#492. Epilog : Sesudah 36 Tahun Pemergian P.Ramlee
ESOK genap 36 tahun Seniman Agung, Tan Sri P Ramlee meninggal dunia. Menyentuh mengenai jasa, sumbangan dan khazanah seni yang ditinggalkan Allahyarham, ia tidak pernah jemu diperkatakan dan saban tahun menjelang ulang tahun pemergiannya kita akan berasa kehebatannya berkarya dalam filem dan muzik nyata tiada tolok bandingnya.
Ada orang kata mereka sudah muak bercakap mengenai P Ramlee. Ada juga kata sudah bosan tonton filem P Ramlee kerana kerap sangat disiarkan menerusi kaca TV. Hakikatnya P Ramlee terus hidup dalam jiwa ramai insan dan mereka yang tidak pernah kenal dan lahir selepas kematiannya juga boleh menjadi peminatnya. Apapun alasannya, P Ramlee meninggalkan legasi seni yang tidak akan padam dan terus diperkatakan. Pujian dan kebanggaan terhadap karya P Ramlee bukan sekadar retorik. Seniman Agung itu adalah insan genius dalam bidang seni dan budaya yang dikurniakan Tuhan kepada bangsa Malaysia.
P Ramlee akan terus menjadi perhatian kepada generasi muda hinggakan generasi baru seperti kanak-kanak berusia 10 tahun ke bawah juga kenal siapa P Ramlee. Semuanya kerana filemnya yang boleh menjerat hati kanak-kanak untuk menonton dan menghayati cerita yang disampaikan P Ramlee. Ia bukan semua filem lakonan P Ramlee tetapi kebanyakan filem arahan dan lakonan P Ramlee yang dikategorikan popular seperti komedi Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok, Pendekar Bujang Lapok, Labu Labi, Nasib Labu Labi, Do Re Mi, Nasib Do Remi, Masam Masam Manis, Anak Bapak, Keluarga 69, Laksamana Do Re Mi dan banyak lagi. Tiga filem agung P Ramlee yang terus menjadi kajian mereka yang belajar filem di universiti ialah Semerah Padi, Ibu Mertuaku dan Antara Dua Darjat.
Kehebatan P Ramlee sentiasa diperkatakan tanpa jemu. Begitu juga dialog dan keletah dalam filem lakonannya juga sering diajuk dan ditiru oleh peminatnya. Ada orang filem juga mencedok idea dan konsep filem P Ramlee. Ia juga dibuat secara tribute dalam bentuk pementasan muzikal dan teater serta orkestra.
Beberapa buku berkisar kisah hidup dan karya P Ramlee juga sudah banyak ditulis dan diterbitkan termasuklah menerusi tulisan Tun Ahmad Sarji, Datuk Abdullah Hussain, Nasir P Ramlee, Aimi Jarr, Ramli Ismail dan Yusnor Ef. Filem P Ramlee kini juga kerap dan makin rancak ditayangkan menerusi TV2, TV3, TV9 dan Astro Prima. Acara berkaitan P Ramlee juga terus diadakan termasuklah sambutan ulang tahunnya yang dianjurkan Arkib Negara Malaysia.
Begitu juga penghargaan untuk Allahyarham. Ia terus diberikan. Terbaru, pada awal April lalu kerajaan Sarawak menganugerahkan Darjah Utama Yang Amat Mulia Bintang Kenyalang Sarawak, yang membawa gelaran Datuk Amar Bintang Kenyalang kepada Seniman Agung itu. Penyerahan anugerah itu dibuat Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada majlis Anugerah Perdana Seniman 2009 di Stadium Perpaduan, Kuching.
Baru-baru ini juga seorang timbalan menteri dalam Dewan Rakyat membuat kenyataan pihak kementerian berkaitan kebudayaan menyokong penuh gelaran Tun untuk P Ramlee setelah mengambil kira jasa besarnya dalam bidang kesenian dan kebudayaan di negara ini, malah ia terus dihargai dan dikenang sehingga kini. Cadangan itu juga sebagai menjawab saranan Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali di Dewan Rakyat yang berpendapat gelaran Tan Sri untuk P Ramlee ketika ini tidak mencukupi kerana gelaran itu juga sudah diberikan kepada beberapa seniman lain walaupun sumbangan mereka tidak sebesar Allahyarham. Cadangan pemberian darjah Tun untuk P Ramlee mula diusulkan oleh Presiden Majlis Muzik Malaysia, Datuk A Rahman Hassan menerusi rancangan Fenomena Seni di TV1 pada tahun lalu.
Ini bererti jika saranan kementerian itu diterima pihak berkenaan, maka gelaran Tun kepada kepada P Ramlee akan dibuat secara posthumous, iaitu selepas hampir 36 tahun beliau meninggal dunia. Gelaran Tan Sri yang diperoleh Allahyarham dulu pun diberikan secara posthumous, selepas 17 tahun kematian beliau, diberikan pada 1990 oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Sultan Azlan Shah.
Memperkatakan legasi P Ramlee kita tidak dapat mengelak mengenai legasi Bujang Lapok, Do Re Mi dan Labu Labi. Ia judul filem yang memberi kekuatan tersendiri hingga menjadi sebutan ramai dan watak yang dicipta dalam komedi terbabit juga menjadi terkenal kerana filem berkenaan. Sayangnya, sebahagian mereka juga sudah meninggal dunia seperti AR Tompel dan Ibrahim Din menerusi trilogi Do Re Mi, begitu juga M Zain yang berganding dengan Seniman Agung itu menerusi Labu Labi. Dua sahabat baik P Ramlee menerusi trilogi Bujang Lapok kini masih hidup iaitu Aziz Sattar (kini Datuk) dan S Shamsuddin atau Sudin.
Aziz dan Sudin ialah legasi P Ramlee dari segi pelakon komedi hebat yang ditinggalkannya. Mereka masih hidup. Sejauh mana industri filem dan masyarakat termasuk anak seni sekarang memberi penghargaan kepada legasi P Ramlee ini. Aziz mungkin bernasib baik kerana dia masih aktif dalam kerjaya seni meskipun usianya lebih 70 tahun dan kerap menerima penghargaan termasuk kurniaan darjah kebesaran yang membawa gelaran Datuk. Malangnya, Sudin yang kini menetap di Singapura bagaikan terpinggir dan khabarnya berada dalam keadaan uzur di kediamannya di sebuah flat di negara itu. Sesuatu harus dibuat untuk membantu Sudin.
Kita akui, generasi baru sekarang memang kenal P Ramlee lewat filemnya tetapi mereka cuma kenal fizikal serta gelagat P Ramlee menerusi lakonan dan tidak tahu latar belakang, asal usul, jasa dan pemikiran P Ramlee. Meskipun ada buku biografi mengenai P Ramlee diterbitkan dulu tetapi ia sukar diperoleh di pasaran sekarang. Ada sebahagiannya sudah lama tidak dicetak semula dan ada yang langsung tiada lagi di pasaran. Kenapa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak mengambil inisiatif untuk terbitkan buku biografi khusus secara menyeluruh dan ilmiah mengenai P Ramlee. Malah sewajarnya juga DBP atau pihak lain seperti Finas, Persatuan Seniman Malaysia atau kementerian berkaitan seni budaya ada kesedaran mengambil inisiatif untuk terbitkan biografi P Ramlee dalam versi naskhah mewah atau buku coffee table yang boleh dijadikan rujukan untuk generasi sekarang. Malangnya kita selalu gagal dalam menerbitkan bahan dokumentasi seperti ini.
Pustaka Peringatan P Ramlee di Setapak, Kuala Lumpur dan Rumah Kelahiran P Ramlee di Pulau Pinang adalah simbol pengiktirafan kerajaan dan rakyat terhadap Seniman Agung itu. Muzium berkenaan menjadi rujukan penting masyarakat kita, orang luar dan pelancong asing kenal lebih dekat siapa P Ramlee. Seharusnya juga pihak Arkib Negara menyediakan buku biografi pendek dan bersaiz kecil dan nipis untuk dijual kepada pengunjung - mungkin serendah harga RM15 senaskhah supaya ia boleh dibawa pulang untuk dijadikan rujukan.
RTM dan Filem Negara juga wajar menghasilkan satu dokumentari khusus untuk disiarkan di TV bagi mengenang jasa dan sumbangan hebat P Ramlee kerana banyak bahan rakaman mengenai perbualan dan temubual bersama P Ramlee dulu ada dalam simpanan rekod stesen itu dan Filem Negara. Malangnya, pihak berkenaan tidak ada usaha ke arah itu, malah lebih suka membiarkan rakaman visual dan audio dulu terperap dan berhabuk....
Kata orang, bukan retak dek panas, bukan pecah dek sengaja... - akmel@bharian.com.my
Sumber : Berita Harian [28/05/2009]
oleh Akmal Abdullah