#487. Hatta Pertaruh Filem Aman
Filem yang menelan belanja RM1.8 juta ini akan memulakan penggambaran pada 28 Mei ini di sekitar Ijok, Kuala Selangor.Filem ini adalah usaha sama antara Syarikat Sinaredha Sdn. Bhd, Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik (FACT) Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Filem Negara Malaysia.Selaku pengarah, Hatta berkata tenaga produksi filem ini membabitkan pelajar dan pensyarah FACT.Kehadiran pelajar dalam filem ini adalah untuk memberi pendedahan sebelum mereka menempuh alam pekerjaan.Syarikat Sinaredha hanya menyediakan peralatan produksi untuk filem pertama syarikat itu.
"Tidak berguna pelajaran yang diajar seperti penulisan, animasi, pengarahan dan sebagainya jika pelajar tidak mempraktikkannya."Kebanyakan syarikat bersandarkan kepada kepakaran. Justeru saya melihat gandingan syarikat produksi dengan universiti adalah kerjasama yang amat bagus," katanya.Menurutnya, untuk filem Aman ini akan membabitkan seramai 26 orang pelajar termasuk pelajar yang menjalani latihan amali. Tujuannya adalah memberikan pelajar pendedahan secara praktikal serta menggabungkan mereka dengan golongan profesional.Proses pasca produksi dijalankan selama enam bulan lalu bagi melakukan kajian dan mengenalpasti segala kelemahan untuk diperbaiki. Proses ini dilakukan oleh pelajar kerana ia adalah salah satu langkah pendedahan penting untuk pelajar.
"Kelainan yang cuba saya tonjolkan di sini ialah filem ini bukan filem komedi yang dibuat-buat. Saya percaya bahawa komedi sebenarnya terhasil dari situasi serius. Oleh itu, saya panggil komedi ini elektronik komedi.
"Dalam menghasilkan filem, kita perlu bersikap terbuka. Filem ini adalah gabungan daripada kebaikan dari filem-filem yang terbaik. Kalau boleh, semua yang baik dalam semua filem hendak saya gabungkan menjadi sebuah filem," katanya.
Aman dibarisi nama besar seperti Eman Manan, Rozita Che Wan, Harun Salim Bachik, Senario, Adibah Noor serta adik Shafimie Saedon (Fimie) pelakon utama drama kanak-kanak, Hikayat Putera Shazlan.
Lebih istimewa, apabila Wartawan Alam Sekitar TV3, Karam Singh Walia, pelawak Satya dan Seniman veteran, Datuk Aziz Sattar membuat penampilan istimewa dalam filem ini.
Komedi elektronik yang dimaksudkan Hatta ialah komedi yang terhasil selepas direka dan koreografi supaya komedi itu tidak dibuat sesuka hati. Ini bererti komedi ini tidak keterlaluan. Pengawalan seperti ini bagus kerana terdapat sesetengah komedi dihasilkan tidak terkawal.
Filem Aman mengisahkan hidup budak lelaki berusia 12 tahun bernama Aman (Fimie). Dia tinggal bersama bapa saudaranya, Uncle Lock (Eman Manan) selepas kematian ibunya dan bapanya kahwin lain.
Aman adalah seorang budak yang gemar mencipta alat elektronik hasil daripada barang terbuang.
Uncle Lock sering diganggu oleh pesaingnya dalam bidang pembinaan, Mel (Harun Salim Bachik).
Kehadiran Aman banyak membantu Uncle Lock menyelesaikan masalah yang dihadapi.
Sumber : Harian Metro [27/05/2009]
Oleh Ahmad Shazwan Md Yusof