#482. Jarum Mas : Usah Kaya Bergaya
Filem Malaysia). Sebutan Profima mengingatkan saya pada Perfima yang diwujudkan pada 1970.Generasi baru filem Melayu tidak ramai tahu makna Perfima manakala Profima belum setahun jagung, namun saya percaya lambat laun kita maklum Profima pejuang ‘periuk nasi’ pekerja filem.Dulu Perfima atau Perusahaan Filem Malaysia Sdn Bhd diasaskan oleh Tan Sri P Ramlee, Tan Sri Jins Shamsuddin, Datuk HM Shah, Salleh Ghani dan Jaafar Abdullah.
Tujuannya untuk memajukan filem tempatan, menerbitkan filem, menjadi pengedar filem selain membina pawagam sendiri.Perfima yang tapak terakhirnya di No 281, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, kini menjadi ‘kubur tidak bertanda’. Profima pula yang belum ada ‘kubur’ dan mendapat suntikan daripada presiden baru, Khir Mohd Noor, pasti membara-bara memperjuangkan nasib pekerja filem supaya tidak hidup segan mati tidak mahu.Terlalu awal untuk mengukur kemampuan Khir, tetapi maaf cakap, asal mengaitkan hal pekerja filem, yang terlintas adalah Anugerah Oskarnya. Bukan mempertikaikan kredibiliti bekas presiden, Syed Mohamed Hassan Benyahyah, tetapi selama 16 tahun PPFM diwujudkan, yang saya ingat hanya anugerah itu.
Ini yang bahayanya jika anugerah menenggelamkan apa yang diperjuangkan selama ini. Kita yang bukan setahun dua dalam dunia hiburan cukup maklum, apa saja disebut anugerah mesti ada unsur glamor.
Pengiktirafan untuk pekerja filem tidak salah. Siapa tahu ia boleh memotivasikan lagi prestasi kerja mereka, tetapi jika anugerah saja yang dikejar, dikhuatiri pekerja filem cuma kaya bergaya.
Setakat ini belum dengar apakah Khir akan meneruskan lagi anugerah yang sewaktu dengannya itu. Cuma sebagai presiden baru sekali gus setaraf dengan status profesionalisme Profima, saya lebih tertarik jika Khir merangka pelbagai strategi supaya pekerja filem tidak dilabel sebagai ‘kuli batak’.
Dalam keadaan krisis ekonomi global, langkah berjimat cermat lebih afdal daripada ghairah menganjurkan anugerah. Profima kena fokus pada kenaikan bayaran pekerja filem yang tidak seragam.
Mengait pekerja filem, ia menyorot pengalaman saya bekerja dengan EPA Film Productions yang menerbitkan filem Pertentangan pada 1983. Syarikat itu yang dimiliki Sham Tun Salleh, anak bekas Ketua Polis Negara, Tun Mohamed Salleh Ismael sebelum itu menerbitkan filem Ribut Barat.
Satu hal yang buat saya tertarik ketika itu, pekerja filem seperti saya disediakan elaun khas jika ‘shooting’ di luar Lembah Klang. Agak menarik kerana selama tiga bulan penggambaran filem itu, ia membabitkan lokasi di Teluk Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan, Johor Bahru dan di Singapura.
‘Lebatlah’ juga kocek untuk saya yang baru belajar mencari duit sendiri. Malang pula sekarang ini produser tidak lagi mengeluar elaun untuk lokasi luar dari Kuala Lumpur.
Mungkin soal elaun khas shooting luar ini kecil saja isunya, tetapi bagi saya jika Profima yang diterajui Khir dapat memperjuangkan, sudah pasti dia akan diangkat sebagai hero pekerja filem.
Apa saja yang kita perjuangkan, ia tidak boleh sendiri-sendiri. Melalui persatuan, ia akan memperoleh kekuatan ibarat pesan orang tua-tua, sebatang lidi dengan seikat penyapu lidi, mana lebih kuat?
Kelangsungan perjuangan persatuan pula, tidak dapat menidakkan betapa pentingnya sokongan media. Bagi saya, permulaan langkah terpuji pada Khir apabila menyenaraikan sembilan orang, termasuk dua orang media, iaitu saya sendiri selaku Pengarang Hiburan Harian Metro dan Pengarang Bintang Popular (sisipan Berita Minggu), Akmal Abdullah, untuk menerima sijil Ahli Kehormat Profima.
Ahli kehormat lain yang menerima sijil adalah Ketua Pengarah Finas, Mohd Mahyidin Mustakim, Ketua Pegawai Eksekutif, Sime Darby Insurance Brokers Sdn Bhd, Mohd Yahya Mohd Ibrahim, Presiden UNI-MLC, Mohamed Shafie Bp Mammal, Ahmad Puad Onah, Richard Ung, Baharuddin Omar dan Jurey Latiff.
Malang pula kerana sibuk menguruskan majlis pertunangan adik, saya tidak dapat hadir di majlis berkenaan, sebaliknya cuma menghantar wakil. Timbul juga desas-desus apa perlu pihak media menerima sijil itu.
Saya terkejut juga apabila nama disenaraikan. Cuma orang menghargai, apa salah diterima. Barangkali juga ia luahan terima kasih Khir kepada media yang banyak membela nasib pekerja filem.
Bukan nak mengangkat dulang, tetapi di RAP, Harian Metro setiap Khamis, kita sediakan kolum khas di muka tengah, Borak Lokasi, yang tujuannya untuk pekerja filem berbangga dengan pekerjaan mereka.
Daripada pengarah, pengarah fotografi hingga juru mekap, juru gegas mahupun tukang bancuh air, nama mereka kita abadikan yang tidak dibuat di mana-mana akhbar pun kecuali di RAP, Harian Metro.
Implikasinya jelas, boleh dikatakan saban minggu ada saja syarikat produksi mahukan produk mereka dimuat di ruangan itu. Malah, ada yang sanggup mengajak ke lokasi luar negara, selain menempah iklan pada muka tengah yang kosnya ada yang melebihi lima kali menerbitkan telemovie.
Cuma satu hal yang saya kira Profima terlepas pandang, agak aneh apabila sijil Ahli Kehormat itu diberi serentak pada sembilan orang dalam satu masa. Lebih molek, pengiktirafan begitu hadir selang tiga tahun, seorang demi seorang, kerana Ahli Kehormat itu statusnya umpama kita dikurniakan ‘Tun’.
Sumber : Harian Metro [24/05/2009]
Adam Salleh