi.

"Bukan mudah untuk membawakan watak ini kerana ada kalanya, saya akan terlepas dan menjadi diri saya sehinggakan pengarah memberitahu saya perlu jelmakan lagi watak Suzie itu.

"Saya percaya watak Suzie memang wujud dalam kehidupan masyarakat kita dan watak Suzie juga bukanlah satu watak yang dibuat-buat yang saya rasa penonton mampu mengaitkan dengan diri dan kehidupan mereka," kata Nell yang pernah berlakon dalam siri 2+1 com.my. tidak berapa lama dulu.

Phua Chu Kang bukanlah satu yang asing bagi Nell kerana sebelum ini dia pernah muncul dalam dua episod PCKPL. Tetapi, kali ini, dia bertuah kerana diberi peranan yang cukup besar dan berdampingan dengan pelakon lain.

Sumber: Utusan Malaysia

0 ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP