Until Death Do Us Part - Jonas

Selasa, Mac 31, 2009

#368. Kapoww Filem Gila-Gila Azizi

GENG kampung terdiri daripada Soffi Jikan, Bob Kuman dan Khir Rahman yang sentiasa membuli Atoi

Filem grafik komik jawapan penerbit Malaysia kepada cerita adiwira luar negara

DUNIA perfileman Malaysia nampaknya makin meluas dari segi genre apabila filem demi filem berlainan bentuk dan konsep diterbitkan. Antara pengarah yang berani keluar dari kepompong biasa pembikinan filem tempatan ialah Azizi 'Chunk' Adnan.Selepas menghiburkan penonton negara ini dengan filem Antoo Fighter, pengarah muda ini sekali lagi memecahkan benteng dengan mengarahkan filem Kapoww!!! - Atoi Budak Kultur.

Dipromosikan sebagai sebuah filem grafik komik, Kapoww ialah filem ke-25 terbitan Tayangan Unggul Sdn Bhd. Ia dikatakan jawapan penerbit Malaysia kepada komik adiwira terkenal seperti Batman, Spiderman, Iron Man dan lain-lain. Bezanya ia agak gila-gila dan juga turut menyelitkan pelbagai mesej tersendiri yang disampaikan menerusi jenaka ringan mengikut santun dan budaya Timur oleh Azizi (yang juga penulis skripnya).

Bagi pengarah itu, semuanya mudah saja. Selain menghidangkan sebuah filem dengan jenaka ringan, dialog yang bijak dan lucu, serta senario yang gila-gila, Kapoww juga membawa maksud lebih mendalam.

Filem ini cuba melihat bagaimana manusia begitu mudah lupa diri dan terpengaruh dengan kuasa, kemasyhuran dan tuah. Ia juga memaparkan bagaimana kasih sayang dan sokongan seorang ibu tidak boleh dilupakan, serta perlu mempunyai sikap saling mempercayai.

Kapoww mengetengahkan kisah keluarga superhero - keluarga Astromen - yang berbakti melindungi rakyat Malaysia daripada anasir jahat. Mereka ialah adiwira yang disukai ramai orang.

Atoi, seorang remaja yang sentiasa bernasib malang bercita-cita menjadi superhero. Dia mahu menolong orang dan menjadi kebanggaan ibunya. Dengan keadaan dirinya itu, Atoi sering dibuli dan diperkecilkan oleh samseng kampung, diketuai Faibo. Hanya kawan baiknya, Aboo, yang memahami dan menggalakkan Atoi mencapai misinya.

Pada suatu petang, kerbau Atoi, Dolet, lari dari rumah. Dalam keadaan hujan lebat dan ribut petir, Atoi keluar mencari haiwan berkenaan. Ketika berteduh di bawah sebatang pokok, Atoi disambar petir. Setelah sedar daripada pengsan Atoi memperoleh kuasa luar biasa. Dia kini boleh bergerak sepantas kilat, matanya pula setajam mata pisau.

Atoi terpilih sebagai superhero baru Malaysia. Dia kemudian mengikut pengurus superhero, Din Abu ke Kuala Lumpur (KL). Sebelum itu dia berjanji kepada penduduk kampung, dia tidak akan melupakan mereka.

Atoi Budak Kultur kini menjadi sensasi terkini di KL. Namanya meniti di bibir. Dia menumpaskan banyak jenayah, lebih pantas dan lebih baik daripada Geng Astromen. Atoi mengalami kejutan budaya. Dia menukar namanya kepada Azroy. Sikap berlagak Atoi menyebabkan dia menghina ibu sendiri yang datang mencarinya pada sidang akhbar pelancaran album barunya. Atoi malu dengan ibu yang berbaju kurung, teman wanita dari kampung dan kawan baik yang bodoh-bodoh alang.

Atoi berpura-pura tidak mengenali mereka. Rakyat melihat kelakuan buruknya dan semua orang terkejut. Atoi kehilangan peminat, rakan, penaja, rumah dan kereta lumba dalam sekelip mata. Atoi kini dipulaukan semua orang.

Mengetahui Atoi sangat bergantung kepada sejenis minuman popular untuk merangsang kuasanya, arahan dikeluarkan oleh kerajaan, jika sesiapa dilihat memberi Atoi minuman itu, mereka akan didakwa! Atoi berputus asa. Dia kehilangan kuasa, juga keluarga. Dia kini sedar akan kesilapannya, tetapi semuanya sudah terlambat. Keluarganya diculik oleh kuasa jahat, Alakazambo! Superhero lain juga tidak lagi bersamanya, dan tiada siapa mahu membantu.

Mampukah Atoi menyelamatkan keluarganya? Adakah dia memiliki kembali kuasanya? Siapa Alakazambo dengan kuasa sihir jahatnya itu?

Antara pelakon yang menjayakan filem kedua Azizi ini ialah Zizan Raja Lawak, Bell Ngasri, Lisa Surihani, Rosnah Md Aris, Awie, Harun Salim Bachik, Delyla, Afdlin Shauki, Norlia Ghani, Khir Rahman, Bob Kuman, Soffi Jikan, Usop Kopratasa, Rashidi Ishak, Zailani, Bandi Amok, Sherry Ibrahim, Aishah Sinclair, Henzi Andalas, Patrick Teoh dan Sathiya.

Sumber : Berita Harian

0 ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP