Until Death Do Us Part - Jonas

Rabu, Januari 28, 2009

#39. Hype : Anugerah Berganda Buat Jins Shamsudin

15hb Januari, 2009
Utusan Malaysia
NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA

TIRAI tahun 2009 melakar satu lagi sejarah kepada dunia perfileman negara apabila Anugerah Seni Negara (ASN) yang dianjurkan oleh Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KPKKW), pertama kalinya mengangkat insan filem negara sebagai penyandang utama. Bertepatan dengan ketokohan dan sumbangan yang diberikan, seniman tersohor Senator Tan Sri Jins Shamsudin diumumkan sebagai penerima kelapan Anugerah Seniman Negara oleh Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal baru-baru ini.

Anugerah yang mula diperkenalkan pada 13 Januari 1993 itu sebelum ini memahat seramai tujuh nama besar penggiat seni di atas sumbangan dan kepakaran seni yang diberikan.

Mereka ialah Hamzah Awang Amat yang mahir dalam bidang wayang kulit pada tahun 1993, diikuti penggiat seni lukis, Datuk Syed Ahmad Jamal (1995), penggiat seni ukiran, Wan Su Othman (1997) dan penggiat makyung, Khatijah Awang (1999).

Penggiat teater, Datuk Syed Alwi Syed Hasan turut menerima anugerah yang sama pada tahun 2002, diikuti tokoh pementasan bangsawan, Rahman B (2004) dan tokoh muzik, Datuk Ahmad Nawab dua tahun lalu.

Ditemui pada majlis pengumuman tersebut, Jins Shamsudin melahirkan rasa terharu diiktiraf sebagai salah seorang penerima anugerah ulung yang mengangkat kepakaran penggiat seni bukan sahaja dalam bidang filem dan muzik tetapi juga dalam seni tari, teater dan seni visual.

"Saya rasa bersyukur kerana diiktiraf sebagai salah seorang Seniman Negara. Anugerah ini bagi saya satu pengiktirafan yang besar kepada penggiat seni perfileman negara. Ia juga merupakan sejarah kerana inilah kali pertama pengiktirafan ASN yang melibatkan tokoh perfileman dilakukan.

"Saya akan gunakan anugerah yang diberikan sebaik mungkin sebab ia merupakan pengiktirafan daripada negara. Apatah lagi, sebagai wakil yang kini berada di dewan negara membuatkan saya rasa bertanggungjawab dalam memperjuangkan apa sahaja yang berkaitan dunia seni," kata anak didik seniman agung, Tan Sri P. Ramlee itu.

Penerima Anugerah Seniman Negara bakal menerima wang tunai RM60,000, sepasang persalinan lengkap baju Melayu songket dan kemudahan perubatan percuma wad kelas pertama di mana-mana hospital kerajaan.

Selain itu, beliau juga dilantik menjadi pengkarya, pencipta karya tamu kehormat dan pakar rujuk serta menjadi wakil KPKKW dalam seminar atau forum peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Penerima lain termasuklah Anugerah Bakat Muda Seni Filem kategori pengarah filem, Osman Ali dan kategori pelakon, Farid Kamil Zahari.

Manakala Anugerah Karyawan Seni Filem kategori pengarah filem diberikan kepada Datin Paduka Shuhaimi Baba dan Rosyam Nor bagi kategori pelakon.

Antara lain, Anugerah Karyawan Seni Teater kategori pengarah diberikan kepada Fauziah Nawi dan Datuk Jalaludin Hassan bagi kategori pelakon.

Profesor Adjung

Anugerah bakal disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam tempoh terdekat.

Jins Shamsuddin yang dilahirkan pada 5 November 1935 mula menempa nama menerusi filem arahan P. Ramlee, Panca Delima yang dilakonkan bersama Hashimah Yon pada tahun 1957.

Filem lain lakonannya termasuklah Sarjan Hassan (1958), Dandan Setia (1959), Lela Manja (1960), Si Tanggang (1961), Menanti Hari Esok (1977), Esok Masih Ada (1979), Esok untuk Siapa? (1982), Bukit Kepong (1982) dan Akhirat (2008).

Melakonkan lebih 30 buah filem memberi kelebihan kepada penerima anugerah Pengarah Filem Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) pada tahun 1980 (Tiada Esok Bagimu) dan 1982 (Bukit Kepong) itu dalam memberi inspirasi kepada bakat-bakat baru yang terlibat dalam dunia perfileman.

Kegembiraan pemilik nama sebenar Zain Shamsudin itu berganda apabila baru-baru ini beliau dilantik sebagai Profesor Adjung, Universiti LimKokWing untuk tempoh tiga tahun.

Menerima surat pelantikan pada 31 Disember lalu, menurut ahli Dewan Negara ini lagi, selain memberi pelbagai taklimat dan syarahan berkaitan seni dan perfileman, beliau turut diberi pengiktirafan menyampaikan ijazah kepada para graduan seni di universiti itu.

Menganggap penglibatan dan anugerah yang diberikan sebagai pendorong kepada anak-anaknya, kata Jins: "Semua ini merupakan kenangan daripada saya. Apabila saya sudah tiada nanti sekurang-kurangnya ada kenangan yang saya tinggalkan untuk anak-anak saya".

Hasrat filemkan riwayat hidup P. Ramlee

Usia yang kini mencecah ke angka 73 tahun bukanlah kekangan buat seniman berjiwa besar itu dalam meneruskan karya seninya.

Sepuluh tahun lalu, pernah beliau meluahkan hasrat menghasilkan filem yang berkisarkan perjuangan penduduk Tanah Melayu menentang penjajahan British, Pasir Salak dan kini, hasratnya hampir terlaksana.

"Memang sudah lama saya berhasrat, sebelum menutup mata saya ingin hasilkan filem Pasir Salak. Ia merupakan filem sejarah penting yang memaparkan bagaimana perjuangan nenek-moyang kita terdahulu dalam menentang penjajahan British di Tanah Melayu.

"Insya-Allah, saya akan berusaha menyiapkan filem ini selewat-lewatnya hujung tahun ini dan mungkin ini merupakan karya terakhir daripada saya.

"Bagaimanapun, jika masih dipanjangkan umur saya ada satu lagi hasrat iaitu untuk filemkan sejarah hidup guru saya, P. Ramlee apabila selesai kerja-kerja pengambaran filem Pasir Salak nanti," kata pengarah filem Bukit Kepong itu lagi.

Menyediakan peruntukan lebih RM5 juta menurut Jins, beliau telah memulakan pengambaran untuk Di Sebalik Tabir filem Pasir Salak itu nanti.

"Saya sudah membuat pelbagai penyelidikan selama dua tahun termasuk membelanjakan lebih RM200,000 dalam membuat pelbagai penyelidikan di London.

"Kini saya sudah mula menerbitkan produksi di sebalik pembikinan filem tersebut. Saya juga telah menempah sebanyak 120 pucuk senjata dan pakaian yang bakal digunakan dalam filem ini di Bandung, Indonesia," kata graduan ijazah kedoktoran (PHD) bidang perfileman, Universiti Utara Malaysia itu lagi.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP