Until Death Do Us Part - Jonas

Jumaat, Jun 26, 2009

#560. Keperluan Penjenamaan Semula PFM

SABTU minggu depan akan diadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM) berikutan beberapa isu yang dibangkitkan ahli persatuan itu. Ia termasuklah kontroversi undi proksi berikutan ada ahli yang tidak puas hati mengenainya terutama ketika berlaku pemilihan barisan exco musim baru dalam mesyuarat agung ke-22 PFM pada pertengahan April lalu.

Objektif utama EGM itu tentulah untuk meminda perlembagaannya yang dikatakan kebanyakan perkara yang terkandung dalam peraturan dan undang-undang persatuan itu sudah tidak relevan dengan suasana dan kepentingan industri filem masa kini, maka keperluan untuk meminda perlembagaan penting bagi memastikan ahli PFM sentiasa dapat bergerak dengan lebih yakin dan berani untuk kepentingan bersama demi kemajuan industri filem negara.

Kita akui, PFM adalah persatuan perfileman tempatan yang paling dominan dari segi pengaruh dan kemampuan dananya. Malah, PFM juga mewakili tauke filem yang menentukan jatuh bangun penerbitan filem di negara ini. PFM juga banyak berperanan dalam penganjuran Festival Filem Malaysia (FFM) dan penganjuran Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFF) serta pada masa sama menjadi ahli Persekutuan Pengeluar Filem Asia Pasifik (FPA) yang menganjurkan Festival filem Asia Pasifik.

Baru-baru ini, kontroversi undi proksi menjadikan nama PFM menjadi panas semula hingga ahli dan barisan ahli jawatan kuasa (AJK) saling berbalas kenyataan menerusi media massa. Ada ahli yang tidak puas hati terhadap kepemimpinan dalam AJK juga membuat kenyataan di belakang tanpa berani untuk meluahkannya dalam media. Kesimpulannya, bagaikan ada sikap negatif antara ahli terhadap persatuan mereka sendiri terutama di kalangan barisan AJK musim baru yang dipilih mereka. Namun, ini kontroversi itu sudah reda dan akan dilanjutkan dalam EGM pada 4 Julai ini.

Dalam hal ini, kita berasakan PFM perlu menjadikan EGM itu sebagai ruang untuk ahli dan barisan AJK membina semula keakraban dan semangat perpaduan untuk sama-sama membangunkan persatuan yang disayangi itu. Eloklah juga mereka sama-sama mencari jalan untuk meningkatkan lagi keupayaan menerbitkan filem dan ahli PFM secara bersama dapat mendominasi pasaran filem di negara ini seterusnya akan menjadikan PFM lebih berpengaruh dan dihormati. Tidak perlu lagi antara ahli untuk bergaduh dan saling syak wasangka hingga berlaku rasa prejudis antara ahli dan barisan AJK. Sebab, dalam PFM keahlian mereka bukannya ramai malah boleh menghafal semua nama ahli dalam persatuan itu.

Tak perlu lagi ahli PFM yang tidak seramai mana itu untuk bersikap saling kata mengata antara mereka di belakang kerana sikap sebegini mencerminkan imej PFM sendiri yang tidak sihat, malah akan memperlihatkan perangai ahli PFM yang macam ‘budak-budak’. PFM adalah persatuan membabitkan ahli perniagaan dalam dunia filem, maknanya mereka orang korporat dan jika sikap mereka yang sering dilihat untuk bercakaran sesama sendiri dalam persatuan sendiri, ia memberi gambaran tidak baik dalam PFM. Ini juga sebenarnya menyebabkan pihak luar terutama masyarakat, Finas dan kerajaan melihat mereka dalam PFM sendiri tidak mampu untuk sehati sejiwa dan bagaimana mereka mahu berjuang untuk mempertahankan kepentingan hak dan nasib filem tempatan. Sedangkan kita harus bersatu untuk mencari jalan bagi meletakkan filem tempatan sebagai tuan di negara sendiri.

Kesediaan AJK baru untuk mengadakan EGM adalah bukti mereka bersikap telus dan terbuka untuk melihat masa depan PFM ke arah lebih baik. Ia juga memperlihat sikap exco PFM mahu sama-sama mencari jalan positif dalam mencapai aspirasi dan kehendak ahli. Ini wajar dimanfaatkan oleh ahli PFM untuk hadir pada EGM itu nanti untuk sama-sama memberi pendapat dan meluahkan pandangan perasaan.

Saranan dan keluhan ahli sebelum ini juga ada kebenarannya dan wajar diambil tindakan positif. Selama ini PFM memang sudah banyak berperanan membantu ahli dari segi kepentingan termasuk mendapatkan semula rebat cukai hiburan, terbabit dalam pemilihan filem untuk syarat wajib tayang, bersama kerajaan serta bersama Finas menganjurkan FFM Seperti sebelum ini, seorang ahlinya, Mohd Noor Kadir dari Kuasatek Pictures membangkitkan isu undi proksi, ada baiknya juga ia dinilai semula. Kalau majoriti masih menyukai kaedah lama dalam pengundian, ia boleh diteruskan dan harus mecari jalan untuk mencapai kesepakatan. Antara lain, Mohd Noor menerusi media mencadangkan ahli yang tidak aktif membuat filem dalam tempoh tiga tahun tidak boleh memegang proksi dan kedua, ahli yang aktif dan layak mengundi hanya diberikan satu proksi saja.

Beliau juga mencadangkan semua ahli wajib menghadiri mesyuarat agung dan jika tidak hadir hingga tiga kali, mereka boleh diturunkan taraf keahlian daripada ahli biasa kepada ahli bersekutu, manakala ahli biasa yang tidak aktif membuat filem selama tujuh tahun tidak dibenarkan memegang apa-apa jawatan dalam PFM melainkan masih kekal hak untuk mengundi. Cadangan itu ada juga baiknya untuk semua ahli dan AJK memikirkan secara positif.

Ahli juga harus hormati mereka yang berada dalam AJK. Jangan sesuka hati untuk membidas mereka semata-mata kerana mengikut emosi. Jika sesuatu perkara boleh dicapai dengan bersemuka dan berbincang terlebih dulu, ada baiknya ia menggunakan saluran yang lebih berhemah dan berdiplomasi, bukannya saling hentam-menghentam menerusi media massa.

Dalam pada itu, sudah tiba masanya, PFM lebih berani untuk bersuara mempertahankan kepentingan filem tempatan terutama dalam isu memperbanyakkan jumlah pengeluaran filem, sekurangkurangnya 40 judul setahun, membantu usaha menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia ke pawagam, menambahkan bilangan pawagam di seluruh negara, mengelak monopoli pawagam oleh pihak tertentu, pembahagian kutipan yang disifatkan tidak adil kepada produser, menjadi ejen pemantau kepada produksi luar negara supaya tidak sesuka hati membuat penggambaran filem di negara ini, menjadi wadah kebajikan untuk semua produser filem dan drama secara lebih efektif termasuk mengambil berat terhadap ahli yang bermasalah dalam urusan produksi.

Mungkin juga kerana kelemahan PFM selama ini menyebabkan produser drama yang menjadi ahli bersekutu persatuan itu merajuk dan mencari jalan keluar hingga akhirnya tertubuhnya Persatuan Penerbit TV Malaysia (PTVM). Kita bimbang jika PFM masih leka dan tidak berbuat apa-apa secara efektif, ahli lain akan merajuk dan satu lagi persatuan baru ditubuhkan nanti. PFM sesuai dengan semangat baru untuk mengadakan EGM, eloklah ia menjadi titik tolak bagi menjenamakan semula persatuan itu.

Kata orang, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat... - akmel@bharian. com.my

Sumber : Berita Harian [25/06/09]
Oleh Akmal Abdullah

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP