Until Death Do Us Part - Jonas

Khamis, Januari 22, 2009

#11.Isu : Kewajaran Anugerah Gelaran Tun Untuk P. Ramlee

08hb Januari, 2009
Berita Harian
Akmal Abdullah

MENERUSI rancangan Fenomena Seni di TV1 pada 12 Disember lalu, antara perbincangan yang menarik untuk diketengahkan ialah mengenai kenyataan daripada seorang panel diskusi itu, Presiden Majlis Muzik Malaysia yang juga Pengerusi Majlis Artis Hiburan Tanah Air (Mahkota), Datuk A Rahman Hassan. Beliau menyifatkan sudah tiba masanya, Seniman Agung Tan Sri P Ramlee (Allahyarham) dikurniakan darjah kebesaran yang membawa gelaran Tun. Kata Rahman, jasa dan sumbangan P Ramlee yang diiktiraf menerusi gelaran Tan Sri tidak ada tolok bandingnya terhadap negara dan rakyat Malaysia.

Gelaran Tan Sri kini turut dinikmati dua lagi karyawan seni kita yang masih hidup, Tan Sri SM Salim dan Tan Sri Jins Shamsuddin. Hujah beliau juga berasaskan P Ramlee bukan saja hebat dalam bidang nyanyian, penciptaan lagu dan bermain muzik, malah dalam pengarahan filem, lakonan dan skrip. S M Salim hanya cemerlang dalam bidang nyanyian manakala Jins pula memberi jasanya bidang filem.

"Saya rasa sudah tiba masanya gelaran kepada P Ramlee dinaikkan kepada Tun supaya kedudukannya diletakkan di tempat yang lebih tinggi sejajar dengan bakat dan sumbangannya kepada dunia seni tanah air. Saya akan mengusulkan perkara ini kepada Yang di-Pertuan Agong untuk pemberian gelaran ini," kata Rahman.
Memang nampak macam perkara kecil mengenai cadangan itu apatah lagi untuk memberikan anugerah kepada P Ramlee selepas hampir 36 tahun beliau meninggal dunia. Gelaran Tan Sri yang diperoleh Allahyarham dulu pun diberikan secara posthumous, iaitu anugerah selepas 17 tahun kematian beliau, diberikan pada 1990.

Syabas kita ucapkan pada Rahman kerana membangkitkan isu ini kerana cadangan itu harus diambil kira dari segi menilai, meninjau dan mengkaji semula pencapaian dan sumbangan bakti serta warisan seni yang ditinggalkan P Ramlee sudah banyak memberi kesan mendalam terhadap pembangunan jiwa dan sosial rakyat negara ini. Lebih bermakna, P Ramlee meninggalkan karya yang bukan saja mendidik dan mengajak masyarakat untuk mengerti sebuah kehidupan, kasih sayang, keadilan, perpaduan, patriotik dan kemanusiaan, sebaliknya mengangkat nilai seni muzk dan filem itu sendiri yang membuktikan ia bukan sekadar medium hiburan.

Memang secara logik adalah wajar meletakkan pengiktirafan tertinggi kepada P Ramlee berbanding insan seni lain dan atas nama rakaman penghargaan tidak ternilai ke atas P Ramlee yang meninggalkan legasi dan warisan karya yang sukar ditandingi mana-mana anak seni.

Secara perbandingan jika gelaran Tan Sri yang disandang pada nama P Ramlee itu merujuk kepada dua insan seni yang masih hidup sekarang dan turut menyandang gelaran itu, ia kelihatan berbeza dari segi pencapaian dan kemampuan antara P Ramlee dengan S M Salim dan Jins. Kita tidak memperlekeh kehebatan S M Salim dan Jins yang tetap cemerlang sebagai insan seni muzik dan filem tetapi kehebatan P Ramlee jauh lebih menyerlah dan lebih besar berbanding mereka dan sudah tentu harus ada satu lagi pengiktirafan yang tinggi terhadap Seniman Agung itu sebagai satu-satunya anak seni tunggal yang mencatat pencapaian tertinggi.

P Ramlee mencipta nama cukup besar dan keharuman namanya semerbak hingga kini kerana karyanya hingga kini sepanjang hari dan saban masa dipasang di kaca TV dan radio untuk tatapan generasi sekarang. P Ramlee memang dikenang bukan saja kerana karyanya yang terus dinikmati hingga kini dan disukai oleh generasi baru dan anak muda yang lahir selepas kematian beliau.

Lebih bererti beliau dikenang kerana kecerdikan dan keunikan kebanyakan karya muzik dan filemnya itu yang sukar disamakan dengan pencapaian anak seni lain dalam bidang masing-masing, malah P Ramlee membuktikan dia adalah seniman serba boleh yang cemerlang dan tidak ada pada mana-mana anak seni lain meskipun ada karyawan seni generasi baru yang cuba mempelbagaikan bakat karya mereka dalam filem dan muzik. Lebih menarik, P Ramlee yang tidak mendapat pendidikan formal dalam bidang seni dan tidak pernah mengikuti pengajian di universiti tetapi beliau mampu menzahirkan karya yang cerdik dan bijaksana serta impak kuat kepad amereka yang mengikuti karyanya.

Meskipun sudah lebih tiga setengah dekad pemergian P Ramlee, rasanya tidak salah untuk kerajaan dan Yang di-Pertuan Agong menganugerahkan P Ramlee secara posthumous gelaran Tun sebagai simbol penghargaan terbesar kepada Allahyarham sekali gus membuktikan bangsa kita mempunyai anak seni genius dan cukup hebat serta tiada pengganti yang mampu sama pencapaian dengannya. P Ramlee bukan saja dibanggakan oleh rakyat Malaysia malah di kalangan penduduk di rantau Nusantara. Malah, karyanya juga melangkah jauh untuk dinikmati oleh pencinta seni di seantero dunia.

Penganugerahan gelaran Tun kepada P Ramlee akan memberi satu insiprasi dan kebanggaan buat masyarakat kerana dalam bidang seni budaya dan industri hiburan juga ada satu contoh terpuji dan hebat yang harus diambil dan dijadikan inspirasi.

Sehingga hari ini industri seni budaya dan hiburan di Malaysia masih gagal menemui pengkarya yang boleh menyamai kehebatan P Ramlee sama ada dari segi kehebatan karya seni mahupun secara personaliti. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan separuh kejayaan P Ramlee pun belum ada anak seni zaman sekarang yang mampu menyamainya meskipun kebanyakan penggiat seni zaman sekarang sudah menikmati kemewahan dan menjadi jutawan atas nama sebagai artis.

Kita harus bersyukur kerana Tuhan kurniakan kepada bangsa kita seorang manusia P Ramlee. Biarpun ada anak seni yang rimas berikutan penghargaan terhadap P Ramlee diberikan terlalu tinggi dan ada pihak juga yang memperkecilkan kehebatan P Ramlee dengan membandingkan dengan kehebatan orang lain yang kononnya juga setanding, sebenarnya P Ramlee jugalah yang tetap menang di hati dan jiwa masyarakat negara ini, bukan saja Melayu malah kaum lain juga. Mungkin tahun ini kita akan mendengar panggilan nama Tun P Ramlee...

Kata orang, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama...

0 ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP