#396. Bukan Hina Jongang - Halimah Jongang [2009]
SELALU sangat diberi watak air mata kecewa cinta sehingga nama Tengku Shaheera Ilani Tengku Iskandar (Sheera) bagaikan sinonim sebagai pelakon kategori sedemikian.Bagaimanapun, dia cepat mencantas daripada gelaran itu terus melekat melalui beberapa drama yang menampilkan kelainannya, termasuk telefilem Halimah Jongang, Cucuk Sanggul Selendang Rubiah dan Si Capik.
Sekali imbas, mungkin ramai tidak mengenali gadis bergigi jongang di halaman Selebriti ini, tetapi itu yang membuatkan Sheera gembira. Malah, katanya, ketika di lokasi luar Halimah Jongang, orang ramai yang menyaksikan penggambaran produksi ini tidak mengenalinya.“Ini yang saya suka sebab karakternya lain daripada yang pernah saya buat. Mulanya sukar untuk bercakap sebab tak biasa. Saya diberi gigi itu sehari sebelum penggambaran dan sepanjang masa ke lokasi, saya akan pakai sebab nak biasakan.
“Memang tak selesa, rasa nak muntah pun ada, tetapi saya anggap ia cabaran. Ketika bawa kereta ke lokasi pun saya pakai dan menyanyi serta bercakap seorang diri untuk biasakan.
“Hari ketiga sudah OK. Saya boleh bercakap, cuma kena berhati-hati sebab takut tergigit. Kalau orang pakai gigi palsu, ia dilekatkan pada gusi. Sedangkan saya terpaksa berlapis dua,” katanya yang mengakui gusinya sakit selepas menanggalkan gigi palsu itu.
Telefilem berkonsepkan muzikal cinta terbitan A Aida Production dan arahan Malek Rahman ini bakal ditayangkan di Astro Prima pada Mei depan.
Menurut A Aida, penerbitan Halimah Jongang bukan berniat untuk menghina, tetapi mereka sebahagian daripada masyarakat kita juga.
“Jangan salah sangka, tetapi mesej yang cuba saya selitkan di sini, jangan memandang hina atau mentertawakan manusia bergigi jongang kerana mereka juga makhluk Tuhan. Lagipun, setiap kejadian-Nya mempunyai keistimewaan sendiri seperti yang saya tampilkan melalui drama ini.
“Di akhir cerita, Halimah berubah menjadi lebih cantik, tetapi kita kena tahu nilai kecantikan sebenar,” kata A Aida yang turut aktif menjalani bisnes e-dagang bersama ND Lala.Halimah Jongang yang ditulis bersama A Aida dan Zaini Kosnin berkisar kepada Halimah yang bercuti di kampung atuknya dan jatuh cinta dengan Ali (lakonan Johan Raja Lawak) tetapi pemuda itu menggilai Esah (Julia Ziegler).
Drama yang dimantapkan lagi dengan lagu tema ciptaan Eddie Hamid itu mula menjadi konflik apabila Ali tidak disukai ibu Esah kerana Ali orang tak berduit. Ali menggadai tanah ibunya dan mengusahakan ternakan kambing sehingga berjaya.
“Selepas kaya, baru Ali diterima dan Halimah yang mengajar Ali mengenai bisnes kambing itu kecewa apabila Ali memilih Esah. Ali tidak sedar yang Esah hanya mahukan kekayaannya.
“Selepas setahun, Halimah kembali ke kampung itu dengan berpenampilan cantik dan Ali kembali tergila-gilakan Halimah.
“Drama ini diinspirasikan daripada Ugly Betty, tetapi dengan sentuhan tempatan,” katanya yang turut mengajak surirumah menyertai e-dagang dengan menghubunginya di 012-2280166.
Sementara itu, Sheera menyatakan keseronokannya berganda kerana Halimah Jongang mempertemukannya dengan pelawak berpengalaman, Os buat pertama kali di layar. Dia akui, Os yang memegang watak sebagai atuknya banyak mengajar selok belok lakonan.
“Alhamdulillah, rezeki semakin banyak dan yang bagusnya, banyak pula diberi karakter luar biasa, termasuk sebagai gadis terencat akal dalam Cucuk Sanggul Selendang Rubiah. Seronok jadi orang lain,” katanya yang akan menyambut usia ke-24 pada 18 April ini.
Sumber :Harian Metro