Until Death Do Us Part - Jonas

Selasa, Februari 24, 2009

#139. Perjuangan Jins belum bernoktah

24hb Februari, 2009
Utusan Malaysia
SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my



SEBELUM perbualan kami diteruskan pada pagi yang cukup mendamaikan itu, anak seni terbilang ini mahu ucapan yang lahir dari hati tulusnya itu diungkapkan dalam tulisan ini.Walaupun, dia sendiri mengakui bahawa sudah pun menulis dan mengirimkan warkah terima kasihnya kepada pihak yang mengangkat namanya ke puncak tertinggi, tetapi, dia menginginkan juga agar kata penghargaannya dirakamkan.

Ia menggambarkan betapa terharunya dan bertuahnya dirinya sebagai anak seni apabila menjadi tokoh perfileman pertama yang menerima Anugerah Seniman Negara kali ke-8 yang berlangsung minggu lalu.

"Saya ingin menjunjung kasih kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin kerana menyerahkan anugerah istimewa ini kepada saya.

"Begitu juga untuk Menteri Perpaduan Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KPKKW), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal yang memilih saya sebagai penerima Anugerah Seniman Negara tahun ini.

"Tidak dilupakan kepada Ketua Setiausaha, Datuk Dr. Muzahet Masruri bersama panel lain yang sepakat mencadangkan nama saya.

"Anugerah yang saya terima ini juga adalah sebagai mewakili karyawan filem tempatan tidak kira yang muda mahupun veteran," demikian luahan penuh jujur yang keluar dari bibir insan seni bernama Senator Tan Sri Jins Shamsudin ketika ditemui di kediamannya di Hulu Kelang, pagi Sabtu lalu.

Dengan pengiktirafan yang diberikan oleh kerajaan kepadanya, ia telah melayakkan anak kelahiran Taiping, Perak ini menerima trofi perak berukir emas di samping warkah penghormatan negara serta wang tunai berjumlah RM60,000.

Bukan sekadar itu, beliau juga menerima sepasang persalinan lengkap baju Melayu siap bersongket yang bermotif tradisi dan kemudahan perubatan percuma wad kelas satu di mana-mana hospital kerajaan.

Selain itu juga, dengan pengalaman yang cukup luas dalam bidang perfileman juga menjadikan Jins pengkarya, pencipta tamu kehormat dan pakar rujuk dalam bidangnya selain menjadi wakil KPKKW di seminar atau forum di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Ditanya, apakah hajat yang mahu dilakukannya dengan wang besar itu, tanpa berfikir panjang, Jins memberitahu: "Kami sekeluarga akan menunaikan umrah bersama-sama. Itu memang niat saya kerana ini rezeki daripada Allah. Saya mahu berkongsi dengan keluarga."

Menyingkap kehidupan peribadinya, Jins merupakan bapa kepada empat orang anak hasil daripada tiga perkahwinannya.

Perkahwinannya yang pertama bersama seniwati Allahyarham Rahmah Rahmat pada 6 Februari 1961 dikurniakan dengan seorang putera bernama Mohamed Jefri yang kini menetap di Singapura.

Namun, jodoh mereka tidak lama apabila kedua-duanya sepakat membawa haluan masing-masing pada tahun 1963.

pilihan hati

Sedekad selepas itu, dia bertemu dengan pilihan hatinya, Jamilah Sukor dan hasil perkahwinan keduanya itu juga memberikan Jins seorang lagi anak lelaki yang diberi nama Hang Tuah @ Shazrin.

Gagal sekali lagi dalam perkahwinannya, tidak membuatkan anak seni ini berputus asa dan pada tahun 1986, dia bertemu dengan isterinya kini, Puan Sri Halijah Abdullah.

Mungkin sudah tertulis rezeki Jins akan memiliki anak lelaki, maka dengan itu, perkahwinan ini juga dikurniakan dengan dua orang cahaya mata lelaki bernama Putera Hang Jebat,21, dan Putera Hang Nadim,17.

Melihat trek rekod seninya, tiada apa yang mampu dipertikaikan lagi tentang insan seni yang bernama Jins Shamsudin ini.

Menyambung perbualan yang semakin rancak, sebagai anak seni yang sekian lama mendamba diri dalam bidang yang amat diminatinya itu membuatkan dia terasa benar dihargai apabila menerima anugerah tersebut.

"Tetapi itu semua tidak datang bergolek. Malah, kenikmatan hidup dan kejayaan yang diraih selama 56 tahun menjadi anak wayang, adalah datangnya dari kuasa Yang Maha Esa.

"Kalau semua kerja kita lakukan dengan penuh keikhlasan dan kejujuran, nescaya, Allah akan memberikan kita seribu kerahmatan dan melancarkan segala kerja kita," katanya dalam nada bersungguh.

Malah, penulis begitu kagum melihat figura ini yang tetap segak pada usia 73 tahun walaupun kelihatan agak sedikit susut.

Apa yang membuatkan penulis begitu kaget adalah apabila Jins memberitahu dia tidak mempunyai sebarang penyakit serius.

"Saya amalkan cara hidup yang sihat sejak muda lagi. Disebabkan itu, saya tidak berdepan dengan sebarang penyakit. Perkara pokoknya, makan kenalah sihat," katanya yang cukup dikenali kerana memiliki wajah yang serius.

Di sebalik kerancakan perbualan kami, Jins yang dilahirkan pada 5 November 1935, tiba-tiba teringatkan seniman agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang merupakan guru yang telah membawanya ke persada seni.

Malah, seniman terulung itu jugalah merupakan insan pertama yang berjaya mengesan bakatnya dan terus menawarkannya berlakon dalam filem Pancha Delima pada tahun 1956.

"Alangkah indahnya jika saya dapat berkongsi kemenangan ini bersama arwah kerana tanpanya, saya tidak mungkin akan menjadi seperti mana hari ini.

"Dia bukan sekadar guru, tetapi juga sebagai seorang bapa, abang dan sahabat yang banyak membantu. Sudah pasti, saya tidak mungkin akan dapat melupakan apabila dia sanggup berlakon dalam filem arahan pertama saya, Bukan Salah Ibu Mengandung pada tahun 1969," luahnya dengan penuh makna.

Jelas Jins, mengenali seorang yang bernama P. Ramlee bukan mudah untuk mengajak dia berlakon di bawah arahan pengarah lain kecuali dirinya sahaja, tetapi apabila tawaran Jins itu disambut, sememangnya membuatkan Jins begitu terharu dan akan terus mengenangnya.

"Selain P. Ramlee, saya juga mahu berkongsi kemenangan ini bersama rakan seangkatan saya yang masih lagi ada dan juga yang telah kembali ke rahmatullah," katanya sambil mengimbas memori silam di zaman kegemilangannya.

Memenangi Anugerah Seniman Negara, bagi Jins bukanlah satu tiket untuk berasa megah dan mendabik dada, tetapi ia merupakan penambahan tanggungjawab untuk terus membela dan memperjuangkan nasib orang filem di negara ini.

"Sejak diperkenalkan, Anugerah Seni Negara tidak membuka pencalonan untuk memilih calon dalam dunia perfileman kerana mereka fikir kita mempunyai festival filem untuk mengiktiraf anak-anak seni.

Sudah berubah

"Namun, kini semuanya sudah berubah. Apa yang penting, kini dunia perfileman tempatan sudah mula dipandang dan diiktiraf oleh kerajaan. Alasan tidak boleh melakukan yang mustahil sudah tidak boleh diguna pakai lagi.

"Apa yang saya perkatakan ini bukan untuk diri saya sahaja tetapi ia sebagai wakil kepada semua karyawan seni. Semoga ia menjadi perangsang dan pembakar semangat kepada mereka terutama generasi muda hari ini," ujarnya bersungguh.

Menyambung bicara tentang dunia perfileman tempatan yang ada pasang surutnya, jauh di hati empunya nama penuh Mohamed Jins Shamsudin ini mahu melihat karyawan seni untuk bangkit dan menghasilkan filem yang menerapkan serta mengangkat nilai-nilai budaya ini dalam setiap karya mereka.

Ini kerana katanya, elemen-elemen inilah merupakan resipi terbaik untuk membawa filem tempatan ke peringkat yang lebih tinggi sekali gus meletakkan dunia perfileman negara di peta dunia.

Sambil memberikan contoh terbaik filem kelahiran negara Iran, Jins begitu optimistik dengan kreativiti anak seni tempatan yang dilihat mampu melahirkan filem-filem yang mempunyai nilai artistik yang begitu tinggi.

Tambahnya, Iran telah mencetuskan satu revolusi baru dalam pembikinan filem-filem mereka yang berjaya meyakinkan masyarakat Barat khususnya tentang intipati serta mesej yang ditonjolkan dalam setiap filem mereka.

"Industri perfileman kita sudah pun berusia lebih dari lima dekad. Berbanding pada zaman saya dahulu, teknologi yang ada hari ini semuanya canggih dan semuanya kini boleh didapati di depan mata.

"Semuanya ini saya perjuangkan untuk masa depan industri kita dan kemudahan infrastruktur yang diperolehi ini adalah untuk jangka masa panjang dalam memastikan industri kita akan terus berdiri teguh," katanya panjang lebar.

Malah, tambahnya, karyawan filem di negara ini seharusnya mempunyai visi dan misi dalam menerbitkan filem mereka serta jangan sesekali cuba untuk mencedok idea mahupun hasil karya Barat.

"Negara kita sudah cukup mampu untuk memberikan inspirasi kepada pembikin filem untuk menerbitkan filem yang mampu mengangkat tema perpaduan dan kemasyarakatan. Secara tidak langsung, ia mampu membuka mata masyarakat dunia terhadap negara kita menerusi filem yang dihasilkan.

"Bukan tidak boleh melahirkan filem-filem yang berunsurkan hiburan semata-mata tetapi biarlah ia sebuah filem yang bijak serta mempunyai kualiti yang boleh dibanggakan," kata Jins lagi.

Apabila diajukan persoalan tentang filem artistik yang kurang mendapat sambutan di negara ini seperti mana yang sering diperkatakan pembikin filem tempatan, sambil tersenyum, Jins memberikan buah fikirannya.

"Pengarah, penerbit, pelakon dan semua yang terlibat seharusnya mendidik masyarakat menerusi karya mereka. Memang, saya akui, pada mulanya, agak sukar untuk diterima, tetapi, kalau ia dilakukan dengan perlahan-lahan, saya yakin penonton akan mampu membuka mata dan menghargai karya mereka.

"Di sinilah, idea dan kreativiti harus digunakan dengan sebaik mungkin agar ia terpancar dalam karya mereka. Jika semua bersikap positif dan optimistik, saya yakin, filem-filem kita mampu diterima dengan baik," jelasnya.

Ditambah pula dengan kehadiran anak-anak muda hari ini yang mempunyai pendidikan dalam bidang perfileman, Jins menganggap ia sebagai satu tanda aras untuk meningkatkan kualiti penerbitan filem tempatan.

“Cuma, mereka harus diberikan peluang untuk menonjolkan bakat mereka. Sekadar teori sahaja yang dipelajari tidak mencukupi kerana ia harus ditambah dengan praktikal,” ujarnya lagi.

Menyingkap sejarah yang terlakar dalam hidup tokoh yang tiada tolok bandingannya ini, sememangnya senarai kejayaannya cukup panjang.

Rasanya dalam ruang yang terhad ini juga tidak mampu mendokumentasikan segala kecemerlangan yang dikecapi oleh Jins.

Siapa yang boleh lupa dengan kejayaan filem Bukit Kepong pada tahun 1982 yang telah menelan belanja sebanyak RM1.3 juta pada ketika itu dan apa yang membanggakan, filem tersebut berjaya membuat kutipan box-office sebanyak RM1.7 juta.

Bukan itu sahaja, nama Jins juga cukup sinonim dengan rangkaian filem arahannya yang menggunakan judul esok iaitu Menanti Hari Esok, Esok Masih Ada, Tiada Esok Bagimu dan Esok Untuk Siapa.

Tidak cukup dengan itu, siapa yang dapat lupa dengan filem Ali Setan yang masih lagi diminati sehingga ke hari ini.

“Kalau anda mahu tahu, hasil daripada keuntungan Bukit Kepong sebanyak RM400,000 itulah saya bangunkan Studio Pancha Delima yang terletak di berdekatan dengan rumah saya. Bayangkan nilainya pada ketika itu,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, beliau juga mempunyai tiga lagi syarikat iaitu Jins Shamsudin Productions, Film Centre Sdn. Bhd., dan Caturan Warna Sdn. Bhd.

“Saya tidak perlu bimbang kerana saya akan menyerahkan segalanya kepada anak saya, Hang Jebat untuk meneruskan legasi seni saya memandangkan dia juga kini menuntut dalam bidang perfileman di Universiti Teknologi Mara, Puncak Alam, Selangor,” jelasnya apabila bercerita perihal anak-anaknya.

Malah, Jins juga memberitahu projek filem Pasir Salak yang tertangguh sejak hampir 14 tahun lalu juga akan diteruskan dan ia juga bakal menjadi filem terakhir arahannya.

“Segalanya sudah siap. Cuma perlu menyelesaikan beberapa perkara dan saya akan meneruskan projek ini,” katanya ringkas.

Satu yang pasti tentang Jins adalah beliau sememangnya tidak pernah mengenal erti penat dan lelah. Malah, dia juga tidak menunjukkan sebarang tanda untuk menoktahkan perjalanan seninya.

Ketokohan Jins dalam bidang perfileman sewajarnya diambil dari sudut yang positif kerana kegemilangan dan kejayaan yang dikecapinya adalah daripada usahanya sendiri.

Lebih membanggakan, pada usianya kini, dia masih lagi meneruskan pengajiannya di peringkat doktor falsafah di Universiti Utara Malaysia pengkhususan di dalam bidang perfileman dan kebudayaan.

“Saya tidak akan berhenti dan saya akan terus berjuang selagi nyawa saya dikandung badan. Itu janji saya,” ungkapnya penuh makna.

0 ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP