Until Death Do Us Part - Jonas

Khamis, Januari 22, 2009

#10. Isu : Perkemas Skim Wajib Tayang

07hb Januari, 2009
Beita Harian
Nurulhisham Abdul Latiff

Produser mengeluh saingan filem Barat serta filem tempatan sendiri punca kutipan tiket tidak memberangsangkan

SAMBUTAN di bawah jangkaan yang berlaku terhadap beberapa filem Melayu yang menemui penonton sejak beberapa minggu lalu menyebabkan beberapa produser tampil memberikan pandangan dan alasan mereka tersendiri terhadap kegagalan produk mereka mencatat kutipan membanggakan.

Pengurus Besar Grand Brilliance Sdn Bhd, Ahmad Puad Onah yang menerbitkan Antoo Fighter, umpamanya, melihat faktor cuaca sebagai punca utama mengapa orang ramai tidak keluar menonton filem berkenaan biarpun tampil dengan sebuah persembahan yang segar lagi berbeza. Akhirnya Antoo Fighter memungut RM2.3 juta sesudah menutup tirai tayangan di pawagam.

Kemudian, produser dan pengarah Los dan Faun, Afdlin Shauki melihat kegagalan filemnya mencatat kutipan tinggi akibat persaingan dengan filem tempatan serta keutamaan pawagam menayangkan filem luar. Pada masa yang sama, dia menggesa agar Skim Wajib Tayang diperkemaskan demi membantu produser kecil lebih maju dalam industri perfileman.

Keadaan yang sama menimpa filem terbaru terbitan KRU Studios, Cicak-Man 2: Planet Hitam (C2PH) apabila filem berkenaan hanya memungut RM2.5 juta sehingga 21 Disember lalu. Pungutan itu agak tersasar daripada ramalan awal Penerbit Eksekutifnya, Norman Abdul Halim.

Menurut produser muda ini, saingan filem Barat serta filem tempatan sendiri banyak memainkan peranan dalam menentukan pungutan. Justeru, dia amat berharap suatu tindakan dapat dilakukan bagi membantu filem tempatan melakukan kutipan lebih baik pada masa akan datang.

"Beberapa tahun lalu, apabila hanya enam atau lapan filem ditayangkan setahun, kawalan terhadap filem tempatan lebih mudah dilakukan. Namun, apabila semakin banyak filem tempatan memasuki panggung, secara tidak langsung ia menyebabkan berlaku persaingan sesama sendiri, selain saingan filem antarabangsa atau Hollywood.

"Bukan mengatakan Skim Wajib Tayang tidak berkesan, tetapi mungkin sedikit pembaharuan perlu dilakukan. Saya menyokong sistem terbabit kerana ia membantu produser baru. Tanpa Skim Wajib Tayang, belum tentu seseorang produser yang tidak mempunyai nama berupaya menayangkan filem mereka.

"Kami sendiri pernah mengalami keadaan seperti itu ketika menerbitkan filem pertama dulu. Ketika itu, keyakinan pihak pempamer belum cukup kuat terhadap produk kami. Di sinilah pentingnya peranan Finas dan Skim Wajib Tayang dalam membantu produser kecil filem Melayu. Justeru, saya sebagai seorang penerbit memang mahu sistem berkenaan dikekalkan. Cuma ia memerlukan sedikit pembaharuan," katanya.

Jelasnya, kejadian sebuah filem tempatan memasuki panggung setiap minggu pernah berlaku pada penghujung 2006, tatkala Cicak-Man ditayangkan kepada umum. Begitupun, pada minggu pertama tayangannya saja filem terbabit mampu memungut RM2.5 juta.

"Sebabnya, ketika filem itu masuk panggung, tidak ada filem lain yang memberikan saingan. Hanya Eragon filem besar dari Barat yang ditayangkan seminggu kemudian. Filem itu pula tidak mempunyai pelakon ternama. Manakala saingan filem tempatan pula tidak terasa kerana sebuah filem Melayu yang ditayangkan selepas Cicak-Man tidaklah mendatang cabaran besar. Jadi, pada minggu kedua pun kami masih mampu memungut RM1.5 juta.

"Maknanya, filem tempatan mampu mengumpul jualan tiket yang bagus seandainya saingan dikawal. Lihat apa yang terjadi pada tahun ini. Los dan Faun paling teruk menjadi mangsa kerana ia berada di celah dua filem yang sama besar, Antoo Fighter dan C2PH. Padahal, filem terbitan Afdlin itu juga sebuah filem yang bagus mengikut penilaian saya," kata Norman.

Sambungnya, pada tahun depan jumlah filem Melayu yang akan memasuki panggung dikatakan mencecah 35 judul. Persoalannya, di manakah kesemua filem terbabit hendak diletakkan sedangkan musim tayangan filem Melayu itu sendiri pun bukanlah panjang.

Pada Mei, Jun dan Julai, kebanyakan produser teragak-agak untuk menayangkan filem mereka kerana menyedari kebanjiran filem besar dari Hollywood. Begitu juga suasananya pada bulan puasa apabila penonton Melayu dikatakan tidak akan berkunjung ke pawagam. Lalu, hanya tinggal lapan bulan saja untuk produser tempatan benar-benar mencari makan.

Melihat keadaan itu, Norman berasakan, mungkin Finas boleh mengambil langkah tertentu seperti mengehadkan jumlah filem keluaran syarikat besar yang ditayangkan menerusi Skim Wajib Tayang.

"Dengan mengehadkan jumlah filem keluaran syarikat besar yang patut ditayang menerusi skim berkenaan, ia mungkin dapat membantu produser baru atau penerbit kecil mendapatkan pulangan lebih baik, seterusnya membolehkan mereka terus menerbitkan filem menggunakan laba yang ada.

"Syarikat penerbitan besar tidak berapa terasa dengan persaingan ini kerana mereka lebih kukuh dari segi kewangan. Mereka pula mampu menerbitkan banyak judul setahun, berbanding syarikat kecil yang mungkin menerbitkan sebuah filem saja bagi tempoh yang sama.

"Katakanlah, daripada enam atau tujuh judul yang diterbitkan syarikat besar, hanya empat layak ditayang menerusi Skim Wajib Tayang. Filem selebihnya itu tidak perlulah ditayangkan mengikut skim berkenaan, sebaliknya ia ditayangkan saja sebagaimana filem luar. Dengan cara itu, filem keluaran produser kecil juga mempunyai ruang untuk bernafas," jelas Norman, sambil membayangkan tayangan 18 hingga 20 judul filem Melayu setahun ialah jumlah yang lebih rasional.

Dia juga berasakan, satu lagi langkah yang mungkin boleh diperkenalkan adalah dengan mengawal kemasukan filem antarabangsa.

"Pada musim perayaan seperti sekarang, misalannya, begitu banyak judul besar dari Barat yang memasuki panggung kita. Kali ini, C2PH tewas kepada The Day The Earth Stood Still yang mempunyai Keanu Reeves sebagai pelakon utama. Sebagai penonton, tentunya filem besar seperti itu akan lebih menarik perhatian mereka. Siapalah Cicak-Man jika hendak dibandingkan dengan Keanu?

"Kira-kira 300 judul antarabangsa memasuki pawagam Malaysia setiap tahun. Jumlah itu terlalu besar untuk dibandingkan dengan jumlah filem tempatan. Ia berlaku kerana kita mengamalkan pasaran terbuka. Lalu, apabila banyak pilihan yang lebih menarik disediakan tentu penonton akan memilih filem Barat. Apatah lagi tiket menonton kedua-duanya adalah sama.

"Tahap persaingan antara kedua-dua filem ini sendiri memang tidak adil. Mereka menghasilkan filem dengan belanja ratusan juta ringgit sedangkan filem Melayu pula kebanyakannya hanyalah sekitar RM1 juta hingga RM2 juta. Di situ saja kita sudah nampak betapa tidak sama persaingan yang ada.

"Lagipun, bukan semua filem yang dimasukkan ke negara ini mempunyai mutu yang bagus. Sebahagiannya tidak sebaik filem keluaran tempatan. Lalu, sekiranya kawalan dikenakan ke atas filem dari luar, rasanya ia mampu membantu produser filem tempatan untuk lebih bernafas.

"Seandainya kita hendak membangunkan industri filem tempatan, sepatutnya ada elemen ‘membantu’ diterapkan dalam sistem yang ada sekarang. Apatah lagi filem kita bukannya tidak mempunyai nilai. Ia adalah harga jati diri kita juga. Jadi, janganlah pandang perkara ini dari sudut perniagaan semata-mata. Dengan adanya filem tempatan, generasi akan datang dapat melihat cermin diri mereka," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP