Until Death Do Us Part - Jonas

Isnin, Mac 23, 2009

#315. Layarkaca : Tanpa nama besar Heykal tetap yakin

KISAH kehidupan dan konflik dua remaja adik-beradik yang mempunyai karakter berbeza antara paparan menarik dalam drama bersiri 13 episod, Embun Mutiara terbitan MIG Beats Sdn Bhd (MIG) yang bakal menemui penonton TV3 tidak lama lagi.Pengarah drama bersiri ini, Mohd Heykal Mohd Hanifah berkata, dia tertarik mengarahkan drama itu kerana melihat kelainan dari segi jalan ceritanya.

"Pada mulanya, saya fikir cerita ini sama seperti filem Maria Mariana garapan Datuk Yusuf Haslam, tapi sebenarnya cerita ini ada tarikan tersendiri.Konflik dalam keluarga dipaparkan dari awal hingga akhir cerita. Selain itu ada diselitkan elemen jahat dan bapa saudara yang pilih kasih dalam cerita ini."Mungkin drama ini tidak mempertaruhkan nama besar sebagai teraju utama, tapi saya yakin dengan bakat yang ada pada Awal Ashaari (watak Roni), Eira Syazira (Embun) dan pelakon baru Mas Muharni (Mutiara) mampu menarik perhatian penonton," katanya.

Heykal, 35, berkata, antara cabaran yang dihadapi, dia perlu menyiapkan drama itu dalam tempoh singkat seperti di jadualkan.

"Selaku pengarah, sudah menjadi tanggungjawab saya untuk memastikan kualiti setiap drama dihasilkan seperti dikehendaki penerbit. Apatah lagi, ia juga kerjasama pertama saya dengan MIG. Sudah pasti saya perlu mencapai rating seperti disasarkan penerbit.

"Seperti yang kita tahu, MIG sentiasa menampilkan idea baru dalam pembikinan drama dan filemnya. Justeru, dalam drama ini mungkin ada kelainan dari segi pembikinan 'In The Making' drama ini. Tapi saya tetap mengarah dengan daya kreativiti sendiri.

"Selalunya, saya mengambil masa selama 34 hari untuk menyiapkan 13 episod drama. Namun, kali ini mungkin membabitkan tempoh 38 atau 39 hari. Penggambaran drama ini bermula 21 Mac lalu membabitkan sekitar Kuala Lumpur.

"Saya difahamkan drama ini juga untuk slot baru TV3 yang akan menemui penonton seminggu dua kali pada jam 9 malam," katanya.

Antara drama arahan Heykal yang juga anak didik pengarah Rashid Sibir ini yang mendapat sambutan penonton ialah Inai Malam Pengantin, Mencari Syurga, Sebelum Sejadah dibentang, Terlerai Takbir Kasih dan Mr Mama.

Heykal ditemui pada majlis pelancaran drama bersiri itu di Restoran Lermon, The Mines, Seri Kembangan, baru-baru ini.

Hadir sama, Penerbit MIG, David Teo.

Sementara itu, pelakon dan pengacara Awal Ashaari berkata, dia tertarik untuk berlakon dalam Embun Mutiara kerana ingin menimba pengalaman bekerja dengan pengarah muda seperti Heykal. Awal bawa watak utama sebagai Roni dalam drama ini.

"Saya pernah bekerja dengannya dalam Cinta Medik sebelum ini. Saya suka dengan cara dia bekerja kerana dia pengarah yang berterus terang dan bijak menarik 'mood' pelakon sebelum penggambaran bermula.

"Lebih menarik, antara pengarah dan pelakon tidak ada jurang yang memisahkan. Malah, kami rapat seperti keluarga yang besar," katanya.

Pelakon filem I'm Not Single, Syurga Cinta dan Tiga Jandaku ini mengakui dia teruja berlakon dalam Embun Mutiara kerana sudah lama tidak terbabit dengan projek drama.

"Selepas drama bersiri 26 episod, Impak Maksima, saya sibuk dengan program pengacaraan seperti One In A Million (OIAM), Sehati Berdansa dan Generasi Y. Justeru, Embun Mutiara diharap dapat mengubat kerinduan untuk berlakon drama.

"Pada masa sama, saya tidak pernah berlakon dengan Eira, tapi saya percaya kami akan mempunyai keserasian apabila berlakon nanti. Mas pula lakonannya bagus dalam Wayang dan saya percaya dia mampu berlakon dengan baik dalam drama ini juga," katanya.

Bagi Mas Muharni, 23, pula, kali pertama membaca skrip cerita Embun Mutiara, dia sudah tertarik dengan jalan ceritanya.

"Saya bawa watak Mutiara, juga adik kepada Embun yang banyak mengalah kepada kakaknya.

"Selain, Mutiara yang juga watak utama dalam drama ini, saya juga berpeluang bergandingan dengan pelakon yang lebih berpengalaman seperti Awal dan Eira.

"Sebagai pelakon baru, sudah pasti saya berasa takut dan gementar bergandingan dengan pelakon lebih berpengalaman seperti mereka. Namun, bersandarkan pengalaman berlakon sebelum ini dan bimbingan pengarah, saya akan berusaha memberikan yang terbaik pada lakonan nanti," katanya.

Pelakon berbakat besar dari Sungai Petani, Kedah ini mula dikenali ramai selepas penampilan pertamanya dalam filem Wayang bergandingan dengan pelakon Zul Huzaimy.

Pemegang Diploma Seni Persembahan Teater, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam (2007) ini pernah menjadi Artis Budaya Petronas selama lapan bulan.

"Selepas Wayang, saya dilamar menjadi artis residen MIG selama setahun. Selepas Renjis 2, saya juga berlakon dalam dalam bersiri Jangan Pandang Belakang arahan Ahmad Idham.Terbaru, saya dapat tawaran berlakon filem Aman arahan Hatta Azad Khan. Pada masa sama, saya bercadang menjadikan bidang lakonan ini profesion secara sepenuh masa pada masa depan," katanya.

Pelakon lain yang turut berlakon dalam drama ini ialah Norman Hakim (Hadi), Anne Abdullah (Athiera), Aida Aris (Sara), Sharifah Shahora (Nadia) dan Nor Zam Zam (Jebat).

Sumber : Harian Metro

0 ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP