Until Death Do Us Part - Jonas

Rabu, Januari 28, 2009

#38. Hype : Dua Hajat Besar Jins Belum Kesampaian

15hb Januari, 2009
Berita Harian
Akmal Abdullah

MINGGU lalu, Menteri Perpaduan, Kebudayaan Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, mengumumkan Senator Tan Sri Jins Shamsuddin bakal menjadi penerima kelapan bagi anugerah tertinggi negara dalam bidang kesenian dan kebudayaan, iaitu Anugerah Seniman Negara. Majlis penganugerahan akan diadakan tidak lama lagi yang akan disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Syabas dan tahniah buat seniman veteran ini kerana dalam usianya yang kini memasuki 74 tahun, beliau terus diberi pengiktirafan oleh kerajaan atas segala jasa bakti dan sumbangan besarnya terhadap perkembangan filem nasional. Jins juga muncul sebagai satu-satunya anak wayang yang menerima anugerah tertinggi itu selepas penerima lain sebelum ini membabitkan mereka dalam bidang teater, muzik, seni lukis, seni ukir, tarian tradisional dan wayang kulit.

Nama Jins sinonim dengan dunia filem Melayu. Pembabitannya dalam industri filem di Malaysia sudah lebih setengah abad, iaitu lebih 53 tahun. Jins tak pernah jemu untuk mengambil berat dan membantu mengenai dunia filem bangsanya. Jins ada karakter tersendiri. Gayanya dalam filem dan luar filem bagaikan serasi. Lebih membuatkan beliau terkenal dari dulu sampai sekarang kerana namanya yang unik.

Jins juga ada jenama tersendiri. Dia membina dan mengatur perjalanan seninya terutama dalam bidang perfileman dan seni budaya dengan cemerlang, mendaki satu tahap demi tahap anak tangga - bermula sebagai anak didik P Ramlee hingga akhirnya menjadi hero filem Melayu yang terkenal, menjadi idola ramai pelakon baru dan kini mencipta kehebatan sebagai tokoh perfileman Malaysia yang disegani dan disayangi ramai. Perjuangannya dalam dunia filem bukan setakat menghasilkan filem cereka menerusi arahan dan terbitannya tetapi dia banyak berperanan secara langsung dalam membangunkan industri sinema Malaysia seperti rancangan menubuhkan Finas, pembukaan akademi filem, pendidikan filem di universiti, kerap diundang jadi juri dan perwakilan di acara filem antarabangsa dan banyak lagi jasa baktinya yang membantu merubah landskap dunia filem Melayu era baru. Filem hebat sentuhannya pada 1981, Bukit Kepong membuka satu semangat baru kepada penggiat filem lain betapa filem Melayu boleh bangkit semula sesudah ia lesu sekitar dekad 1970-an.

Walaupun ramai yang suka dan ramai juga yang tidak suka pada Jins, beliau tetap bertahan sebagai tokoh filem yang dikagumi kerana rekod laluannya yang dibina dengan baik - tidak ada pencapaian anak seni lain terutama anak wayang yang masih hidup kini mampu setanding dengan kejayaan yang dicipta Jins. Lebih mengagumkan kerana Jins ada lebih 30 rekod peribadi kerana muncul sebagai orang pertama atau anak seni pertama dalam beberapa bidang kejayaan. Dari sudut lain, kesihatan Jins juga masih baik meskipun usianya sudah lebih tujuh dasawarsa. Dalam usia itu dia masih aktif bekerja tatkala ramai rakan seperjuangannya dulu sudah kembali kepada yang Maha Esa dan jika ada yang masih hidup, ramai yang mengalami masalah kesihatan dan bersara.

Selepas mencipta kejayaan sebagai anak seni Malaysia yang pertama menjadi Ahli Dewan Negara, beliau yang kini turut aktif dalam kegiatan politik bagaikan tidak puas untuk mencari pengalaman baru kerana sanggup bertungkus-lumus menyiapkan tesisnya untuk pengajian peringkat ijazah doktor falsafah di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Dalam usia beliau sekarang, rupa-rupanya Jins masih ada azam untuk menghasilkan dua lagi filem cereka. Dia tetap mahu duduk di kerusi sutradara kerana yakin dengan kesihatannya yang masih baik dan kudratnya tertap bersemangat, dia mahu mengakahiri hidupnya dengan menghasilkan dua lagi filem. Semua tahu, hasratnya untuk menghasilkan filem epik sejarah, Pasir Salak - King of the River masih tertangguh sejak 16 tahun lalu. Sekian lama tertangguh, kini Jins mula membuka mulut semula untuk kembali membuat persiapan meneruskan kerja produksi filem berkenaan.

Jins kini sedang berusaha dengan pihak kementerian untuk mendapatkan geran bagi membolehkan Pasir Salak dapat dibuat penggambaran. Ketika berbual dengannya pada malam Selasa lalu, Jins akur filem itu sudah lama tertangguh tetapi tidak bererti ia akan terkubur begitu saja. Dia memang mahu sangat filem berkenaan dapat dihasilkan kerana ada sesuatu yang ingin disampaikannya kerana penyelidikan untuk skrip filem itu mengambil masa lebih dua tahun dan ia penting untuk hadiah kepada generasi baru.

Satu lagi filem yang mahu disiapkan Jins selepas Pasir Salak ialah filem berjudul P Ramlee. filem itu mahu dihasilkannya kerana ia adalah simbolik peribadinya dan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih tidak terhingga beliau terhadap sifu atau guru filemnya itu. Jins mengatakan, beliau sudah mendapat kebenaran rasmi daripada keluarga Seniman Agung itu yang mengizinkan beliau menghasilkan filem mengenai kisah hidup P Ramlee.

Jins sedar, hasratnya itu besar dan bukan mudah untuk dihasilkan dalam masa setahun dua ini. Cuma, dia berharap dan berdoa agar Tuhan memudahkan laluannya untuk menyiapkan dua filem itu. Dia juga berharap kesihatannya sentiasa baik dan dipanjangkan umur untuk dia berkorban masa dan tenaga bagi menyampaikan hajatnya itu. Jins sangat berharap ada pihak yang sudi membantu. Dua hajat besar ini masih belum kesampaian. Namun, Jins tetap berazam untuk merealisasikannya supaya dia akan meninggalkan sesuatu yang lebih bermakna untuk anak bangsanya dan negara sebelum dia menghembuskan nafas terakhir.

‘Kedua-dua filem ini amat bermakna dalam hidup saya. Lega rasanya kala filem ini berjaya dihasilkan. Pendek kata, kalau saya berjaya menyiapkan kedua-dua filem ini, kalau saya mati pun, mata saya akan terpejam rapat,” demikian kata Jins kepada pihak media sejurus selesai majlis pengumuman nama beliau sebagai penerima Anugerah Seniman Negara pada minggu lalu.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP