Until Death Do Us Part - Jonas

Jumaat, Mac 27, 2009

#342. Manifestasi Yasmin Terhadap Perpaduan

FILEM Yasmin Ahmad? Secara peribadi, saya harus mengakui kekaguman saya terhadap, kerja-kerja seni sentuhannya. Rasional saya sangat mudah. Yasmin merupakan antara sutradara negara yang berjaya memberi nafas baru dalam sinema tempatan.Katalah apa sahaja kepadanya kerana ia sedikit pun tidak mampu merobah pendirian saya terhadap karya seninya yang banyak mencabar minda untuk memikirkan apa yang tersirat di dalam setiap filemnya.

Bermula dengan filem Rabun, Sepet, Gubra dan Mukhsin semuanya memberikan pendekatan yang berbeza dan seorang yang bijak seperti Yasmin, dia tidak akan mengitar semula filem-filemnya.Begitu juga dengan pengisian filem Muallaf yang saya sifatkan begitu berani dan sempat saya menontonnya tahun lalu.Sehingga kini kedudukannya filem itu menjadi tanda tanya di Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Lupakan seketika soal Muallaf meskipun filem tersebut mendapat sambutan di luar dugaan sewaktu di tayangkan di Singapura tidak berapa lama dulu (khabarnya di ulang tayang atas permintaan yang tinggi terhadap filem tersebut).Kerana apa yang lebih penting kini adalah perjuangan Yasmin yang tiada kesudahan dalam usahanya untuk melahirkan filem berjiwa Malaysia yang sudah lama tidak saya nikmati menerusi filem-filem tempatan.

Naskhah terbaru Yasmin, Talentime terbitan Chilli Pepper Film untuk Primeworks Studios Sdn. Bhd., akan mula menemui penonton filem tempatan mulai esok (26 Mac).

Judulnya sahaja sudah menarik perhatian saya untuk menyelami dan menyelongkar apa yang cuba diketengahkan oleh Yasmin.

Hampir dua jam menikmati santapan enak yang disediakan Yasmin, saya cukup kagum hasil karya Yasmin kali ini. Tidak keterlaluan dikatakan, inilah filem terbaik Yasmin setakat ini.

Bukan itu sahaja, pada hemat saya, inilah juga satu-satunya filem tempatan terbaik setakat tiga bulan pertama tahun 2009 membuka tirainya.

Bukan sengaja mahu memuji melangit, tetapi, Talentime cukup segala rencahnya untuk diangkat sebagai sebuah filem Malaysia yang tidak perlu memaksa penonton untuk memahami intipati dan jalan cerita Talentime kerana aliran cerita ini cukup lancar.

Ikatan Talentime disimpul dengan cukup rapi dan kemas kerana kesemua elemen yang terkandung di dalamnya dijalin dengan begitu baik sekali serta seimbang.

Ada ketikanya anda akan ketawa tetapi sampai ke satu tahap, anda akan merasai pula kesedihan dan penderitaan yang dialami oleh karakter utama dalam filem ini sehingga air mata yang tertahan hanya menunggu masa untuk dijatuhkan.

Selain daripada cerita dan lakon layar yang mantap, kekuatan dan kelebihan Talentime terletak pada kekuatan para pelakonnya meskipun sebahagian daripadanya merupakan pelakon baru yang masih lagi mentah dalam dunia lakonan.

Sememangnya Yasmin begitu bertuah kerana dikelilingi oleh barisan pelakon yang hebat dan bukannya calang-calang nama membintangi Talentime.

Nama-nama seperti Azean Irdawaty, Sukania Venugopal, Harith Iskander, Mislina Mustaffa, Adibah Noor, Ida Nerina dan Jit Murad (walaupun tampil hanya seketika) telah memberikan impak yang besar menerusi filem ini selain daripada lakonan berkesan pelakon baru seperti Mohd. Syafie Naswip, Mahesh Jugal Kishor, Jaclyn Victor, Pamela Chong dan Elza Irdalynna.

Ini sendiri diakui Yasmin tatkala diajukan soalan tentang pandangan peribadinya terhadap filem keenam arahannya itu.

"Memang saya begitu bertuah dan saya bersyukur kerana mempunyai pasukan yang cukup hebat untuk menghidupkan Talentime. Sudah lama saya mahu bekerja dengan Azean, Jit dan Sukania yang memang saya hormati dan kagumi dengan bakat mereka.

"Begitu juga dengan pelakon baru yang mempunyai karisma dan bakat yang cukup hebat membuatkan saya tabik dan percaya mereka adalah bakat pelapis di negara ini.

"Apabila mereka bersetuju untuk berlakon dalam filem Talentime, ia adalah satu penghormatan tertinggi buat diri saya. Maka dengan itu, tiada apa lagi yang mampu saya lafazkan," kata anak kelahiran Muar, Johor itu penuh makna.

Menyaksikan Talentime, ceritanya akan membuatkan kita terus memikirkan tentang realiti hidup yang berlaku dalam masyarakat kita hari ini.

Di kala polemik dan permainan politik tentang agama, budaya dan latar belakang yang hebat diperkatakan kini dalam masyarakat di negara ini, kehadiran Talentime dilihat sebagai cukup tepat.

Ini kerana ia merupakan manifestasi terhadap perpaduan dan kemasyarakatan menerusi watak yang dibawakan oleh golongan remaja selaku pewaris negara di masa hadapan.

"Memang itu tujuan saya sebenarnya. Saya mengangkat tema tentang pencarian bakat baru di sebuah sekolah sebagai latar ceritanya tetapi Talentime adalah lebih daripada itu.

"Saya mahu mengetengahkan nilai persahabatan itu sebenarnya mampu terjalin dengan baik tanpa mengira bangsa dan agama walaupun ada ketikanya, kita akan berdepan dengan situasi serta masalah yang mampu menggugat jalinan itu.

"Tetapi, ia berbalik kepada diri kita sendiri bagaimana untuk menguatkan kembali perhubungan itu tanpa melibatkan sebarang pergaduhan mahupun pertumpahan darah," jelas Yasmin panjang lebar.

Mengenali Yasmin, setiap kali filemnya ditayangkan akan timbul provokasi sehingga mencetuskan kontroversi dan polemik yang dicipta oleh 'musuh-musuhnya' sehingga menjadikan ia satu perkara yang memualkan.

"Saya buat filem dari hati yang tulus dan saya mahu orang menontonnya mendapat mesej yang berguna daripadanya.

"Kalau Talentime dijadikan kontroversi, saya tidak boleh berbuat apa-apa.

"Kalau penonton saya terhibur, menangis dan ketawa, itu sudah cukup baik dan membuatkan saya gembira," katanya penuh makna.

Elemen cinta dan kekeluargaan juga tidak dapat lari daripada filem-filem Yasmin dan kali ini, dia mengangkat kisah cinta seorang pemuda India yang cacat pendengaran bernama Mahesh (lakonan Mahesh) dengan seorang gadis kacukan Melayu-Inggeris, Melur yang dijayakan oleh Pamela.

Cinta Mahesh dan Melur digambarkan Yasmin begitu luhur dan suci walaupun mendapat tentangan hebat oleh ibu Mahesh yang dilakonkan Sukania yang memberikan persembahan yang cukup cemerlang.

Biarpun kehadirannya hanyalah untuk beberapa adegan sahaja, namun kesannya sangat besar.

Kelainan yang dibawakan Yasmin kali ini juga terletak kepada rangkaian lagu-lagu indah dan mesra telinga ciptaan Pete Teo yang disenandungkan Aizat dan Atilia yang 'meminjamkan' suara mereka kepada Syafie dan Pamela.

Saya tidak mahu mengulas panjang tentang Talentime kerana saya mahu anda pergi ke pawagam, tonton dan menilainya sendiri kerana saya percaya, setiap wang yang anda laburkan pastinya berbaloi.

Talentime akan membuatkan anda bangga kerana masih lagi ada anak tempatan yang berpijak di bumi nyata tatkala kebanyakan filem tempatan hanyut dengan pengisian serta pendekatan yang tidak mampu mencerminkan kita sebagai rakyat Malaysia.

Sumber : Utusan Malaysia

0 ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP