Until Death Do Us Part - Jonas

Khamis, Januari 22, 2009

#18. Isu : Rasional Harga Tiket, Skim Wajib Tayang

14hb Januari, 2009
Utusan Malaysia

SKIM Wajib Tayang yang disyaratkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sejak empat tahun lalu kepada pawagam-pawagam di negara ini bertujuan menjaga kepentingan para penerbit dan filem-filem tempatan.Menerusi skim itu, pihak pawagam diwajibkan menayangkan filem-filem tempatan untuk tempoh sekurang-kurangnya dua minggu supaya mereka lebih berdaya saing dengan filem-filem dari luar negara.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, ada pula cadangan daripada segelintir penerbit filem yang mahukan supaya Skim Wajib Tayang dihapuskan dengan alasan ia masih belum banyak membantu menambah kutipan tiket filem-filem terbitan mereka.

Secara kasarnya agak menghairankan juga apabila isu seperti itu ditimbulkan kerana skim tersebut setakat ini telah banyak membantu para penerbit filem tempatan dalam usaha mereka mengaut kutipan tiket yang lebih tinggi.

Perkara itu antara lain timbul apabila tempoh tersebut dikatakan bukan sahaja tidak mencukupi, malah ada di kalangan pawagam yang menarik tayangan sesebuah filem tempatan tidak sampai dua minggu ia ditayangkan kerana sambutan dingin penonton.

Sehubungan itu, menurut Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim, terdapat beberapa perkara yang termaktub dalam Skim Wajib Tayang yang harus diperkemaskan lagi demi menjaga kepentingan pihak penerbit dan juga pawagam pada masa depan.

"Antaranya saya dapat tahu, ada penerbit yang tidak mahu filem mereka ditayangkan di skrin pawagam yang besar.

"Ini kerana, apabila filem mereka ditayangkan di pawagam-pawagam yang besar, dan hanya ditonton tidak sampai 30 peratus kapasiti pawagam tersebut, maka pihak pawagam boleh menarik balik tayangannya kerana ia merugikan mereka," ujarnya.

Persoalan yang timbul daripada isu itu ialah, mampukah para penerbit filem kita bersaing secara terbuka dengan filem-filem dari luar negara tanpa adanya Skim Wajib Tayang tersebut?

Daripada senario itu, ia sedikit sebanyak menggambarkan para penerbit kita belum mampu bersaing terutamanya dengan filem-filem besar dari Hollywood yang turut ditayangkan di pawagam yang sama.

Dalam masalah ini, Finas bukan sahaja patut bersikap tegas dalam melaksanakan skim tersebut, tetapi di kalangan penerbit dan pihak pawagam juga haruslah berbincang dalam menyediakan saiz pawagam yang sesuai dengan 'keupayaan' tarikan sesebuah filem.

Selain itu, baru-baru ini ada juga cadangan yang datangnya daripada para penggiat dalam industri perfileman tanah air yang mahu agar harga tiket bagi menyaksikan filem-filem dari Hollywood dinaikkan daripada RM10 kepada RM20.

Cadangan itu antara lain bagi menjaga kepentingan filem-filem tempatan yang dikatakan menerima saingan sengit daripada kemasukan banyak filem-filem hebat, terutama dari Hollywood.

Cara itu kononnya sedikit sebanyak diharap dapat menggalakkan lebih ramai penonton menyaksikan filem-filem Melayu kerana harganya lebih murah.

Idea itu secara kasarnya dicetuskan oleh kalangan penerbit filem kita yang mungkin sudah tidak mampu lagi untuk bersaing dengan filem-filem Hollywood yang terkenal kerana mempunyai daya tarikan serta kualiti yang lebih tinggi berbanding filem-filem tempatan.

Nampaknya Skim Wajib Tayang yang diperkenalkan oleh Finas sejak beberapa tahun lalu bagi mewajibkan tayangan sekurang-kurangnya dua minggu kepada filem-filem tempatan di pawagam-pawagam masih belum memadai.

Ramai pembikin filem tempatan yang menyokong cadangan tersebut kerana ia sebagai salah satu cara untuk meneruskan kelangsungan dalam industri perfileman di negara ini yang pada masa sama turut dibanjiri oleh banyak filem dari Hong Kong, Bollywood, Korea, Jepun, Thailand dan Indonesia.

Sayangnya, daripada sudut lain pula, ia akan memberi tekanan kepada para penonton yang terpaksa mengorbankan lebih banyak wang mereka semata-mata kerana mahu menonton sesebuah filem berkualiti dari Hollywood. Malah, cadangan itu juga belum tentu mampu memberi jaminan bahawa para peminat akan menonton filem Melayu biarpun jika harga tiketnya lebih murah.

Kita janganlah terlalu mudah mencari jalan pintas untuk menarik para penonton menonton filem-filem Melayu tanpa mengambil kira aspek-aspek lain terutamanya kualiti, jalan cerita dalam filem dan pemasarannya.

Pada masa sama, jika cadangan itu mahu dikuatkuasakan, maka filem-filem dari Hong Kong, Bollywood, Jepun, Korea, Thailand dan Indonesia juga sepatutnya tidak dikecualikan kerana mereka turut menyumbang kepada masalah yang sedang berlaku sekarang ini.

Kalaulah cadangan itu akan dilaksanakan juga, para penonton tentunya akan berfikir banyak kali soal kualiti dan kelainan jalan cerita dalam filem-filem kita di mana harga tiket murah bukan lagi menjadi keutamaan tetapi yang penting ialah soal kepuasan menonton!

0 ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP