Until Death Do Us Part - Jonas

Jumaat, Mei 22, 2009

#463. 'Saya Tak Pernah Larikan Diri '

Eddie Pak adakan sidang akhbar perjelas kontroversi yang melanda filem Dimensi Cinta

SEJAK majlis pelancaran hinggalah selesainya penggambaran, filem Dimensi Cinta arahan Eddie Pak tak henti-henti dilanda kontroversi. Bermula dengan misteri kehilangan pelakon utamanya, Hairee Othman hinggalah membawa kepada kemelut di antara penerbit filem ini yang juga Pengerusi Harian Inovatif Sdn. Bhd, Raja Lela Raja Shahrom dan Eddie sendiri.

Sebelum ini ada akhbar (bukan terbitan Kumpulan NSTP) menyiarkan artikel yang memaparkan perang dingin antara kedua-dua pihak ini. Pelbagai perkara dibangkitkan termasuklah soal bayaran serta dakwaan kononnya Eddie melarikan diri dan meminda perjanjian yang dipersetujui awal tanpa pengetahuan membuatkan cerita sensasi ini terus berpanjangan tanpa sebarang penyelesaian.

Justeru, atas dasar ingin membersihkan nama yang sudah tercalar, Eddie pagi Rabu lalu mengadakan sidang media bagi menjelaskan situasi sebenar. Ditemani dua orang peguam yang juga sahabat baiknya, Leong Sir Ley dan Irwin Lo dari SL Leong, Kartina & Partners, Eddie meleraikan segala kekeliruan yang selama ini menjadi tanda tanya.

“Tujuan saya mengadakan sidang media ini adalah untuk memberikan penjelasan terhadap khabar angin berkaitan dengan saya serta syarikat saya Sunday To Sunday Services.

“Untuk pengetahuan semua, saya tidak pernah melarikan diri seperti yang didakwa. Saya ada di sini, di rumah saya yang juga beroperasi sebagai sebuah pejabat. Jika saya melarikan diri apakah saya masih boleh mengadakan sidang media ini.

“Begitu juga dengan soal kononnya pihak Harian Inovatif sudah pun membayar kepada pihak Sunday To Sunday seperti yang disiarkan dalam sebuah artikel. Ingin saya jelaskan di sini juga bahawa segala khabar yang mengatakan penerbit sudah membayar kami sama ada bayaran penuh, 75 peratus atau 78 peratus adalah tidak benar.

“Dan andai benar mereka sudah membayar, saya harap mereka dapat tunjukkan bukti,” pinta Eddie.

Pun begitu, menurut Eddie atau nama Islamnya, Aliff Najmi, apabila dia memilih cara ini (sidang media) untuk membersihkan nama bukanlah bermakna ada pertelingkahan berlaku antara mereka. Sebaliknya, dia tidak mahu perkara ini berpanjangan dan sekali gus menjejaskan filem Dimensi Cinta yang ketika ini menunggu masa untuk proses pos-produksi.

“Saya harap selepas ini, penerbit dapat datang berjumpa dengan saya bagi meleraikan segala kekusutan ini. Selagi perkara ini tidak selesai, banyak perkara yang akan tertangguh.

“Rushes filem Dimensi Cinta kini menunggu masa untuk disunting. Produksi kami sentiasa menunggu kehadirannya kerana di sini pun dia ada bilik sendiri. Jadi saya harap selepas ini, kami dapat bersemuka sekali gus meleraikan segala kekeliruan yang timbul,” ujarnya sekali gus menafikan mahu mengambil tindakan mahkamah terhadap Harian Inovatif.

Ditanya mengenai isu masih tidak mendapat bayaran seperti yang dibangkitkan pelakon dan kru filem itu sebelum ini sedangkan filem sudah pun selesai menjalani penggambaran, Eddie berkata perkara itu terlalu sulit untuk diperkatakan.

“Soal bayaran adalah perkara sulit kerana ia membabitkan soal kontrak yang sudah dipersetujui awal. Cuma apa yang boleh saya katakan, kami sedaya upaya mahu menyelesaikan perkara ini dengan baik dan harap pelakon dan juga kru boleh mempercayai kami dengan kesabaran,” janji Eddie.

Bagaimanapun ketika ditanya apakah pihaknya sudah membuat bayaran kepada pelakon terbabit memandangkan syarikatnya juga menjalankan peranan sebagai ejen, Eddie enggan mengulas lanjut perkara itu. Sebaliknya dia mengharapkan supaya kemelut yang berlaku itu segera selesai.

“Seperti yang saya katakan tadi, kami tidak dapat menjelaskan apa yang sudah termaktub di dalam kontrak kerana tidak mahu melanggar undang-undang. Harapan saya, biarlah masalah ini selesai dan saya percaya semua masalah yang timbul akibat kontroversi ini juga akan selesai,” ujar Eddie positif.

Dimensi Cinta dibintangi Awie, Fahrin Ahmad, Eman Manan, Adam (AF2), Catriona Ross, Memey Suhaiza dan Scha selesai menjalani penggambaran sekitar Kuala Lumpur pada 23 Mac lalu.

Menyedari tentu akan ada yang memandang serong terhadapnya ekoran kontroversi itu, Eddie bagaimanapun tetap bersikap positif.

“Biarlah orang hendak kata saya apa saja kerana saya percaya, saya ini ibarat cermin buat mereka. Apa yang lebih penting, filem ini dapat disiapkan secepat mungkin kerana sebagai pengarah tidak ada apa yang lebih bermakna selain melihat filem arahannya siap dan ditayangkan kepada khalayak,” ujar Eddie penuh bermakna.

Sumber : Berita Harian [22/05/2009]
Oleh Farihad Shalla Mahmud

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP