#484. Hikayat KRU
AWAL penubuhan syarikat adik beradik — Norman, Yusry dan Edry Abdul Halim — dikenali sebagai KRU Capital. Ketika itu mereka bergerak lebih ke arah bidang seni suara. Begitupun, selepas kejayaan berterusan, skop mereka lebih luas, malah turut merangkumi pelbagai bidang, termasuk perfileman dan animasi.Menyedari hakikat itu, pusat operasi mereka yang ditubuhkan selama 12 tahun di Taman Setiawangsa dirasakan tidak sesuai untuk menampung keseluruhan bidang berkenaan.
Kerana itu, keseluruhan operasi syarikat mereka bakal dipindahkan ke lokasi baru yang lebih luas di Cyberjaya.Memikirkan keadaan semasa dan perniagaan yang semakin meluas, mereka akhirnya menyedari keperluan sebuah kompleks studio untuk menempatkan pelbagai peralatan penerbitan berteknologi tinggi, bukan saja untuk perfileman tetapi juga dalam penghasilan produk muzik.
Jelas Norman selaku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KRU Studios, penubuhan KRU Studios Cyberjaya bakal menjadi sebuah kompleks yang dilengkapi peralatan canggih bidang penerbitan dan multimedia.
“Studio ini akan menggunakan 100 peratus peralatan digital. Secara tidak langsung, penggunaan sistem berteknologi tinggi ini dapat menjimatkan kos dan meningkatkan kualiti produk kami.
“Malah dengan adanya studio ini, produk kami tidak terhad terhadap pasaran tempatan saja, sebaliknya ia boleh dipasarkan ke pasaran serantau.
“Studio berkeluasan enam hektar ini akan dilengkapi lima studio penerbitan audio, lima studio suntingan, studio pengimejan digital dan studio animasi visual kesan khas. Jika tiada aral, ia akan mula beroperasi selewat-lewatnya Januari 2010,” katanya.
Tambah Norman, KRU Studios turut menempatkan peralatan produksi digital seperti sistem penataan kesan khas dan imej janaan komputer (CGI) berteknologi tinggi yang digunakan secara meluas dalam industri penerbitan antarabangsa ketika ini.
“Tidak ketinggalan set penggambaran luar yang berkeluasan 1.8 hektar, kafeteria, pusat rekreasi dan blok pejabat yang mampu menempatkan seramai 100 petugas pada satu masa.
“Kami juga kini mencari jalan untuk menyediakan sistem yang mampu memudahkan segala kerja berkaitan tanpa mengabaikan kualiti,” katanya.
Meskipun studio berkenaan masih dalam proses pembinaan, beberapa filem seperti Magika, My Spy dan Hikayat Merong Mahawangsa menjadi antara produk yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.
“Ketiga-tiga filem ini dalam proses terakhir sebelum ia dimainkan di layar perak. Jika tiada aral, ia akan ditayangkan tidak lama lagi selepas semua prosesnya selesai.
“Menariknya, Hikayat Merong Mahawangsa yang menjadi karya sulung Yusry juga dalam proses pasca produksi. Filem epik ini pasti menampilkan kelainan.
“Selain itu, kami mempunyai dua skrip untuk filem seterusnya. Setiap satunya berkonsepkan komedi dan seram. Insya-Allah, apabila ketiga-tiga filem ini dipertontonkan, baru kami akan meneruskan proses penggambaran dua filem berkenaan,” katanya.
Tambah Norman, syarikatnya juga menjalin kerjasama dengan tiga agensi pemasaran di luar negara dengan tujuan produk mereka akan dapat dipasarkan di sana.
“Untuk filem berbahasa Inggeris, kami melantik sebuah ejen di Amerika Syarikat sebagai syarikat yang bertanggungjawab memasarkan produk kami di sana.
“Selain itu, filem berbahasa Melayu pula akan diserahkan kepada agensi sama di Kanada, manakala dokumentari dihasilkan syarikat kami akan dipasarkan di Australia,” katanya.
Sumber : Harian Metro [25/05/2009]
Oleh FIRDAUS SAHAT