Until Death Do Us Part - Jonas

Jumaat, Mac 27, 2009

#345. FDAM persoal fungsi FINAS

Karyawan filem dakwa mereka tidak diberi penerangan betul produser buat pinjaman bank

TANGGUNGJAWAB yang diberikan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas) dalam pembangunan industri filem tanah air mulai dipersoalkan apabila timbul pelbagai kekeliruan kepada penggiat filem.Finas yang dilantik sebagai urus setia menguruskan Skim Pinjaman Filem Cereka (SPFC) antara penggiat filem dengan SME Bank sejak 2007 tidak pernah mengadakan sesi taklimat kepada penggiat filem bagi menghuraikan secara terperinci prosedur yang harus pemohon patuhi.

Berikutan tidak memahami apakah keistimewaan SPFC kepada penggiat filem, mereka mula menyalahkan pihak yang tidak terbabit selepas permohonan SPFC sering ditolak oleh SME Bank.Presiden Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim berkata, sehingga kini Finas tidak pernah mengadakan sesi taklimat kepada penggiat filem yang ingin memohon SPFC sehingga timbul pelbagai masalah di antara penggiat dan SME Bank.

“Sejak Kementerian Kewangan memperuntukkan dana sebanyak RM50 juta kepada SME Bank bagi membantu industri perfileman tanah air, banyak permohonan daripada penggiat filem termasuk ahli FDAM ditolak kerana gagal mematuhi prosedur yang ditetapkan.

“Memang tidak dinafikan juga disebabkan kurang pengalaman berurusan dengan pihak bank berkaitan beberapa prosedur yang tidak dihuraikan secara terperinci, penggiat filem mula menyalahkan bank yang tidak mahu membantu sedangkan dana disediakan oleh kementerian untuk membantu industri kita.

“Ini adalah inisiatif yang dilakukan FDAM dalam menjernihkan hubungan antara penggiat filem bersama SME Bank dan bertukar-tukar pandangan dan menghuraikan segala kekusutan mengenai SPFC,” katanya yang ditemui pada sesi taklimat dan penerangan antara FDAM dengan SME Bank, di Auditorium Mini P Ramlee baru-baru ini.

Dalam ucapannya ketika mengalu-alukan kedatangan SME Bank dan penggiat filem itu, Ahmad turut menyentuh ketidakpuasan hati ahli-ahi FDAM terhadap Finas yang melantik jawatankuasa ‘pitching’ (penerangan lisan sinopsis sesuatu projek tv/filem bagi kelulusan SPFC) bukan daripada orang industri.

“Ahli jawatankuasa yang bukan daripada orang industri tidak pernah memahami masalah orang industri jadi bagaimana mereka mahu menilai pemohon yang sememangnya menghadapi masalah.

“Berbekalkan akademik saja tanpa pengalaman dalam industri ini juga tidak akan membantu pemohon. Saya sangat berharap Finas merombak kembali barisan ahli jawatankuasa yang tidak tahu menilai dan membuat kerja seni.

“Saya mencadangkan ahli jawatankuasa yang layak berada dalam Picthing biarlah dia berpengalaman sekurang-kurangnya lima tahun sebagai penerbit, pengarah dan menyediakan kursus,” katanya yang kini sudah mempunyai 300 ahli yang berdaftar di bawah FDAM.

Turut hadir, Timbalan Presiden 2 merangkap Ketua Operasi SME Bank, Abdul Jalal Atan, Presiden Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (GAFIM), Ahmad Puad Onah dan wakil Finas, Hamidah Abdul Hamid.

Pada sesi taklimat itu juga, SME Bank turut bersetuju, pemohon yang ingin memohon SPFC harus berdaftar di bawah FDAM yang menjadi salah satu syarat wajib permohonan SPFC yang bertujuan untuk pengawalan dan rekod.

Kemampuan pemohon syarat penting

SKIM Pinjaman Filem Cereka (SPFC) yang diperkenalkan SME Bank kepada penggiat filem sejak 2007 lalu memperuntukkan sebanyak RM50 juta melalui Kementerian Kewangan dengan melantik SME Bank untuk diagihkan kepada penggiat filem.

Sejak SPFC diperkenalkan sehingga 28 Februari tahun ini sebanyak 48 syarikat pengeluar filem sudah memohon SPFC dan sebanyak 12 permohonan ditolak kerana tidak mematuhi syarat yang ditetapkan pihak bank.

Menurut Abdul Jalal, beberapa faktor yang diambil kira dalam penelitian permohonan adalah kemampuan pemohon membayar semula pinjaman selepas tiga bulan filem ditayangkan.

“Beberapa faktor yang dilihat adalah seperti sumbangan pengusaha filem dilihat sangat minimum dan terlalu bergantung kepada bantuan kewangan. Selain skrip, pelakon utama yang dinilai tidak mempunyai nilai komersial yang berkemungkinan tidak mampu menarik penonton ke pawagam.

“Selain pengalaman lalu dalam bidang perfileman dan ketidaksefahaman antara rakan kongsi turut diambil kira,” katanya

Menurut Abdul Jalal, daripada 36 syarikat yang lulus hanya tiga syarikat saja yang berjaya membuat filem sehingga selesai dan membayar kembali kepada bank.

“Ramai juga pemohon yang tidak mengambil skim ini walaupun sudah berjaya dan pihak kami ada mengeluarkan surat tawaran.

“SPFC memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta nilai maksimum kepada setiap pemohon namun pemohon masih boleh memohon sebanyak dua kali dalam masa setahun untuk produksi yang berbeza.

“Sebaik menerima surat tawaran daripada SME Bank dan Finas, pemohon akan dibayar sebanyak 60 peratus wang permulaan untuk menjalankan kerja penggambaran dan sebanyak 30 peratus lagi dibayar sebaik filem itu tamat penggambaran. Ia bagi kerja-kerja penyuntingan dan promosi,” katanya yang menjelaskan SPFC mempunyai keistimewaan yang tidak memerlukan apa-apa bentuk cagaran.

Melalui perjanjian itu juga pihak bank berhak mengambil filem yang sudah siap sekiranya pemohon gagal membayar kembali.

“Tempoh bayaran balik juga dilanjutkan iaitu selepas tiga bulan filem ditayangkan di pawagam, pemohon wajib membayar semula dalam masa tiga tahun.

“Pihak bank juga mengenakan faedah yang rendah kepada pemohon iaitu sebanyak 4 peratus daripada jumlah pinjaman. Daripada jumlah RM50 juta, SPFC kini hanya masih berbaki RM15 juta, bererti peruntukkan itu masih layak dipohon oleh 10 syarikat produksi lagi,” katanya yang memproses permohonan selewat-lewatnya selama tiga bulan sebelum mendapat kelulusan.

Sumber : Berita Harian

0 ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP