Until Death Do Us Part - Jonas

Jumaat, Jun 19, 2009

#541. Epilog : Long Piah Filem Melayu Purba Abad Ke-21?

KELMARIN di sebuah restoran eksklusif di Kuala Lumpur, diadakan majlis pelancaran satu lagi filem Melayu yang bakal menjalani penggambaran tahun ini. Filem itu berjudul Long Piah, iaitu boleh dianggap sebagai filem dalam genre epik legenda. Long Piah ialah nama kepada seorang penghulu yang dikatakan berjaya membuka negeri di Changkat Beruas sejak beratus tahun dulu tetapi kehebatan perwira Melayu ini tidak diperkatakan secara rasmi dalam mana-mana buku sejarah sebaliknya terus dibanggakan menerusi tradisi lisan.

Filem ini akan mendapat sentuhan Ruzaimei Aziz atau Bob Singah menerusi bajet hampir RM4 juta. Penggambaran dijangka bermula pertengahan Ramadan ini, iaitu pada awal September dengan menggunakan lokasi sekitar Kelantan, Kedah dan Perak. Dua watak utama filem ini ialah Zamshuri Ramli dan Nasha Aziz.Produksi berkenaan mahu mengangkat kehebatan dan kesaktian Long Piah sebagai wira yang berani dan mempunyai kekuatan tersendiri seperti kata kenyataan media produksi ini: “Filem berskala besar, grandeur dan agung yang mampu menggambarkan zaman purba kepahlawanan Melayu dulu yang menarik perhatian ramai sejarah negara kita dan asal usul Melayu purba.”

Epik bererti sebuah karya termasuk filem yang menjadikan kisah kepahlawanan atau heroisme sebagai perkara utama. Maknanya, Long Piah boleh dianggap filem epik kerana berkisar dunia keperwiraan tetapi produksi filem itu lebih mahu mengisytiharkan projek filem mereka ini sebagai sebuah filem purba yang mempunyai makna tersendiri kerana cuba mengangkat dinamika Melayu Islam yang hebat. Sebagai filem dunia purbawara alam Melayu, Long Piah akan lebih menjurus kepada naskhah metamorfosis filem purba Melayu yang mengadunkan semua nilai bentuk dan kandungan peradaban Melayu termasuk Islam serta pemikiran zaman dulu yang diperucapkan dalam sisi moden meskipun lingkaran naratif kepurbaan tidak boleh untuk bebas daripada sikap sastera purba yang berkembang melalui kebangkitan budaya penglipur lara Melayu.

Pada majlis pelancaran filem sulung terbitan syarikat produksi baru, Seven Sky Pictutres Sdn Bhd, pengurusannya menyifatkan Long Piah adalah dalam genre purba Melayu secara metamorfosis bagi mengulangi filem purba yang terakhir dihasilkan dalam industri filem Melayu pada 1981 menerusi Serampang Tiga arahan Ismail Sasakul.

Lalu, pihak produksi melabelkan projek filem Long Piah adalah filem pertama pada abad ke-21 yang bakal dihasilkan dalam genre purba, iaitu pada masa sama adalah filem purba Melayu ke-121 selepas berakhirnya filem purba Serampang Tiga terbitan Indra Film Productions.

Apa saja filem epik lain yang terbit selepas itu termasuk Puteri Gunung Ledang versi 2004 dianggap bukan dalam genre purba sebaliknya epik legenda.

Pensyarah filem Universiti Malaya, Dr Abu Hassan Hasbullah yang dilantik menjadi Penasihat Penerbitan untuk projek filem itu, menyifatkan genre purba ada perbezaan dengan epik legenda kerana purba lebih kepada cerita mitos dan sejarahnya tidak tercatat dalam mana-mana buku atau hikayat, sebaliknya menjadi sebutan daripada generasi silam hingga ke generasi sekarang.

“Ia adalah kisah sejarah lama yang memang wujud tetapi tiada dalam teks seperti Puteri Gunung Ledang, ia ada dalam teks. Ceritanya digabungkan dengan unsur mitos dan filem ini kelak bukan sebuah sejarah tetapi akan disejarahkan,” kata Abu Hassan yang meramalkan menerusi kajiannya selepas 2010, filem epik, sejarah dan purba akan menjadi trend pasaran filem di negara ini.

Apapun alasan dan hujah diberikan pihak produksi Seven Sky Pictures, industri filem tempatan ketika ini sangat mengalu-alukan kehadiran filem seperti Long Piah kerana sememangnya negara kita era ini ketandusan filem berunsur kenegaraan atau sejarah yang sewajarnya diperbanyakkan bilangannya. Bagi kita, Long Piah adalah satu usaha murni untuk mengimbas semula kehebatan bangsa Melayu terutama keperwiraan Melayu di Tanah Melayu

Kita berharap produksi Long Piah dapat menghasilkan sesuatu yang cukup menarik dan boleh dibanggakan apabila filem itu siap kelak dan dihidangkan kepada orang ramai di pawagam. Kita juga berharap hasrat dan janji mereka untuk memberi satu wajah filem purba Melayu yang hebat dan boleh membawa generasi muda kini berbangga dengan sejarah asal usul metamorfosis purba Melayu, bukan sekadar retorik atau indah khabar dari rupa. Seperti kata Abu Hassan, skrip Long Piah adalah luar biasa, maka kita juga mahu melihat visual dan naratif filem itu juga ada unsur luar biasa yang boleh dibanggakan industri filem Malaysia.

Praproduksi Long Piah khabarnya sudah dimulakan sejak enam bulan lalu dan lebih menarik apabila Seven Sky Pictures menjanjikan mahu membawa filem ini ke pentas antarabangsa. Industri filem memang menunggu filem sebegini dan sentuhan Bob Singah kelak diharap memberi sesuatu yang bermakna apatah lagi dia adalah pengarah generasi baru yang harus mampu memberi satu dimensi baru mengenai persepsi masyarakat terhadap filem genre epik atau purba.

Sudah tentu juga apabila projek filem ini siap kelak ia akan menemui penonton dan sejauh mana sambutannya, turut bergantung kepada corak persembahan filem itu. Kita tidak boleh tunduk dengan alasan filem berunsur sejarah seperti cerita klasik atau purba sering tidak mendapat sambutan baik penonton. Tetapi sering kali juga filem epik dari luar negara, malah di Thailand, filem epik terbarunya, Langkasuka boleh pula mendapat sambutan baik daripada masyarakat negara itu. Apakah silap masyarakat kita yang buta sejarah atau memang tidak suka pada kisah silam bangsanya sendiri.

Ia harus berbalik pada daya kreatif yang tinggi dan ciri persembahan filem dalam genre sedemikian yang seharusnya mampu memuatkan elemen menghiburkan, kesan emosi serta ada unsur spiritual dan intelektual.

Long Piah jika ditangani dengan baik dan berhati-hati, mampu memberi sumbangan besar untuk mengembalikan kehebatan genre filem purba atau epik dalam industri filem di Malaysia ketika era 1950-an dan 1960-an. Dulu, filem Melayu klasik purba seperti Panji Semerang, Cucu Datuk Merah, Arjuna, Dandan Setia, Dua Pendekar, Lancang Kuning, Panglima Harimau Berantai dan Dang Anum adalah antara judul yang cukup dibanggakan. Long Piah barangkali boleh menjadi permulaan untuk mengulangi kembali zaman kegemilangan itu. Selamat maju jaya buat Seven Sky Pictures.

Dalam perkembangan lain ketika ini, trend filem epik juga mula mendapat perhatian produser tempatan. Menerusi KRU Studio, filem epik legenda berjudul Merong Mahawangsa kini baru saja memulakan penggambaran menerusi bajet RM8 juta. Ketika ini juga filem berunsur sejarah, legenda dan mitos yang turut dirancang termasuk dalam peringkat praproduksi ialah Cik Siti Wan Kembang terbitan Nizarman, selain filem Empayar: Dendam Tamingsari, Mat Kilau dan Maharaja.

Malah, ada juga beberapa produser dan pengarah ketika ini berminat untuk menghasilkan filem berjudul Puteri Saadong, Tok Janggut, Tok Bahaman. Filem berunsur kenegaraan dan sejarah penting untuk melihat betapa sejarah bangsa Malaysia juga hebat dan harus menjadi kebanggaan anak watannya.

Kata orang, bangsa yang hebat kerana susur galur sejarahnya yang hebat...

Sumber : Berita Harian [11/06/09]
Oleh Akmal Abdullah

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP