Until Death Do Us Part - Jonas

Khamis, Februari 05, 2009

#83. Epilog: Sifu & Tongga raih RM1.9 juta dalam seminggu

05hb Februari, 2009
Berita Harian
Akmal Abdullah
akmel@bharian.com.my


ANTARA pelakon dan tenaga produksi yang menjayakan Sifu & Tongga.

MESKIPUN filem ini ada yang sengaja menyindirnya sebagai sebuah komedi kosong dan kononnya tidak kena pada jalan cerita tetapi sebenarnya Sifu & Tongga tetap menawan hati penonton filem tempatan apabila kutipan filem itu nyata cukup memberangsangkan. Sehingga petang semalam, kutipan filem arahan Prof Madya Razak Mohaideen ini sudah mencecah RM1.9 juta dalam tempoh seminggu ditayangkan, iaitu sejak ia mula menemui penonton menerusi 60 pawagam di seluruh negara bermula 29 Januari lalu.

Dalam tempoh empat hari kutipan pada minggu lalu, ia sudah mencapai RM1.45 juta - pencapaian begitu baik dengan purata sehari RM350,000 dan pada Isnin dan Selasa, kutipannya pada dua hari itu saja mencecah RM300,000 manakala kelmarin dan semalam kutipannya sekitar RM150,000.

Sekali gus pencapaian Sifu & Tongga menjadi perhatian menarik untuk kita melihat sejauh mana filem itu boleh bertahan kukuh di pawagam terutama dalam tempoh dua minggu tayangan menerusi skim Syarat Wajib Tayang. Tidak mustahil jika sambutan konsisten, filem yang dibintangi Nabil Raja Lawak dan Saiful Apek ini boleh mencapai kutipan lebih RM3 juta sehingga selesai tayangannya - mungkin dalam tempoh tiga hingga empat minggu tayangan.

Ini bererti sentuhan Razak tetap ada daya tarikan dan mempunyai ramai pengikutnya biarpun ada yang mengkritik filem ini tidak memberi impak dari segi komedi dan cuba mempertikai kredibiliti Razak sebagai pengarah yang mahir dalam bentuk filem komedi. Apapun tanggapan terhadap buah tangan Razak, pengarah ini masih mampu memberi tenaga dan kesegaran untuk sebuah filem komedi Melayu yang mampu mengheret ramai penonton ke pawagam. Dalam suasana ekonomi negara yang mula terkena tempias dek kegawatan ekonomi global tetapi nyata pasaran filem tempatan terutama filem Melayu tetap baik dan ada sokongan, begitu juga filem pembuka tirai 2009, Maut yang dikatakan mampu mencapai kutipan lebih RM1 juta.

Gaya filem komersial sentuhan Razak menjadi perhatian kerana elemen jenakanya dibiarkan bersahaja, 'main-main' dan diselitkan babak merapu tetapi tetap mempunyai nilai moral dan elemen pengajaran yang boleh dikongsi dengan penonton selain konsep lawak ala badut menerusi beberapa watak penting sebenarnya lebih digemari terutama penonton yang mahukan cita rasa komedi Melayu.

Razak dapat menghidu dan menyerapkan resipi ini dalam karyanya dan terbukti sentuhannya masih memenangi hati masyarakat kita untuk terus menyokong filem tempatan di pawagam.

Hal sama juga dilihat dalam filem komedi lakonan anggota kumpulan Senario menerusi Senario The Movie - Episod 1 arahan Ahmad Idham yang ditayangkan tahun lalu juga berjaya mencecah kutipan RM4.5 juta disebabkan elemen komedi ala badut, imej kekampungan dan konsep jenaka Melayu tulen itu nyata lebih dekat dengan penonton. Meskipun ia mungkin dianggap sudah basi, klise mahupun berunsur slapstik, tetapi ia sebenarnya tetap segar kerana pengarah berjaya memberi nafas baru dari segi cerita dan corak persembahan.

Begitu juga filem Duyung arahan Razak yang ditayangkan tahun lalu juga berjaya menjerat penonton kerana konsep komedi merapu dan ringan menjadi tarikan untuk berhibur di pawagam. Ini terserlah apabila kutipannya juga mencapai RM4.7 juta pada tahun lalu.

Berbalik pada Sifu & Tongga, kutipannya mencanak dalam tempoh seminggu juga dikuatkan oleh faktor kemunculan Nabil. Inilah filem pertama lakonan Nabil yang menemui penonton di pawagam meskipun juara Raja Lawak Astro musim kedua itu sudah membintangi beberapa cereka lain tetapi masih belum siap pembikinannya.

Kemunculan Nabil di layar perak dan nyata pula mampu menjadi pelaris filem memberi isyarat dia akan menjadi perhatian besar selepas ini dan tentunya akan menjadi rebutan ramai produser. Kombinasinya pula dengan Saiful Apek memberikan lagi nilai tambah kepada Sifu & Tongga sehingga ia mengundang ramai penonton. Jadi, gandingan dua idola lawak generasi baru seperti Nabil dan Saiful dilihat sebagai sandaran kuat kejayaan filem bergenre komedi pertama tahun ini.

Selain elemen jenaka mereka berdua yang nyata serasi, semestinya naratif dan persembahan keseluruhan filem ini juga memenuhi konsep sebuah filem menghiburkan dengan jalan cerita pantas dan jelas untuk menggambarkan bahawa kerakusan seorang pengarang akhbar terkenal dan konconya menculik seorang gadis unik yang berasal dari puak Watson.

Daya tarikan filem ini juga dibantu dengan kemunculan istimewa Piee sebagai ketua puak Watson yang begitu lucu kerana biarpun kolot, dia boleh berkomunikasi dalam bahasa Inggeris dengan baik selain Along Raja Lawak yang membawa watak polis serta Datuk Jalaludin Hassan sebagai aktivis yang memperjuangkan hak asasi manusia. Pelakon lain yang wajar diberi pujian ialah Erra Fazira dan Shamsul Ghau Ghau.

Untuk mengekalkan sambutan filem terhadap penonton filem tempatan terutama dalam genre komedi, ternyata kelompok besar penonton yang rajin ke pawagam memberikan isyarat seolah-olah mereka lebih gemarkan filem komedi seperti Sifu & Tongga, Duyung dan Senario The Movie. Biarpun ada pihak memperlekeh dari segi garapan dan mutu filem corak berkenaan tetapi penonton tetap berkeras bahawa itu selera mereka dan mereka membayar harga tiket untuk memenuhi selera mereka. Jadi adalah wajar juga untuk pengarah dan produser mengambil kira faktor ini dan mempertahankan selera ini supaya filem tempatan tetap laris di pawagam apatah lagi dalam musim kegawatan ekonomi dalam tahun ini. Jika ada komedi gaya baru mahu ditampilkan seperti konsep komedi Afdlin Shauki atau gaya jenaka Mamat Khalid, ia tetap ada ruang untuk penonton tetapi mungkin ada ketikanya tidak seramai penonton yang menyokong komedi sentuhan Razak dan Ahmad Idham.

Kata orang, buat kerja biarlah ibarat biduk didayung ke hilir...

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP