Until Death Do Us Part - Jonas

Jumaat, Februari 20, 2009

#133. Saingan hebat Pengarah Terbaik

20hb Februari, 2009
Utusan Malaysia
SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my

CEMERLANG...Danny Boyle dilihat pemerhati filem sebagai calon utama untuk memenangi kategori Pengarah Terbaik.

ANUGERAH Academy ke-81 atau Oscar semakin menghampiri ke kemuncaknya dan sudah pasti, peminat dan pemerhati filem di seluruh dunia menantikan saat ini untuk mengetahui siapakah yang bakal membawa anugerah keramat ini.Menariknya tentang Oscar, bukan sahaja pelakon yang dicalonkan sahaja menjadi sebutan tetapi dari semua sudut dalam sebuah penerbitan filem juga tidak dipandang sepi.

Baik mereka yang terlibat dalam lakon layar, rekaan busana, solekan, rekaan set, suntingan bunyi, muzik, animasi sehinggalah ke dokumentari. Semuanya diiktiraf Oscar dan memenangi Oscar sememangnya menjadi idaman karyawan seni di Hollywood.

Kategori Pengarah Terbaik juga tidak terlepas daripada pemerhatian kerana ia juga memperlihatkan kehebatan pengarah yang mencurahkan idea dan kreativiti menerusi filem arahan mereka.

Jika tanpa sentuhan sang sutradara, mustahil filem berkenaan mampu dijiwai oleh penonton selain daripada keberkesanan lakon layar yang merupakan penentu kejayaan sesebuah filem itu.

Tahun ini kategori ini menyaksikan kelima-lima pengarah filem yang dicalonkan kesemuanya mewakili lima filem yang tercalon dalam kategori Filem Terbaik.

Tidak seperti tahun-tahun sebelumnya di mana ada filem yang dicalonkan untuk Filem Terbaik tetapi pengarahnya gagal ditempatkan dalam antara lima yang terbaik.

Nama-nama hebat yang tercalon tahun ini adalah Danny Boyle yang mempamerkan kehebatannya menerusi filem Slumdog Millionaire, Stephen Daldry (The Reader), David Fincher (The Curious Case of Benjamin Button), Ron Howard (Frost/Nixon) dan Gus Van Sant (Milk).

Sudah pasti, sinar kecemerlangan akan menyinari Danny yang menjadi sebutan kali ini untuk membawa pulang gelaran yang menjadi idaman ramai pengarah di Hollywood.

Golden Globe menjadi miliknya malah BAFTA juga berada kemas dalam genggamannya. Selain itu, dia turut menerima anugerah Director's Guild of America (DGA) yang sering kali menjadi penentu bagi seseorang pengarah itu untuk dinobatkan sebagai Pengarah Terbaik di Oscar.

Jadi, daripada trek rekod cemerlang itu tidak mustahil untuknya dianugerahkan dengan Oscar sekali gus melengkapi gelaran itu untuk musim anugerah tahun ini.

Namun, harus diingat. Penganjuran Oscar akan sentiasa berdepan dengan kejutan kerana calon yang diramalkan tidak semestinya akan membawa pulang anugerah tersebut.

Sebagai contoh, pada tahun 2003, Rob Marshall memenangi DGA menerusi filem Chicago manakala Martin Scorsese pula menerima Golden Globe bagi hasil kerjanya untuk filem Gangs of New York.

Sebaliknya, di Oscar, dua nama itu kecundang apabila nama Roman Polanski ditabalkan sebagai Pengarah Terbaik menerusi filem The Pianist yang ternyata telah mengejutkan ramai pihak.

Melihatkan sejarah yang pernah terlakar itu, tidak mustahil seandainya ia berulang lagi tahun ini dan jika itu berlaku, Danny nampaknya terpaksa berputih mata.

Mungkinkah juga Oscar akan menjadi milik David Fincher yang begitu menyerlah hasil seninya dalam filem hebat, The Curious Case of Benjamin Button, filem yang paling banyak menerima pencalonan dalam 13 kategori.

Apatah lagi kali pertama dicalonkan, mungkin pihak akademi mahu memberinya pengiktirafan di atas hasil kerja kerasnya menghasilkan filem seindah The Curious Case of Benjamin Button.

Ron Howard yang pernah menerima Oscar dalam kategori ini pada tahun 2002 turut dicalonkan sekali lagi menerusi filem Frost/Nixon. Walaupun filem ini mendapat kritikan pelbagai, namun, di mata Oscar ia tetap mempunyai nilai dan sentuhannya yang tersendiri dan atas alasan itu, Ron juga mampu mencipta kejutan.

Dua calon lain iaitu Stephen Daldry dan Gus Van Sant memang bukan asing lagi dalam bidang pengarahan kerana masing-masing mempunyai pendekatan artistik dalam filem The Reader dan Milk yang diarahkan mereka.

Kalaulah mereka menang sekalipun, bukanlah sesuatu yang harus diperdebatkan kerana masing-masing sudah dikenali dengan penghasilan filem-filem yang hebat dan bermutu.

Pilihan Hits: Danny Boyle (Slumdog Millionaire).

0 ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP