Until Death Do Us Part - Jonas

Khamis, Februari 19, 2009

#131. Bersemangat buat filem

19hb Februari, 2009
Harian Metro
Elrafaei Sapi
ahmadelrafaei@hmetro.com.my

BERBEZA dengan faktor sambutan penonton di pawagam yang berkurangan, produser filem tempatan masih bersemangat menerbitkan filem baru setiap tahun. Senario ini dapat dilihat pada jumlah filem yang ditayangkan di pawagam meningkat setiap tahun. Tahun ini menyaksikan 32 filem baru menemui penonton berbanding 26 filem tahun lalu manakala 28 filem pada 2007. Mengikut statistik daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), filem Duyung yang ditayangkan awal Mac tahun lalu mencatat kutipan kasar tertinggi sebanyak RM4.67 juta manakala Jangan Pandang Belakang pula mengungguli kutipan untuk 2007 sebanyak RM5.77 juta.

Biarpun permulaan suku tahun ini masih baru untuk diperkatakan tetapi filem animasi, Geng: Pengembaraan Bermula berjaya mencatat kutipan memberangsangkan itu RM2 juta (enam hari tayangan) dan dijangka meraih RM2.5 juta lagi untuk kutipan empat hari dari Khamis hingga Ahad ini berdasarkan kutipan pada Sabtu dan Ahad lalu yang mencecah RM600,000 untuk sehari.

Dua filem yang ditayangkan sebelum ini, Sifu & Tongga mengutip RM2.8 juta dan Malaikat Maut sebanyak RM1.59 juta. Selepas Geng: Pengembaraan Bermula menemui penonton pada 12 Februari lalu, filem Rasukan Ablasa pula mengambil giliran pada 26 Februari ini diikuti dua filem baru, Sayang dan Jin Hutan ditayangkan serentak pada 12 Mac depan.

Namun, apa yang menjadi persoalan, produser turut berdepan masalah selain jumlah kutipan tiket. Menariknya, saingan sengit filem baru yang ditayangkan pada tahun ini dapat dilihat apabila dua filem ditayangkan setiap bulan.

Produser merangkap pengarah, Afdlin Shauki, berkata dia bimbang kerana tiga filem barunya, Berani Punya Budak, Papadom dan My Spy yang sepatutnya ditayangkan tahun ini masih belum mendapat tarikh tayangan. Kehadiran banyak filem baru memberi saingan sengit di kalangan produser merebut tarikh tayangan sesuai untuk menarik perhatian penonton ke pawagam.

"Apa yang saya nampak, jadual filem mengikut syarat wajib tayang penuh hingga hujung tahun ini. Ini turut memberikan masalah kepada produser seperti saya andai filem baru masing-masing tidak berpeluang mendapat tayangan tahun ini.

"Biarpun penonton akan ke pawagam untuk menyaksikan filem yang mereka suka tetapi setiap produser tetap mahu filem mereka mendapat masa tayangan sesuai. Selalunya, pertengahan tahun bermula Mei hingga Julai, produser berdepan cabaran filem Hollywood bertaraf blockbuster masuk pawagam.

"Begitu juga Ogos dan September yang menghampiri Ramadan, produser bimbang jika filem mereka ditayangkan pada masa itu. Masa tayangan sebenarnya memainkan faktor amat penting untuk produser merancang jumlah kutipan dan strategi promosi sebelum itu.

"Tahun ini menyaksikan banyak filem baru yang bagus menemui penonton. Saya juga bersemangat untuk melihat kemajuan filem tempatan yang makin meriah dengan kemunculan filem baru. Namun, filem bagus pun memerlukan strategi promosi yang kuat kerana ia memberi impak pada sambutan penonton," katanya.

Bagi pengarah baru, M Subash Abdullah yang pernah menghasilkan filem pertama, Pensil, tahun lalu menyatakan dia tidak mempunyai masalah menantikan tayangan tiga filem barunya, Syirik, Jomlah Cium dan Mannan yang dijangka menemui penonton tahun ini. Katanya, dia bukan berniat menghasilkan filem untuk meraih keuntungan, sebaliknya lebih menumpukan aspek penyampaian mesej positif pada penonton.

"Saya mahu filem baru saya mempunyai kelainan dan tidak kisah jika kutipan tiket diterima cuma sedikit. Saya gembira andai penonton suka filem saya dan memahami mesej yang ingin disampaikan.

"Buat masa ini, Syirik sudah mendapat tarikh tayangan iaitu 4 Jun nanti. Menariknya, filem ini mengisahkan pelajar perfileman mati dibunuh dan rohnya kembali membalas dendam. Berbeza dengan Jomlah Cium iaitu singkatan cari idea untuk Malaysia (cium), filem ini pula membawa perhubungan antara saya sebagai sami Buddha bersama penganut Kristian dan ustaz membantu satu sama lain melaksanakan kebajikan membina masjid.

"Mannan pula membawa pengalaman sebenar saya melihat cahaya terang dari sebuah masjid sehingga ia mendekatkan diri saya pada Islam. Sungguhpun banyak filem baru bersaing tahun ini tetapi saya berharap kualiti filem kita meningkat hingga mampu dibawa ke festival luar negara.

"Matlamat saya membuat filem ingin mengangkat nilai masyarakat negara ini dengan penyampaian mesej yang dapat mendidik penonton pelbagai bangsa dan agama supaya mampu bersatu," katanya.

Pengarah filem Cinta Terakhir, Along Kamaludin pula berkata, dia masih mengharapkan filem arahan keduanya itu dapat ditayangkan tahun ini. Selepas tertangguh tiga tahun, dia berkeyakinan sambutan penonton terhadap filem genre cinta masih ada. Filem Cinta Terakhir menggandingkan Azizan Nin bersama pelakon Indonesia, Intan Olivia Asriana sebagai pelakon utama.

"Berdasarkan tayangan di beberapa universiti sebelum ini, respons diterima adalah positif. Kebanyakan mereka menyukai filem ini kerana cara pendekatan yang dibawa berbeza dengan filem cinta Melayu yang pernah ditonton.

"Walaupun pada mulanya ada penonton berpandangan skeptikal mengenai plot cinta filem Melayu tetapi sebaik selesai menonton, persepsi mereka berubah. Kata mereka, filem ini mempunyai pendekatan seperti filem Indonesia yang mampu meraih sambutan baik apabila ditayangkan kelak.

"Saya sendiri sebenarnya berbangga apabila filem tempatan seperti ini dikatakan mempunyai persamaan dengan filem Indonesia kerana ia tetap mempunyai kelainan yang diharapkan pada filem Melayu. Meskipun saingan filem baru tahun ini banyak tetapi saya tidak gentar bersaing.

"Penonton akan tetap ke pawagam jika filem itu bagus dan faktor promosi juga penting untuk menarik perhatian mereka. Namun, apa yang menjadi persoalan, apabila penonton kecewa dengan kualiti filem kita hingga persepsi mereka terhadap filem lain juga sama dan akibatnya mereka enggan ke pawagam untuk menonton filem Melayu.

"Produser juga harus terima hakikat apabila filem tempatan dikritik belum cukup bagus. Jangan salahkan penonton jika kualiti filem sendiri masih rendah. Bagaimanapun, itu hak mereka jika ada produser baru yang ingin mencuba nasib menghasilkan filem. Namun, seharusnya mereka buka minda dan menimba pengalaman daripada orang lain sebelum bersedia dengan filem baru," katanya.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP