#490. Finas Bantu Artis Sakit
Menerusi Skim Belaan Artis yang diperkenalkan sejak dua tahun lalu, usaha ini menarik perhatian dan disambut baik artis yang disifatkan dapat meringankan beban mereka.Ini juga secara tidak langsung menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam membantu artis tempatan agar mereka tidak berasa terpinggir daripada mendapat bantuan kerajaan.Selepas skim ini diberikan kepada 21 penerima sebelum ini, pada awal tahun ini pula enam artis yang menganggotai Persatuan Artis India Warganegara Malaysia (Miewa) menerima sumbangan yang sama.
Meneruskan usaha ini, Finas turut mengadakan lawatan turun padang ke rumah artis untuk menghulurkan sumbangan. Kelmarin, Finas yang diwakili Penolong Pengarah Komunikasi Korporat, Mohd Fazli Abd Aziz bersama beberapa pemimpin persatuan iaitu Presiden Persatuan Pengeluar-Pengeluar Filem Malaysia (PFM), Ahmad Puad Onah, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Freddie Fernandez dan wakil Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), pelakon Abu Bakar Omar, Zulkifli Ismail dan Rina Tan berkesempatan berkunjung ke rumah tiga artis yang sebelum ini ditimpa masalah kesihatan iaitu Shukery Hashim, Yusof Chong dan Kamal Pendek.
Pada lawatan itu, Finas menghulurkan sumbangan RM10,000 dari Skim Belaan Artis kepada tiga artis ini.
Bagi Shukery yang terkejut dengan kunjungan itu, menyatakan dia sangat bersyukur dan berterima kasih atas sumbangan itu.
Katanya, sumbangan itu memberi makna besar pada dirinya untuk pulih selepas menjalani pembedahan barah pankreas di Hospital Selayang pada 24 April lalu.
Shukery, 55, yang pernah meraih anugerah Pelakon TV Popular Berita Harian (ABPBH) pada tahun 1995, Pelakon Drama TV Terbaik di Anugerah Sri Angkasa (1994) dan Pelakon Terbaik di Anugerah Sri Angkasa (1990), kini berehat daripada aktiviti lakonan selepas pembedahan pertama kali itu.
Ketika ditemui di rumahnya di Ampang, Selangor, dia isteri, Faridah Mat Desa mampu bercakap dan berdiri.
Kata Shukery, kesihatannya bertambah baik cuma dinasihatkan banyak berehat kerana kesan pembedahan menyukarkan dia bergerak bebas.
"Sejak sakit, selera makan saya berkurangan. Namun, saya paksa makan sedikit untuk mendapat tenaga. Selain tiada selera makan, saya sukar untuk tidur malam kerana badan sering gelisah dan panas.
"Akibat penyakit yang saya hadapi, berat badan yang sebelum ini 85 kilogram turun 10 kilogram. Buat masa ini, saya masih mendapat rawatan susulan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) dan Hospital Ampang.
"Saya ucapkan berbanyak terima kasih pada Finas khususnya Menteri, Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim atas keprihatinan dalam memberi sumbangan ini ," katanya.
Pelawak veteran, Yusof Chong atau nama sebenar Yusof Mat Said pula berbesar hati dengan sumbangan yang diberikan padanya yang membantu meringankan beban untuk merawat penyakit yang dihidapinya.
Yusof, 62, yang mengidap sakit jantung, buah pinggang, kencing manis dan darah tinggi sejak beberapa tahun lalu, masih menjalani rawatan di Hospital Selayang.
Katanya, dia perlu menanggung perbelanjaan sebanyak RM2,000 sebulan untuk kos rawatan dan ubat.
Katanya, sebelum ini dia pernah menerima bantuan dari Seniman dan bayaran pencen RM500 setiap bulan yang diberikan Karyawan.
Sungguhpun ditimpa masalah kesihatan, dia masih bersemangat untuk bekerja dan memenuhi jemputan persembahan pentas.
"Saya perlu berkerja untuk menyara hidup. Bagaimanapun, saya bekerja bila kesihatan mengizinkan. Apabila ada pihak yang prihatin untuk memberi sumbangan, saya berasa terharu dan bersyukur kerana masih ada yang ambil berat mengenai saya.
"Pada saya, sumbangan membantu artis veteran diharap dapat diteruskan. Jika boleh, ada kalangan artis veteran yang tidak berkemampuan mendapat bantuan rumah sebagai menghargai sumbangan mereka pada bidang hiburan tempatan," katanya.
Pelakon Kamal Pendek atau nama sebenar Nurul Kamal Mohamad Zainuddin berkata dia tidak menyangka kerana mendapat sumbangan daripada kerajaan.
Kamal, 57, mengidap sakit tulang belakang sejak tiga tahun lalu hingga sukar untuk bangun dan berjalan. Penyakit itu berpunca dari satu kemalangan ketika dia terjatuh dari ketinggian lebih 12 kaki ketika membaiki wayar di sebuah hotel di Kuala Lumpur. Akibat kemalangan itu, dia menjalani pembedahan tengkuk di Hospital Kuala Lumpur.
Bercerita mengenai perkembangan diri, dia berkata kesihatan beransur pulih bila dia kini mampu berjalan menggunakan tongkat. Kamal yang turut aktif bersama Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia berharap kesihatannya bertambah baik dan mahu terus berlakon. Dia mula berlakon sejak 1973 menerusi filem pertama, Penagih Dadah arahan Mat Sentul.
"Kesan daripada penyakit saya sukar untuk tidur dengan selesa. Bayangkan setiap 10 minit saya perlu mengubah kedudukan tidur untuk mengelak sakit.
"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana sumbangan ini dapat menampung kos perbelanjaan pembedahan tulang belakang saya RM20,000.
"Sebelum ini ada juga sumbangan daripada orang ramai tetapi wang yang ada masih belum cukup untuk saya menjalani pembedahan ini.
"Saya memohon sumbangan orang ramai termasuk syarikat korporat untuk tampil membantu membiayai kos pembedahan saya ini. Jika wang ini dapat dikumpulkan, pembedahan dapat dijalankan dengan segera," katanya.
Sumber : Harian Metro [28/05/2009]
Oleh Elrafaei Sapi