Until Death Do Us Part - Jonas

Jumaat, Mac 20, 2009

#299. Hype : Riri selit imaginasi sendiri

PENGALAMAN selama sedekad di layar perak banyak mengajar pengarah, Mohammad Rivai Riza atau nama komersialnya, Riri Riza memahami konsep filem yang memenuhi kehendak penonton. Bagi Riri, 39, filem seharusnya dibuat mengikut apa yang dipercayai produser dan pengarah itu sendiri dalam menterjemahkan plot cerita yang mampu menarik perhatian penonton.

Berdasarkan tujuh filem yang pernah diarahkannya sebelum ini bermula dengan Kuldesak pada 1999, Petualang Sherina (2000), Eliana, Eliana (2002), Gie dan Untuk Rena (2005), 3 Hari Untuk Selamanya (2007) serta Laskar Pelangi, tahun lalu, penerimaan penonton hadir secara tidak langsung apabila filem itu memang menarik apatah lagi mengangkat kisah realiti masyarakat yang dipaparkan menerusi filem.

"Saya lebih cenderung membuat filem mengikut apa yang saya baca dan faham. Walaupun sebelum ini, saya gemar menyingkap kisah masyarakat di Indonesia sebagai plot dalam kebanyakan saya tetapi saya percaya, ia masih mempunyai kekuatan yang membuatkan khalayak mahu tonton.

"Sewaktu membuat filem, saya tidak pernah termimpi filem saya ditonton berjuta orang tetapi mempunyai hasrat filem saya diterima baik ramai penonton.

"Antara fakta dan imaginasi yang menyumbang pada idea menghasilkan plot secara kreatif, kedua-duanya memainkan faktor penting.

"Saya tidak mahu plot filem saya hanya diambil berdasarkan fakta walaupun ia kisah benar. Seperti filem Gie yang mengisahkan perjuangan aktivis politik, Soe Hok Gie, saya turut menyelitkan imaginasi sendiri untuk menjadikan filem tambah menarik.

"Saya fikir filem itu penting dalam mengolah kehidupan masyarakat tempatan yang mampu tarik perhatian penonton antarabangsa. Malah, filem sebegini lebih memberi kepuasan kepada saya. Namun, kisah yang ingin dipaparkan boleh dibuat dalam pelbagai bentuk cerita sama ada politik atau cinta remaja," katanya.

Riri yang juga bekas graduan Diploma Pengarahan Filem dari Institut Kesenian Jakarta pernah menimba pengalaman sebagai produser filem Ada Apa Dengan Cinta pada 2002 dan Rumah Ketujuh (2003).

Sepanjang pengalaman aktif dalam bidang pengarahan, dia pernah menerima pengiktirafan luar negara menerusi filem Eliana, Eliana yang mendapat anugerah Sinema Muda pada Festival Filem Antarabangsa Singapura dan Dragons And Tigers Awards (Special Citation) di Festival filem Antarabangsa Vancouver pada 2002.

Empat tahun selepas itu, filem Gie pula mengulangi kecemerlangan apabila meraih Anugerah Khas Juri pada Festival Filem Asia Pasifik dan Festival Filem Antarabangsa Singapura.

Kejayaan manis juga dicatatkan menerusi filem 3 Hari Untuk Selamanya yang diiktiraf Filem Terbaik pada Festival Filem Antarabangsa Jakarta Kesembilan, dua tahun lalu.

Sementara itu, Riri berkesempatan berkunjung ke negara ini baru-baru ini ketika menghadiri acara Siri Wacana Karyawan Muda Nusantara anjuran Fakulti Teknologi Kreatif & Artistik, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor. Acara yang diadakan selama dua hari itu bertempat di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Hulu Klang, Selangor turut memberi peluang kepada pelajar fakulti berkenaan mengadakan aktiviti diskusi mengenai filem.

Dalam pertemuan itu, Riri berpandangan dia masih berminat untuk menghasilkan filem baru meskipun ekonomi dunia dilanda kegawatan.

Katanya, dia pernah berhadapan masalah yang sama ketika menghasilkan filem pertama, Kuldesak. Namun, dia mahu terus berkarya dengan filem yang mempunyai plot penceritaan menarik dan kualiti lebih baik. Berhasrat mahu membuat filem di luar negara dan meraih sambutan daripada penonton antarabangsa, dia bersikap terbuka dalam menerima kritikan media mahupun penonton.

"Kegawatan ekonomi bukan halangan untuk terus berkarya kerana ada penonton yang masih ke pawagam untuk mendapatkan hiburan. Dalam berkarya, saya tidak pernah berasa putus asa dengan kritikan yang diterima. Sesebuah filem yang siap sepenuhnya dan ditayangkan di pawagam tidak terkecuali daripada kritikan. Mungkin untuk 10 tahun ini, saya mahu mencuba menghasilkan filem daripada genre berbeza seperti seram atau komedi.

"Pada saya, tiada genre yang sentiasa berada di puncak dan hanya menarik perhatian penonton. Saya sendiri tidak mempunyai masalah untuk mencuba genre berbeza dalam filem baru saya akan datang dan peluang ini adalah lanjutan untuk saya menimba pengalaman baru.

"Saya mengagumi bakat pengarah Win Wenders dari Jerman yang tidak menjadikan seks dan keganasan sebagai sumber menghasilkan sesebuah filem tetapi hasilnya sering menyentuh perasaan ramai termasuk saya. Buat masa ini, saya merancang membuat sekuel filem Laskar Pelangi yang mendapat sambutan baik daripada penonton di Indonesia tahun lalu.

"Jika filem pertama memberi tumpuan pada watak kanak-kanak tetapi sekuelnya pula menyaksikan watak kanak-kanak ini membesar meniti usia remaja.

"Saya juga berharap filem ini mendapat sambutan positif daripada penonton di Malaysia yang mungkin berpeluang menonton filem ini tahun ini," katanya.

Sumber : Harian Metro

0 ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP