#395. Drama Penuh Konflik - The Brink Of Law
STESEN 8TV kembali dengan sebuah lagi drama bersiri yang cukup popular dari Hong Kong berjudul The Brink of Law. Drama penuh warna ini dibintangi pelakon terkenal Hong Kong antaranya Steven Ma, Ron Ng, Ngok Wah, Bernice Liu dan Michelle Yim. Drama Brink of Law sudah mula disiarkan 2 April lalu jam 7 malam.
Pengurus Besar Penjenamaan, Pembangunan Perniagaan, Pemasaran dan Komunikasi 8TV, Lam Swee Kim, berkata, pihaknya hanya menyediakan yang terbaik kepada penonton."The Brink of Law penuh dengan drama dan konflik yang mendebarkan dan ini pasti membuat anda tidak mahu terlepas menonton drama ini," katanya.Drama ini mengisahkan Tong Chi-Ko (Steven Ma) seorang peguam terkenal dan selalu menjadi kebanggaan bapanya.
Impian bapa Chi-Ko ialah ingin melihat anaknya menjadi seorang ketua peguam yang dihormati di Hong Kong. Namun, tabiat buruk bapanya yang suka berjudi menyebabkan ibu dan adiknya sentiasa dibebani hutang.
Ketika menyaksikan perlumbaan kuda, Chi-Ko bertemu dengan Tung Yat-Tsun, seorang doktor haiwan yang juga anak saudara kepada Tung Chin-Long, iaitu pemilik syarikat korporat terkenal yang kaya-raya.
Sejak dari hari itu, mereka menjadi sahabat baik.
Ibu saudara Yat-Tsun, Sung Gam-Chi (Michelle Yim) pula sangat mementingkan keluarganya lebih-lebih lagi keselamatan anak sulungnya, Tung Yat-Long. Manakala, anak bongsunya pula Tung Yat-Chiu (Vin Choi), seorang yang sangat bermasalah.
Suatu hari, ketika Chi-Ko berjaya menjadi ketua peguam, bapanya membunuh diri kerana menyangkakan keluarganya meninggalkan dia kerana masalah ketagihan judi dan tidak sanggup menanggung beban hutang.
Malang buat Chi-Ko apabila dia ditangkap kerana memiliki dadah angkara Yat-Chiu. Namun, nasib menyebelahi Chi-Ko apabila dia berjaya menjadi penasihat undang-undang untuk Nicholas (sebuah perniagaan fesyen milik Tung Chin-Long) dengan bantuan Yat-Tsun.
Suatu hari, Yat-Tsun ternampak ibunya datang ke Nicholas untuk bertemu dengan Tung Chin-Long.
Yat-Tsun akhirnya mengetahui tujuan sebenar ibunya bertemu dengan Chin-Long kerana ingin meminjam wang untuk membantu perniagaan suami barunya yang mengalami masalah.
Yat-Tsun terperanjat apabila terdengar perbualan di antara mereka yang ibunya dirogol oleh Chin-Long ketika dia mabuk dan Yat-Tsun sebenarnya merupakan anak kandung Chin-Long.
Setelah bapa Yat-Tsun (Tung Chin-Pang) mendengar berita ini, dia terus bersemuka dengan Chin Long dan satu pergaduhan kecil berlaku yang akhirnya menyebabkan bapa Yat-Tsun meninggal dunia kerana diserang sakit jantung.
Manakala, Gam-Chi (ibu saudara Yat-Tsun) pula menyangkakan Yat-Tsun ingin membolot harta suaminya dan sudah mengupah seorang pembunuh upahan untuk membunuh Yat-Tsun.
Sementara itu, Chi-Ko pula diarahkan oleh Madam Wong untuk menyiasat perniagaan Gam-Chi dan Chin-Long yang disyaki menggunakan wang syarikat untuk kegiatan haram.
Untuk mengetahui kesudahan cerita ini, jangan lupa untuk menonton The Brink of Law setiap Isnin hingga Jumaat bermula 2 April lalu, jam 7 malam. Anda juga boleh menonton siaran 8TV menerusi saluran 708 Astro.
Sumber : Harian Metro