Until Death Do Us Part - Jonas

Khamis, Februari 12, 2009

#102. Tiada pelakon popular dalam CE1

12hb Februari, 2009
Utusan Malaysia
ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my


HEZLE Helan (berdiri dua dari kanan) bersama tenaga kerja CE1 pada pelancaran RoboFair 2009 di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.

AZIZ M. Osman merupakan pengarah yang sentiasa mahu tampil dengan pelbagai pembaharuan dalam filem-filem arahannya termasuklah menampilkan barisan pelakon baru.
Pendekatan itu dapat dilihat apabila beliau tidak akan menampilkan pelakon yang sudah popular menerusi filem terbaru arahannya berjudul CE1 yang akan menjalani penggambaran Mac ini.

Sebaliknya, Aziz akan mengetengahkan para pelakon baru dalam filem untuk tontonan seisi keluarga itu supaya ia mampu memberi kelainan kepada para penonton.

"Itu memang merupakan pendekatan saya bagi memperlihatkan kelainan dalam setiap filem arahan saya. Saya pentingkan pakej yang segar dalam setiap filem arahan saya.

"Ia supaya filem arahan saya itu kelak tidak nampak muka-muka (pelakon popular) biasa semata-mata. Ini kerana, dalam sesebuah filem ia bukan sekadar penampilan bintang-bintang sahaja.

"Saya masih lagi mencari pelakon yang sesuai. Siti Zie merupakan pelakon baru saya yang akan saya tonjolkan dalam CE1," katanya pada sidang media di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Sidang akhbar itu diadakan sempena pelancaran pameran RoboFair 2009 selain mengumumkan penerbitan CE1 yang akan menjalani penggambaran Mac ini.

Menurut Aziz, dia mengenali Siti Zie selepas berkenalan menerusi laman sesawang Facebook di Internet selepas tertarik dengan karekter dan ciri-ciri yang terdapat pada gadis tersebut.

"Siti Zie ada ciri-ciri watak utama yang akan saya ketengahkan dalam CE1 iaitu seorang remaja yang ada iras gadis Cina. Pengurus Produksi filem ini iaitu Storm juga bersetuju dengan saya.

"Selepas uji bakat diadakan, maka kami setuju menawarkan beliau berlakon dalam filem ini. Selepas ini uji bakat akan terus diadakan bagi mencari para pelakon lain," ujarnya.

Jelasnya, beliau yakin dengan bakat Siti Zie biarpun pelakon itu masih mentah dalam bidang lakonan, malah menaruh harapan dan keyakinan yang tinggi terhadap bakat muda terbabit.

"Sebelum ini pun saya telah memperkenalkan ramai pelakon baru seperti Sari Yanti, Sarimah Ibrahim dan Raja Farah di mana mereka kini merupakan pelakon popular," katanya yang akan menggunakan hampir 300 imej janaan komputer (CGI) dalam filem tersebut.

CE1 yang menelan kos hampir RM2 juta merupakan filem terbaru Aziz M. Osman selepas mengarahkan filem Senario Pemburu Emas Yamashita kira-kira tiga tahun lalu.

Siti Zie yang berada di sisi Aziz berkata, beliau berasa sungguh bertuah dan tidak menyangka perkenalannya dengan pengarah itu melalui Facebook telah membawanya ke dunia filem.

"Saya terkejut apabila abang Aziz menawarkan saya berlakon dalam filem ini. Apatah lagi, CE1 merupakan filem pertama lakonan saya di mana ia memberi makna besar buat saya.

"Bagaimanapun, sebelum ini saya pernah berlakon dalam drama berjudul Di Garisan Takdir. Sedikit sebanyak drama lakonan saya itu memberi pengalaman kepada saya," jelasnya.

Hadir sama pada pelancaran pameran RoboFair 2009 dan CE1 ialah Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datin Paduka Dr. Khadijah Yusoff, Pengurus Besar Gagasan Badan Ekonomi Melayu, Nor Rashid Ismail dan Pengurus Imagika Sdn. Bhd., Mohd. Helan Abu.

Turut serta ialah Penerbit Hez Comm, selaku penerbit CE1 iaitu Hezle Helan dan penulis skripnya, Mohd. Zakizamani.

Sinopsis CE1

FILEM ini berlatarkbelakangkan tahun 2015 dengan mengisahkan seorang budak kampung bernama Zaki yang mempunyai kecenderungan mencipta robot.

Dia mempunyai beberapa buah robot berbentuk serangga yang dipanggil bugbot-bugbot. Ia dibina untuk kerja-kerja di rumah di mana ia merupakan tanggungjawab Zaki sebagai saintis muda.

Salah satu projeknya merupakan sebuah robot humanoid bernama CE1. Zaki bercadang untuk memasuki perlawanan robotik yang bakal diadakan di Kuala Lumpur. Perlawanan itu akan membuktikan dirinya sebagai ahli robotik yang mempunyai masa depan cerah.

Zaki perlu memastikan CE1 bersedia untuk perlawanan tersebut. Selain itu, dia juga perlu menghindarkan cubaan mencuri teknologi CE1 dari sebuah syarikat yang berniat jahat.

Tenaga Kerja CE1:

Penerbit - Hezle Helan

Penerbit Eksekutif - C.K.Wong

Penerbit Bersekutu - Zakaria B. Abdul Razak

Penulis Skrip - Mohd. Zakizamani

Penolong Pengarah 1 - Andre Chiew

Penolong Pengarah 2 - Mohd. Zakizamani

Pengurus Produksi - Dzulhawari Mazlan

0 ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP