#392. Seronok Bergabung Semula
FILEM aksi dan perlumbaan kereta popular, Fast & Furious yang sudah memasuki siri keempat bukan saja mempunyai peminat setia di seluruh dunia, malah menaikkan nama dan populariti pelakon utamanya, Paul Walker.Walker, 36, dari Glendale, Selatan California, Amerika Syarikat bukan sekadar bersandarkan paras rupa yang kacak untuk digilai peminat filem itu, malah lakonan mantapnya bergandingan dengan aktor hebat Vin Diesel.
Justeru, tidak hairanlah ramai peminat filem ini ternantikan kemunculannya dalam siri keempat yang menjengah pawagam seluruh dunia bermula 2 April lalu. Dalam satu temu bual yang disiarkan laman web Collider.com, Walker berkata, dia gembira kerana dapat bergabung semula dengan semua pelakon yang terbabit dalam The Fast & The Furious pada 2001.
"Ia sesuatu yang bagus dan menyeronokkan kerana dapat bekerjasama dengan Jordana Brewster sekali lagi. Saya suka bekerja dengannya sejak musim pertama lagi dan dia juga sudah berkahwin sekarang.
"Pada siri pertama dulu, kami memang nampak 'gila-gila' kerana masih remaja. Saya juga tidak tahu berapa umur Jordana ketika itu tapi sekarang dia sudah pun berkahwin. Diesel juga begitu. Saya juga sukakan Michelle Rodriguez. Saya hanya berjumpanya dua kali, tapi dia menyeronokkan dan sukar diramalkan.
"Saya kembali lagi dalam filem ini kerana ia menyeronokkan dan dapat bergabung semula bersama semua pelakon dan mendapat bayaran sekali lagi," katanya.
Walker mengakui pada mulanya tidak berminat terbabit dalam siri keempat itu. Malah dia dimaklumkan pengarah filem ini, Justin Lin wataknya dimatikan pada siri keempat dengan babak Brian lari bersama kereta.
"Bagaimanapun, Justin memberitahu, perkara itu tidak mungkin berlaku. Saya juga ingin berehat buat seketika daripada filem ini kerana sudah terlalu banyak masa habiskan dalam studio.
"Saya juga ingin terbabit dalam filem bajet kecil untuk terus dikenali ramai. Sebenarnya, saya juga ada 'nilai' di luar negara, tetapi jika sudah duduk terlalu lama dalam sesebuah filem itu, saya sukar untuk keluar daripadanya.
"Contohnya, 'Running Scared' lakonan saya tidak mendapat kutipan box office, tapi saya tetap menyukai filem itu. Namun, saya tetap boleh berbangga sekurang-kurangnya masih ada filem 'Fast & The Furious," katanya.
Kata Walker, Fast & Furious 4 tetap mempunyai kelebihan berbanding siri sebelumnya kerana melihat siri keempat ini adalah siri sebenarnya.
"Diesel dan saya bergandingan dalam filem pertama dan akhirnya kami bersatu semula dalam siri keempat. Setiap kali berjumpa peminat, mereka sering bertanya, bila saya akan beraksi lagi dalam Fast and The Furious? Kenapa tiada Diesel dalam siri kedua?
"Sekarang saya tahu orang akan bertanya, di manakah Tyrese dan mengapa Tyrese tiada dalam siri kali ini? Namun, apabila saya beritahu saya dan Diesel kembali beraksi dalam siri keempat ini, rata-rata peminat sangat teruja mendengarnya," katanya.
Sepanjang penggambaran filem itu, Walker mengakui tidak ada masalah bergabung semula dengan Diesel kerana mereka buat kerja masing-masing. Apabila ada babak memerlukan mereka bersama, mereka jayakan sebaik mungkin.
Kedudukan Diesel dalam siri keempat ini berbeza. Selain menjadi penerbit dan pengarah, dia juga tampil dengan idea yang bagus. Kadang-kadang, saya seperti tidak mahu mendengar pandangannya sedangkan saya tahu ideanya bagus kerana ia sekadar pandangan saja," katanya.
Walker dan Diesel juga dilaporkan bakal bergandingan untuk sekuel kelima Fast & Furious tidak lama lagi. Mereka mengumumkan perkara itu ketika jelajah Fast & Furious 4, baru-baru ini.
Ketika ditanya sejauh mana kebenarah produksi siri kelima Fast & Furious, Walker berkata, dia juga mendengar khabar angin mengenai francais baru untuk filem itu.
"Saya sudah bercakap dengan pihak eksekutif di Universal dan mereka juga sangat serius mengenai perancangan untuk menghasilkan musim baru. Saya difahamkan, mereka merancang melakukan penggambaran sekuelnya di Eropah," katanya.
Mengenai wataknya dalam siri keempat, Walker berkata, Brian O'Conner sudah menjadi anggota polis dan dia juga ejen Persekutuan.
"Brian hanya buat apa yang dia perlu buat dan dia tahu apa yang terbaik buat dirinya. Tapi dia tiada arah yang sebenarnya. Dia fikir, anggota polis adalah tugas yang bagus dan ia seperti apa yang dia fikir bagus untuk dirinya.
"Dalam filem ini, saya mendapat pengalaman menyeronokan memandu kereta yang saya suka. Contohnya, saya berpeluang memandu R-34, Nissan Skyline pada peringkat awal siri kedua filem ini, tapi Brian pula merosakkan kereta itu dalam perlumbaan pertama dan selepas itu Brian memandu pula kereta model baru Subaru SCI," katanya.
Kata Walker, Fast & Furious siri ketiga dihasilkan lebih bertaraf antarabangsa berbanding yang pertama dan kedua.
"Terus terang saya tidak tahu sama ada filem ini masih ada peminat atau tidak. Tidak ada siapa pun yang tahu dan saya tidak dapat menjamin perkara itu.
"Apa yang pasti, penerbit ada kumpulan sasaran yang meminati filem ini. Apapun, ramai orang menyukai kereta di dunia ini dan minat ke arah itu akan berterusan dan pada masa sama, filem ini juga tetap ada peminatnya," katanya.
Sumber : Harian Metro