#485. Semangat Penuntut Perfileman
Beranikan diri hasilkan filem 3 Budak Melayu dengan kos RM15,000
MEREKA umpama cangkir kosong yang cuba mengisi ruang dalam industri perfileman tempatan.Berbekalkan minat serta ilmu yang digali sepanjang menuntut di Fakulti Artistik dan Teknologi Kreatif, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, mereka berpakat untuk berkongsi idea, lalu muncullah filem cereka dengan judul 3 Budak Melayu.Bukan sedikit halangan terpaksa mereka tempuh. Namun dengan kesungguhan serta kecintaan yang mendalam, impian itu berjaya direalisasikan dan filem 3 Budak Melayu akan menjadi kebanggaan 40 penuntut semester akhir fakulti berkenaan.
Pembikinan filem yang menampilkan tiga pelakon utama iaitu Aizam Othman, Syahiera Abu Hassan dan Noor Fariza Hisamuddin arahan Mohd Faizal Lockman Hakim atau Mamu pada dasarnya dihasilkan sebagai memenuhi keperluan subjek, Honour Showcase di bawah seliaan Profesor Dr Hatta Azad Khan.Ditangani 40 tenaga produksi, filem 3 Budak Melayu dihasilkan dengan bajet kecil iaitu kurang RM15,000 serta waktu penggambaran yang cuma memakan masa 12 hari.
Dalam usaha menyiapkan filem itu, mereka juga berdepan pelbagai cabaran besar kerana pada sama harus menumpukan perhatian kepada pelajaran dan beberapa projek lain yang berkaitan.
“3 Budak Melayu adalah cerita kami, gambaran kesungguhan kami yang masih menuntut untuk membikin filem. Ia membanggakan kami sebagai muka baru yang bakal menghiasi industri perfileman,” kata Mamu.
Katanya, peruntukan bajet, waktu, tenaga kerja serta kelengkapan yang terhad selain tekanan dalam pelajaran memberikan cabaran dalam menyiapkan filem itu.
Justeru, melihat produksi itu direalisasikan, kata Mamu, memberikan mereka kepuasan kerana segala halangan mampu dihadapi dan akhirnya filem itu dapat dipertontonkan.
Besar harapannya untuk membawa 3 Budak Melayu ke ruang lebih luas. Justeru katanya, dia tidak akan sesekali berkecil hati dengan kritikan bakal diterima.
“Tidak mengapa jika filem ini dilihat lemah supaya orang lain dapat belajar dan tidak mengulangi kesilapan yang sama. Dari situ industri kita akan lebih berjaya dan berkembang baik,” katanya positif.
Sekali pun masih kurang jelas ke mana arah penerbitan pertama itu, mereka tetap menaruh harapan projek sulung itu akan dapat ditonton umum sama ada di layar lebar atau televisyen.
“Ia bukan projek terakhir kami kerana kami akan terus memberikan yang terbaik untuk membangunkan industri. Di luar ramai yang cuba meruntuhkan semangat dan moral namun kami bertekad untuk meneruskan segala usaha bagi mencapai kejayaan,” katanya.
Bakat pelajar kreatif perlu 'dijual'
MENGULAS mengenai karya anak didiknya, Profesor Dr Hatta berkata, kumpulan pelajar itu cuma dibekalkan dengan skrip kasar tulisannya kerana dia mahukan terjemahan serta interpretasi terhadap filem itu datang daripada diri mereka sendiri.
Akui Hatta, beliau tidak banyak campur tangan dalam pembikinan filem 3 Budak Melayu sebaliknya cuma membantu dari belakang untuk memastikan usaha itu menjadi satu kenyataan.
“Saya memegang amanah ibu bapa mereka hingga satu peringkat saya berasakan bakat pelajar ini perlu ‘dijual’ untuk dinilai oleh mereka yang berminat menerbitkan filem.
“Saya melihat perlu ada gabungan antara mereka yang profesional dan berkemampuan dengan pelajar yang berilmu untuk membawa industri ke peringkat kecemerlangan.
“Pada masa sama saya berharap usaha ini dibantu dan bakat serta kreativiti mereka dapat dijual untuk membangunkan industri perfileman kita,” katanya.
Filem 3 Budak Melayu turut disokong tiga nama hebat dalam lakonan iaitu Zaidi Omar, Liza Othman dan Radhi Khalid yang jelas berbangga dengan iltizam kesemua penuntut berkenaan.
Zaidi yang berpengalaman selama 22 tahun sebagai pelakon berkata, dalam setiap apa juga pekerjaan yang dilakukan, ilmu penting kerana usaha semata-mata tidak memadai.
Turut meluahkan perasaan kesal kerana disiplin industri perfileman tempatan tidak dititikberatkan, Zaidi menyelar sikap sambil lewa mereka yang berada di bahagian teknikal sesebuah produksi.
“Tidak sepatutnya berlaku kesilapan dalam aspek teknikal kerana mereka bermain dengan objek mati, sedangkan luahan lakonan seseorang aktor itu banyak bermain dengan jiwa dan emosi.
“Malangnya di negara ini, kebanyakan penggiat industri tidak mengenali tugasan masing-masing. Luahan mesej dalam 3 Budak Melayu harus dilihat pada sudut positif,” katanya.
Liza pula melihat pendekatan filem itu sebagai luahan penceritaan jiwa anak muda, malah berbangga dengan komitmen yang ditunjukkan barisan peneraju 3 Budak Melayu.
“Bagaimanapun, saya kurang berpuas hati dengan sudut teknikal terutama di bahagian akhir filem yang sedikit memeningkan kepala. Tekstur sebegitu wajar dielakkan,” katanya memberikan pandangan.
Sinopsis: 3 Budak Melayu
DICERITAKAN daripada sudut pandangan tiga anak muda Melayu iaitu Epol, Nana dan Zurin yang juga penuntut tahun akhir jurusan perfileman. Mereka menumpang di sebuah rumah kampung milik sepasang suami isteri yang mengusahakan kedai runcit. Epol, Nana dan Zurin berdepan pelbagai ragam manusia di sekitar kehidupan mereka. Tiga anak muda ini berusaha keras berjimat cermat mengumpul wang untuk membiayai projek filem mereka. Pelbagai cara dilakukan di samping terpaksa menangani pelbagai masalah.
Sumber : Berita Harian [26/05/2009]
Oleh Zul Husni Abdul Hamid