Until Death Do Us Part - Jonas

Jumaat, Mei 22, 2009

#458. Filem Dakwah Kedua MIG selepas 28 Filem

SYARIKAT produksi Metrowealth International Group (MIG) pernah tampil dengan filem pertama terbitan mereka berjudul Syukur 21 pada tahun 2001 yang bergenrekan keagamaan.Selepas lapan tahun dengan menerbitkan 28 buah filem, MIG kini kembali menerbitkan filem dalam genre yang sama, Syurga Cinta yang merupakan filem ke-29 terbitan syarikat itu.

Menurut Penerbit MIG, David Teo, dia memberanikan diri menghasilkan filem arahan Ahmad Idham itu walaupun rekod kutipan tiket Syukur 21 tidak menguntungkannya."Saya belajar daripada pengalaman dulu ketika menerbitkan Syukur 21 yang menelan kos pembikinan RM3.8 juta, tetapi hanya mengutip tiket sebanyak RM1 juta sahaja."Walaupun Syurga Cinta juga menampilkan genre keagamaan tetapi saya selitkan banyak elemen ringan dan kisah cinta muda-mudi sebagai tarikan untuk tontonan semua golongan.

"Saya tidak menganggap filem ini sebagai filem berat. Walaupun cerita filem ini ringan tetapi saya yakin mesejnya akan sampai dan mampu diminati ramai," katanya ketika ditemui selepas pratonton Syurga Cinta di Seri Kembangan, Selangor, baru-baru ini.

Filem dengan kos RM1.5 juta ini antaranya mengisahkan seorang remaja, Irham (lakonan Awal Ashaari) yang merupakan anak seorang kaya yang jahil soal agama.

Namun, pertemuan Irham dengan seorang guru bernama Syuhadah (Heliza) berjaya mengubah gaya hidupnya yang suka berfoya-foya serta mempermainkan hati wanita.

Jelas David, beliau menyedari filem genre keagamaan memang agak sukar untuk menarik para penonton ke pawagam tetapi dengan adanya para pelakon remaja yang membintangi Syurga Cinta ia mampu menarik perhatian ramai.

Heliza, bintang Akademi Fantasia 5 dan pelakon kanak-kanak Haziq merupakan antara taruhan David dalam filem yang menjalani penggambarannya selama 20 hari itu.

"Ini merupakan penampilan pertama Heliza dalam filem, apatah lagi dia memegang watak utama. Kami pilih dia (Heliza) kerana kebetulan dia bertudung dan watak itu sesuai untuknya.

"Sebelum ini, kami menghadapi masalah untuk mencari pelakon remaja yang bertudung. Haziq pula memang dikenali ramai amat berbakat dan sering muncul dalam rancangan Tom-Tom Bak.

"Kombinasi pelakon, jalan cerita dan mesej yang ingin disampaikan dalam filem ini mampu menjadikan filem ini sesuai untuk tontonan seisi keluarga," ujarnya.

Selain kerjasama para pelakon, David juga bersyukur kerana seorang usahawan Melayu turut membantunya dengan menyediakan rumah agam miliknya di Taman Melawati, Kuala Lumpur, sebagai lokasi utama penggambaran filem tersebut.

Kata David, usahawan yang enggan namanya didedahkan itu berbuat begitu selepas mengetahui niatnya yang mahu menerbitkan sebuah filem berunsurkan keagamaan.

"Saya diberitahu rumah banglo milik usahawan dalam bidang IT (teknologi maklumat) itu berharga RM11 juta. Beliau tidak mengenakan sewa atau bayaran untuk kami menggunakan rumahnya sebagai lokasi penggambaran filem ini.

"Selepas dia membaca skrip filem ini dia bersetuju untuk memberi kebenaran kepada kami menjalani penggambaran di rumahnya itu. Dia bukannya mahu duit tetapi kerana mahu membantu kami menjayakan niat murni tersebut," katanya lagi.

Tambah David lagi, dia tidak mengharapkan pulangan kutipan tiket yang besar untuk Syurga Cinta tetapi memadailah jika ia dapat pulangan modal untuknya menerbitkan filem sedemikian pada masa depan.

"Kalau dapat balik modal pun okeylah. Saya akan terbitkan lagi filem macam ini (keagamaan) kalau ia dapat balik modal. Ini kerana, kita tidak ada banyak filem macam ini. Malah, saya gembira kalau ada penerbit lain yang akan mengikut jejak langkah saya nanti.

"Selain berhibur, saya berharap filem seperti ini juga akan memberikan mesej yang berguna kepada para penonton termasuklah kepada yang bukan beragama Islam," ujarnya yang tidak menafikan banyak mendapat inspirasi daripada filem Indonesia berjudul Ayat-Ayat Cinta dan Kiamat Sudah Dekat.

Filem ke-10 arahan Ahmad Idham yang akan ditayangkan mulai 21 Mei ini turut dilakonkan oleh Mustapha Kamal, Dian P. Ramlee, Wazata Zain, Hisham Ahmad Tajuddin dan Fizz Fairuz.

Sumber : Utusan Malaysia [20/05/2009]
Oleh ABD. AZIZ ITAR

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP