#394. Buah Tangan Pertama Isma
PENAMPILAN menerusi telemovie, Sutun arahan pengarah muda, Shahrul Ezad Mohameddin atau Ezad sekitar 2002 mendorong Isma Yusoof, 27, untuk terbabit dalam kerja di belakang tadbir.Malah, Isma yang mendapat bimbingan Ezad menganggap pembabitan dalam lakonan memberi ruang kepadanya untuk mendalami ilmu bidang produksi.Penuntut filem animasi, Universiti Multimedia (MMU) ini mengakui meminati dua bidang iaitu lakonan dan pengurusan di belakang tabir yang mempunyai peranan tersendiri.
"Sejak mula membabitkan diri dalam lakonan, keinginan yang tinggi untuk mengetahui pengurusan sesuatu produksi dalam menjayakan penggambaran membuatkan saya mula membabitkan diri dengan tugas di belakang tadbir. Memang banyak benda yang saya belajar ketika terbabit dalam drama pertama itu."Malah, Ezad banyak membantu dan memberi galakan kepada saya untuk terbabit dengan tugas di belakang tadbir. "Saya bukan saja terbabit sebagai pelakon, malah sama-sama mengikuti perkembangan selain bertugas menyiapkan drama berkenaan. Secara tidak langsung saya dapat belajar banyak benda.
"Walaupun pernah menuntut dalam bidang berkaitan namun saya tidak menganggap ia sebagai jalan mudah untuk saya menguasai tugas dalam produksi.
"Sebaliknya, saya tetap bermula daripada bawah iaitu sebagai kru am selain melaksanakan tugas pengurusan produksi.
"Pada pandangan saya, berlakon dan pengurusan di peringkat belakang tabir dalam produksi adalah dua tugas yang berbeza.
"Sebagai pelakon saya hanya mengetahui mengenai tugas lakonan. Sebaliknya apabila bekerja di belakang tabir banyak perkara yang saya ketahui. Secara tidak langsung memahami tugas individu yang terbabit dalam penggambaran," katanya.
Isma ditemui ketika mengarahkan drama pertamanya, Merah Puteh bertempat di Shah Alam, baru-baru ini. Drama bersiri 20 episod untuk slot Lagenda TV3 mula disiarkan sejak 7 April setiap Isnin hingga Khamis jam 4.30 petang manakala ulangannya di TV9 jam 8.30 malam pada hari sama.
Dia berasa bertuah kerana diberi peluang oleh pihak pengurusan produksi, Radius One Sdn Bhd selain mendapat kepercayaan Ezad untuk mengarahkan drama itu.
"Ini kali pertama saya diberikan peluang untuk mengarahkan drama. Begitupun saya banyak membantu dalam proses penggambaran sebelum ini seperti siri Cinderalla yang ditayangkan di TV3 tahun lalu.
"Saya juga bertuah kerana mendapat sokongan daripada mereka yang berpengalaman di samping pengarah bersama Megat Shahrizal.
"Pada mulanya saya memang tiada keyakinan untuk mengarahkan drama ini. Namun dengan Ezad sebagai penerbit selain pasukan produksi yang berpengalaman dan mantap membuatkan perasaan itu dapat dihakis. Begitupun, banyak lagi yang perlu saya belajar.
"Saya juga gembira dan berbangga kerana dapat bekerja dengan bakat baru selain nama-nama besar dalam lakonan seperti Redzuan Hashim dan Shahruddin Thamby," kata Isma yang bakal membuat kemunculan pertama di layar perak menerusi filem komedi, Setem arahan Kabir Bhatia yang dijadualkan tayangannya tidak lama lagi.
Selain mengarah Isma juga berbakat dalam penulis lagu. Malah, tiga lagu karyanya dipilih sebagai lagu tema untuk drama itu.
Lagu berkenaan dinyanyikan Aizat iaitu Kau Aku, Amylea (Aku dan Mimpi) dan kumpulan Bau (Anggun).
Sumber : Harian Metro