#481. Mesti Tonton : Syurga Cinta Bawa Mesej Menghiburkan
Filem: Syurga Cinta
Genre: Komedi Romantik
Pengarah: Ahmad Idham
APABILA filem Syukur 21 kurang diterima pencinta filem tempatan, syarikat penerbitannya MIG Production mengambil masa hampir 10 tahun untuk kembali menerbitkan sebuah filem berunsurkan keagamaan dan kerohanian.Setelah mengumpul kekuatan dan melalui pelbagai kajian dan pemerhatian, akhirnya MIG bersedia menerbitkan kembali filem berunsurkan sedemikian tetapi kali ini disuntik elemen romantik serta komedi iaitu Syurga Cinta, filem ke-30 terbitan MIG.
Filem Syurga Cinta mengisahkan Irham anak orang berada yang menetap lama di luar negara sehingga terbawa-bawa cara hidup kebaratan. Arak dan bertukar-tukar perempuan adalah biasa baginya, termasuk kedua orang tuanya. Mereka adalah keluarga yang jahil mengenai ilmu agama.Irham memandang rendah wanita bertudung, malah wanita sebegitu langsung tidak tersenarai sebagai calon pilihannya. Bagaimanapun dua sahabat baiknya lakonan Fizz Fairuz dan Shaheizy Sam, mencabar Irham memikat wanita bertudung. Ganjaran ribuan ringgit menantinya jika dia berjaya membuat wanita bertudung jatuh cinta kepadanya tetapi ada syarat dikenakan.
Irham diberi tempoh sebulan memikat hati wanita bertudung tetapi perlu memutuskan hubungan itu selepas tempoh sebulan di hadapan mereka. Wanita malang yang menjadi permainan tiga sahabat itu ialah cikgu Syuhada, guru yang mengajar di sekolah adik Irham, Ikmal.
Tugas memikat Syuhada menjadi mudah dengan adanya Ikmal lakonan Haziq. Perkara itu menjadikan hubungan Irham dan adik angkatnya Ikmal yang sebelum ini mempunyai jurang menjadi rapat. Gelagat mencuit hati Haziq ternyata berjaya mewarnai filem ini.
Pelbagai adegan lucu dan mengusik jiwa berlaku sepanjang tempoh perkenalan Irham dengan Syuhada. Adegan lucu berlaku disebabkan kejahilan Irham terhadap agama. Tidak tahu dengan niat jahat Irham yang hanya ingin mempermainkannya, Syuhada yang tidak pernah mengenali erti cinta kepada insan bernama lelaki, melayan Irham dengan baik.
Persahabatan yang terjalin antara mereka banyak menyedarkan Irham. Secara tidak langsung, dia mula sedar dirinya sudah jauh tersimpang dari landasan agama. Sedikit demi sedikit, Irham mula berubah dan perasaan suka kepada Syuhada mula berputik dalam dirinya.
Bagaimanapun, tempoh sebulan diberikan dua rakannya amat meresahkan Irham kerana perasaan sayang kepada Syuhada sudah mula wujud. Dia cuba menerangkan perkara sebenar kepada Syuhada pada malam terakhir namun gagal.
Hari yang dinantikan tiba, walaupun berat hatinya untuk menyatakan ungkapan putus tetapi ejekan dan desakan rakan-rakan mempengaruhi keputusan Irham. Perkara itu amat mengejutkan Syuhada yang menyangka Irham selama ini jujur kepadanya.
Maka bermulanya konflik antara Irham dan Syuhada yang berjaya dibawakan dua pelakon ini dengan berkesan. Penghayatan baik oleh Awal mampu membuatkan hati penonton tersentuh. Ini juga adalah antara lakonan terbaik Awal kerana berjaya menukar mood dengan mudah. Selain Awal dan Heliza, Fizz dan Shaheizy juga tidak kurang menariknya. Biarpun muncul untuk beberapa babak, mereka berjaya memikat penonton.
Jadi bagaimanakah kesudahan kisah Irham dan Syuhada? Jika ingin mengetahui apakah Syuhada menerima Irham kembali, saksikan Syurga Cinta arahan Ahmad Idham.
Sumber : Berita Harian [23/05/2009]
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin