Until Death Do Us Part - Jonas

Isnin, Mac 23, 2009

#314. Skoop : Kos penganjuran FFM22 tertinggi dalam sejarah

SEPANJANG 21 kali Festival Filem Malaysia (FFM) dianjurkan, FFM22 yang akan diadakan pada 5 hingga 8 Ogos ini di Kota Kinabalu, Sabah, mencatat kos yang paling tinggi dalam sejarah penganjuran festival tersebut.

Timbalan Pengarah Urusetia FFM22, Khalid Maulod berkata, festival filem berprestij yang julung-julung kalinya diadakan di luar Semenanjung Malaysia itu menelan kos penganjuran mencecah hampir RM2.5 juta.Menurutnya, kos itu agak tinggi kerana ia membabitkan soal logistik dan juga tiket penerbangan serta penginapan hampir 600 delegasi festival itu yang dibawa dari Kuala Lumpur.

"Kami jangkakan seramai hampir 500 delegasi akan dibawa dari Kuala Lumpur. Tiket penerbangan dan penginapan mereka akan ditanggung oleh pihak penganjur.

"Kos penganjuran sebanyak RM2.5 juta merupakan yang termahal dalam sejarah penganjuran festival ini diadakan iaitu sebanyak 21 kali.

"Ini kerana, sebelum ini kos penganjuran FFM sekitar RM1 juta lebih sahaja," katanya pada sidang media FFM22 di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Klang, Selangor baru-baru ini.

FFM22 anjuran Persatuan Pengeluar Filem Malaysia (PFM) dan Finas itu turut mendapat sokongan dan tajaan daripada Kerajaan Negeri Sabah.

Jelasnya, penganjur akan memilih senarai artis-artis yang akan dibawa ke festival itu dengan kerjasama Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim) yang menaungi 11 persatuan artis di negara ini.

"Kerajaan Negeri Sabah akan menaja tiket penerbangan dan penginapan sekitar 400 hingga 500 artis yang dibawa dari Kuala Lumpur. Kebanyakannya terdiri daripada artis-artis yang masih aktif dan juga artis-artis veteran.

"Gafim akan mengenal pasti artis-artis yang akan di bawa ke sana. Persatuan di bawah Gafim seperti Seniman dan PFM akan berbincang dengan para penerbit bagi memilih artis-artis yang akan dipilih kelak," ujarnya.

Pada sidang media itu, turut diumumkan ialah 20 filem cereka yang layak untuk bertanding pada festival filem tersebut sehingga Mei ini.

FFM22 akan dipertandingkan 13 Anugerah Perdana, 12 Anugerah Cipta, 5 Anugerah Khas Juri, Anugerah Veteran Lelaki dan Wanita, Anugerah Veteran Belakang Tabir Lelaki dan Wanita dan Anugerah Box-Office.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Penyertaan dan Penjurian FFM22, Nancie Foo berkata, FFM kali ini turut memperkenalkan anugerah baru iaitu Filem Komedi Terbaik.

Bagaimanapun, katanya, kategori Filem Komedi Terbaik hanya akan diadakan sekiranya terdapat lebih 10 filem komedi yang dicalonkan dalam kategori Filem Cereka.

"Kami cuba wujudkan kategori Filem Komedi Terbaik selepas mendapati banyak filem komedi yang dipertandingkan.

"Kalau bilangan filem komedi yang dipertandingkan lebih 10 filem, maka kita akan pertandingkan kategori tersebut. Tetapi kalau tidak cukup, ia akan digugurkan," ujarnya.

Menurut Nancie, penyertaan bagi semua kategori dalam FFM22 iaitu Filem Cereka, Digital, Animasi, Filem Pendek dan Dokumentari kini dibuka kepada semua penerbit sehingga tarikh tutup pada 5 Julai depan.

Nancie turut berkata, penjurian awal akan bermula pada 23 Julai depan di Kuala Lumpur, sementara penjurian akhirnya akan diadakan pada awal Ogos depan di Kota Kinabalu.

Difahamkan FFM22 dijangka menerima banyak penyertaan terutamanya bagi kategori Filem Cereka yang mampu mencecah hingga 30 filem berbanding tahun lalu.

Pada festival filem tahun lalu, penganjur menerima 23 penyertaan bagi kategori Filem Cereka, 42 (Dokumentari), 31 (Filem Pendek), 13 (Animasi) dan 5 (Filem Digital).

Bagaimanapun, Nancie agak bimbang dengan penyertaan bagi kategori Filem Pendek yang kebanyakannya disertai oleh para pelajar dari Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta.

Sehubungan itu, jawatankuasa penganjur FFM22 akan melakukan promosi awal termasuklah mengiklankannya di akhbar-akhbar bagi menarik lebih ramai pembikin filem pendek menyertai pertandingan itu.

"Mungkin mereka (pelajar) ini kurang mengambil perhatian terhadap penganjuran atau tidak membaca iklan. Justeru, kami terpaksa mengingatkan mereka.

"Kalau tahun lalu, ramai pula pelajar yang sedang bercuti semester semasa pencalonan festival ini dibuka. Tahun ini kami harap mereka akan lebih peka dengan tarikh pencalonan FFM22," ujarnya.

Hadir sama pada sidang media itu ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Penyertaan dan Penjurian FFM22, Norhayati Othman.

Sumber : Utusan Malaysia

0 ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP