#443. LayarRebiu : Sketsa masyarakat yang sinis
FILEM ini membuka mukadimahnya dengan adegan wawancara oleh Rafflesia Pong (Jericca Lai) dengan pengarah filem ini sendiri, Yeo Joon Han yang kelihatan letih dan bosan tentang filemnya yang telah memenangi anugerah di sebuah festival filem.
Rafflesia yang menjadi hos program bual bicara For Art Sake secara sinikal menanyakan mengapa filem yang diarahkan oleh Joon Han mempunyai tempo yang perlahan, lakonan yang teruk dan dialognya yang sedikit serta diucapkan dengan perlahan oleh watak-wataknya supaya khalayak akan membaca dialognya melalui sarikata dan melupakan keburukan tentang lakonan pelakonnya. Si pengarah menjawab soalan si pengacara tersebut dengan jawapan yang sinikal juga.
Syot kemudian tiba-tiba berpindah ke satu peristiwa tembakan diluar studio yang menyaksikan seorang mangsa ditembak. Adegan pembukaan ini sahaja sudah cukup untuk menyindir khalayak tentang tanggapan mereka terhadap sesebuah filem dan kecenderungan mereka terhadap filem-filem arus perdana.
Adegan pembukaan yang secara parodi menampilkan Yeo Joon Han dan kemudian memberitahu kelemahan- kelemahan filemnya seakan menjadi persediaan untuk khalayak menonton filem Sell Out. Pendekatan ini bukan sahaja menjadikan filem ini sebuah satira tetapi sebuah komedi yang absurd.
Apa yang mahu diungkapkan oleh Sell Out sebenarnya adalah sebahagian realiti hari ini. Tentang masyarakat yang begitu dihanyutkan oleh program realiti TV, tentang dunia kapitalis dan korporat yang tamak, masalah identiti bahasa dan malah tentang dunia kreatif serta sikap artis.
Dengan pengarah muncul dalam program wawancara dan memberitahu kelemahan- kelemahannya, maka kelemahan pada struktur naratif (yang sengaja lari daripada pendekatan konvensional) dan lakonan dalam filem ini sudah menjadi hal yang disengajakan oleh pengarah.
Secara mudahnya filem ini mengangkat tentang krisis yang dihadapi oleh dunia kreatif. Rafflesia Pong dan program bual bicaranya yang membicarakan hal-hal dunia kreatif berhadapan dengan saingan daripada program TV realiti yang dikendalikan oleh seorang pengacara keturunan Eurasian, Hannah Ho. Ternyata program realiti TV dengan mudah mendapat sambutan daripada orang ramai kerana nilai dramatik dan unsur fantasi yang diisi dalam program tersebut.
Sukar bersaing
Bukan itu sahaja, pengacaranya, Hannah berketurunan Eurasian dianggap lebih cantik dan hal ini turut menjadikan program itu popular. Akibat sukar bersaing dengan populariti program realiti TV yang begiti disukai oleh orang ramai menyebabkan pihak pengurusan Fony TV memaksa Rafflesia mencari satu format baru program realiti dan perlu penyertaan penonton melalui sms.
Dalam program barunya itu Rafflesia mewawancara secara langsung dari katil pesakit detik-detik terakhir seseorang yang akan mati. Siaran wawancara Rafflesia disaat akhir teman lelakinya seorang penyair, Tony Cheow Chee Fai (Lee Szu-Hung) bertukar dari saat yang memilukan kepada penuh kelucuan apabila si pesakit menyanyikan puisi cintanya.
Program ini nyata menghiburkan dan mendapat perhatian orang ramai tetapi bukan mudah bagi pihak penerbit untuk mencari orang-orang yang sedang berada pada detik-detik terakhir tersebut. Siapa yang tahu seseorang itu akan mati tepat pada masanya? Dan apa kata seseorang yang dijangka akan mati tetapi kemudian didapati tidak mati-mati juga?
Yang nyata stesyen televisyen tetap mahukan program yang dapat mengisi fantasi orang ramai. Soal kebenaran bukan aspek sebenar yang dimahukan oleh khalayak yang hanya mahukan keseronokan. Malah antara realiti dan fantasi juga berbaur hingga sukar dipisahkan dalam program realiti TV.
Hal ini menjadi menarik apabila program tersebut menyiarkan pertandingan antara Eric Tan (Peter Davis) dengan pasangan impiannya, Dreamer Eric (juga dilakonkan oleh Peter Davis) tentang siapa yang akan mati dulu dan khalayak boleh meneka melalui sms.
Eric Tan menghadapi kekecewaan apabila usahanya untuk lebih bertanggungjawab dan asli dalam ciptaan mesin kacang soyanya dipertikaikan oleh bosnya (Kee Thuan Chye dan Lim Teik-Long) yang tidak mahukan originaliti dalam ciptaan dan hayat mesin tahan lama supaya pengguna perlu membelinya lagi. Kerana mempertahankan originaliti dan kreativitinya Eric diberhentikan oleh bosnya.
Sell Out memperlihatkan signifikannya dengan realiti sebahagian masyarakat bukan sahaja di Malaysia tetapi di Asia Tenggara. Joon Han menyentuh realiti ini melalui sketsa-sketsa naratifnya dan adegan-adegan komik yang melucukan serta sinikal. Filem ini secara sinis memparodikan program televisyen realiti, ahli korporat yang tamak hingga diperingkat menggunakan kerja seni dan artis, soal kejujuran, identiti bangsa dan masalah Bahasa. Dan segala persoalan ini bukan sahaja ditampilkan melalui lakonan yang distailiskan tetapi juga dalam nyanyian-nyanyian yang disampaikan dalam stail karaoke.
Bagi penonton filem tempatan yang sudah biasa dengan pendekatan struktur naratif yang konvensional, pendekatan naratif filem ini dalam berbentuk sketsa pasti sedikit terganggu. Tetapi, Sell Out adalah sebuah lagi filem Malaysia dari kelompok pembikin filem indie yang telah mendapat tempat di festival-festival filem dunia.
Apa yang menarik, mereka pembikin filem indie ini mampu menghasilkan filem yang mempersoalkan realiti negara ini dan melihat realiti masyarakat negara ini dalam sketsa-sketsa komik yang sinis dan tajam.
Sumber : Utusan Malaysia