Until Death Do Us Part - Jonas

Selasa, Jun 02, 2009

#488. Dian Turut Rasa DiHargai

MALAM kemuncak Anugerah Perdana Seniman 2009 (APSM 2009) yang berlangsung di Stadium Perpaduan, Kuching, Sarawak pada 4 hingga 6 April lalu menyaksikan waris Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Dian P. Ramlee mewakili keluarga Allahyarham untuk menerima anugerah Pingat Kebesaran Kedua Tertinggi Kerajaan Sarawak, Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak yang membawa gelaran Datuk Amar P. Ramlee.Dian menerima plak berbentuk bintang itu daripada Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud. Bagaimanapun, pelakon ini menyerahkan pingat berkenaan kepada Jabatan Arkib Negara sekali gus dipamerkan di Pustaka Peringatan P. Ramlee untuk tatapan generasi akan datang.

Dian atau nama sebenarnya, Salfarina Mum, 51, dilahirkan pada 9 Ogos 1958 di Singapura. Dia adalah antara anak kesayangan P. Ramlee dan Biduanita Negara, Puan Sri Saloma.Kini Dian yang berlakon secara sambilan, hidup bahagia bersama suami, Md Amanti Ahmad, 56, dan tiga anak, Mohd Al Safrin, 26; Siti Arianti, 21 dan Siti Adianti, 14.Secara peribadi, Dian mengakui tidak banyak kenangan manis yang dikongsinya bersama bapa ketika hayatnya dulu kerana dia tidak rapat dengan Allahyarham berbanding anak yang lain.

Apapun, Dian tetap berbangga membawa nama P. Ramlee sampai hari ini. Pada masa sama, dia bersyukur kerana tidak pernah mencalarkan nama baik P. Ramlee sepanjang 33 tahun berkecimpung sebagai anak seni.

Ikuti temu bual wartawan Rap, Ramlah Zainal dengan Dian berkongsi suka dukanya menjadi antara anak P. Ramlee, sekali gus berkongsi pandangan mengenai tarikh memperingati pemergian Allahyarham tanggal 29 Mei ini.

SOALAN (S): Bagaimana reaksi keluarga P. Ramlee termasuk anaknya yang lain apabila anda menjadi waris yang menerima pingat bagi pihak keluarga Allahyarham sempena APSM 2009, April lalu?

JAWAPAN (J): Sebenarnya, saya tidak tahu menahu mengenai perkara itu. Apa yang saya tahu, saya diundang kerajaan Sarawak yang diwakili persatuan Seniman untuk datang ke majlis itu. Saya juga memberitahu mereka, P. Ramlee ada waris yang lain iaitu Sazali. Tapi mereka memberitahu Sazali bekerja pada hari itu dan dia juga tidak sihat.

Justeru, pihak berkenaan meminta saya mewakili keluarga P. Ramlee untuk menerima pingat berkenaan. Saya juga hanya datang sehari saja dan selepas habis majlis, terus kembali ke Kuala Lumpur pada malam itu juga.
S: Apa perasaan anda ketika naik ke pentas menerima pingat bagi Seniman Agung P. Ramlee?

J: Ini kali pertama dalam hidup saya naik ke pentas menerima pingat bagi pihak bapa. Saya berasa terkejut dan terharu hingga air mata saya menitis ketika itu kerana berasa dihargai. Bagi saya, ia kenangan paling manis dalam hidup sebagai anak P. Ramlee.

Sebelum ini, selain Allahyarham ibu saya, Saloma, anak kandungnya, Allahyarham Nasir P. Ramlee juga pernah menerima penghargaan bagi pihaknya. Sudah pasti saya berasa bangga bagi pihaknya. Malah, saya masih ingat lagi ketika menziarahi kubur P. Ramlee lebih 20 tahun pemergiannya dulu, ada budak berusia 10 tahun yang tahu di mana kubur termasuk filem lakonannya sekalipun tidak hidup pada zamannya.

S: Selaku waris P. Ramlee, adakah anda berasa anugerah dan pengiktirafan yang diberikan kepada Allahyarham sudah cukup setakat ini berdasarkan sumbangannya kepada seni tanah air?.

J: Pada pandangan saya, gelaran Tan Sri P. Ramlee sedia ada sebenarnya sudah cukup bagi mengenang jasanya selama ini kerana beliau sudah lama meninggal dunia. Bagi saya, pengiktirafan lebih wajar diberikan kepada anak seni yang masih hidup. Maklumlah, pada zaman dulu orang memandang rendah pada anak seni, justeru, jika anak seni yang sudah lama berkecimpung ini diberikan pengiktirafan, mereka berasa diri lebih dihargai dan pada masa sama, mereka juga akan menghargai P. Ramlee.

Anugerah adalah satu nama dan gelaran yang sepatutnya diberikan ketika anak seni itu masih hidup. Saya gembira kerana ramai anak seni kita yang mendapat anugerah ketika masih hidup. Apa yang penting bagi saya, orang terus menghargai P Ramlee sampai bila-bila. Malah, selepas 36 tahun pemergiannya, orang masih meminati dan menghargai karyanya sampai hari ini.

S: Ada juga cadangan pihak tertentu menganugerahkan gelaran Tun kepada P. Ramlee? Komen anda?

J: Saya tidak kisah jika kerajaan ingin menganugerahkan gelaran Tun kepada P. Ramlee. Ia terpulang kepada mereka. Bagi saya, P. Ramlee sudah lama tiada. Sekarang orang sebut Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, tetapi yang masih hidup adalah kaum keluarganya saja. Ketika orang nak beri gelaran Datuk pada P. Ramlee sebelum ini, ada orang suka dan ada pula sebaliknya.

S: Mengapa tidak banyak cerita mengenai pengalaman anda bersama bapa ketika hayatnya dulu?

J: Sebenarnya, saya tidak rapat dengan P. Ramlee berbanding anaknya yang lain. Saya tinggal di Singapura dan bersekolah di sana. Saya juga dibesarkan nenek, Umi Kalthom (ibu Saloma) di Singapura. Malah, saya juga hanya berjumpa daddy ketika musim cuti sekolah dan ketika itu saya masih kecil. Mungkin kerana saya memang pendiam orangnya dulu.

Terus terang, saya tidak banyak kenangan manis dikongsi dengan daddy kerana P. Ramlee meninggal dunia ketika saya berusia 13 tahun. Apa yang saya tahu, saya berasa takut dengan daddy kerana dia garang orangnya. Bagaimanapun, saya sangat rapat dengan mama (Saloma) kerana selepas berusia 17 tahun, Saloma membawa saya tinggal bersamanya di Kuala Lumpur sehinggalah mama meninggal dunia.

S: Sempena mengenang 36 tahun pemergian P. Ramlee pada 29 Mei ini, mungkin anda dan waris keluarga Allahyarham merancang sesuatu majlis khusus pada tarikh berkenaan?

J: Saya tidak merancang sebarang majlis untuk mengenang pemergian bapa pada tarikh itu kerana tahu sudah banyak pihak termasuk Arkib Negara merancang majlis khusus termasuk majlis tahlil buat Allahyarham. Apapun, saya membaca Surah Yasin setiap hari selepas solat Subuh dan Maghrib untuk disedekahkan kepada semua umat Islam yang sudah meninggal dunia termasuk untuk P. Ramlee bermula Februari lalu. Pada masa sama, saya juga membuat majlis doa selamat untuk Allahyarham setiap kali Ramadan bersama kaum keluarga lain.

S: Selepas P. Ramlee meninggal dunia, bagaimana hubungan anda dengan ahli keluarga dan waris Allahyarham yang lain?

J: Hubungan kami sekeluarga tetap rapat sampai sekarang. Saya memang rapat dengan Allahyarham Nasir dan adik- beradik lain termasuk Allahyarham Armali Aman Ramlie, Sazali dan Allahyarham Badin. Namun, selepas berkeluarga dan ada komitmen sendiri, kami jarang berjumpa. Tapi, setiap kali ada kelapangan, kami tetap berjumpa dan bertanya khabar sekal igus mengeratkan tali kekeluargaan sedia ada.

S: Boleh komen soal pembahagian royalti kepada waris P. Ramlee selepas anak kandungnya, Nasir meninggal dunia?

J: Saya difahamkan, selepas Nasir meninggal dunia, royalti P. Ramlee diberikan kepada anak Allahyarham yang juga waris berhak. Sama ada mereka dapat atau tidak royalti itu, saya tidak tahu. Sekalipun, saya juga anak P. Ramlee, saya tidak pernah bertanya soal royalti itu kerana sedar tidak rapat dengannya. Anak angkat Allahyarham yang lain seperti Sazali lebih rapat dengan Allahyarham kerana mereka tinggal dengannya.

S. Siapa yang memberi dorongan kepada anda menceburi bidang seni?

J: Sebenarnya, arwah nenek yang meminta saya menceburi bidang seni manakala mama menjadi sumber inspirasi sampai sekarang. Malah, nama Dian P. Ramlee juga diberikan mama kepada saya.

S: Bagaimana perasaan anda ketika mula-mula membawa nama P. Ramlee dulu?

J: Pada mulanya berat bagi saya untuk membawa nama P. Ramlee yang besar ini. Namun, saya bersyukur kerana selepas 33 tahun menjadi anak seni, saya tidak pernah mencalarkan nama baiknya itu.

Sumber : Harian Metro [27/05/2009]
Oleh RAMLAH ZAINAL

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP