#493. Jauh Hati Tidak Diundang Ke Sarawak
Salmah Ibrahim bawa diri ke Padang, hembuskan nafas terakhir pada minggu kedua April lalu.MUNGKIN tidak ramai mengenali pelakon veteran Salmah Ibrahim. Barangkali kerana pelakon yang memulakan karier dalam bidang lakonan pada awal era 50-an itu tidak sepopular Latifah Omar mahupun Saadiah.Bagi generasi muda yang pernah menonton filem arahan Datuk Shuhaimi Baba, Layar Lara, mungkin ada yang perasan kehadiran pelakon itu di dalam filem berkenaan.Mengenali Salmah di dalam filem itu tidak sukar kerana pelakon berasal dari Padang, Indonesia itu berkulit hitam manis dan bersuara agak garau.
Mungkin kalangan generasi muda juga tidak mengetahui, pelakon itu adalah balu kepada pelakon hebat era 50-an yang terkenal dengan ketampanannya, Nordin Ahmad. Namun perkahwinan mereka tidak berpanjangan apabila Nordin menghembuskan nafas terakhir 1971 ketika berusia 39 tahun akibat demam kuning.Setelah 38 tahun pemergian Nordin, akhirnya Salmah Ibrahim atau dipanggil Salmah Hitam di kalangan rakan terdekat yang berusia hampir 80 tahun mengikut jejak langkah arwah suaminya itu. Bagaimanapun, tidak banyak cerita mengenai pemergian Allahyarham Salmah dicanang.
Allahyarham yang bermastautin di Singapura sejak berhijrah dari kampung halamannya untuk bergiat dalam dunia seni dikatakan menghembuskan nafas terakhir di kampung halamannya di Kampung Paya Kumbuh, Padang, pada minggu kedua April lalu. Dia dikatakan pulang ke kampung halaman kerana kecewa dengan industri seni tanah air.
Seminggu selepas pulang ke kampung halamannya, Allahyarham meninggal dunia dan jenazahnya disemadikan di sana. Tidak ramai mengetahui mengenai berita pemergiannya kerana anak-anak Allahyarham seramai tiga orang yang hanya dikenali sebagai Asmah, Tuah dan Asnor enggan berita mengenai pemergian ibu mereka diperbesarkan.
Rakan karib yang juga teman sekampung Allahyarham, Datin Rosnani Jamil memberitahu, dia juga terlambat mendapat berita mengenai pemergian rakannya itu. Kata Rosnani, setahunya Allahyarham sihat cuma dia ada menghidapi beberapa penyakit biasa seperti kencing manis dan darah tinggi.
“Allahyarham jauh hati kerana tidak diundang ke Sarawak menjayakan Anugerah Seniman. Dia mahu ke sana kerana ingin bertemu dengan sahabat-sahabat lama tetapi mereka asyik bawa orang yang sama. Akibat daripada kekecewaan itu, dia bawa hati ke kampung halamannya.
“Seminggu setelah tiba di sana, dia meninggal dunia tetapi anak-anaknya tak mahu beritahu sesiapa kerana semasa hayat ibu mereka, tidak ada siapa yang peduli dengannya. Jadi mereka tidak mahu besar-besarkan kerana kata mereka persatuan kita selalunya akan ambil tahu apabila artis sudah meninggal dunia.
“Saya ada juga cuba menghubungi anak-anak Allahyarham tetapi gagal. Jadi cerita ini saya dapat tahu daripada Momok Latif saja sebab anak-anaknya juga kecewa dengan nasib ibu mereka,” kata Rosnani yang mengakui sudah lama tidak bertemu dengan Allahyarham.
Katanya yang tinggal berhampiran dengan Salmah ketika menetap di Singapura sekitar 1952, setiap kali ke sana, dia tidak pernah gagal menghubungi Salmah tetapi baru-baru ini ketika berkunjung ke negara itu, dia tidak dapat berbuat demikian kerana terlalu sibuk. Seingatnya, kali terakhir dia dapat meluangkan masa yang lama bersama Allahyarham adalah ketika penggambaran Layar Lara kerana Salmah menumpang di rumahnya di Janda Baik.
Sepanjang pembabitannya dalam dunia seni, Salmah terkenal dengan watak jahat dan penggoda serta pernah membintangi kira-kira 12 buah filem antaranya Takdir Illahi, Sedarah, Juwita dan yang terakhir Layar Lara. Allahyarham juga pernah adalah bekas penari dan pemain dram kumpulan Seni wanita. Selain itu, dia dan arwah suaminya juga pernah mengusahakan kedai makan nasi padang.
Sumber : Berita Harian [28/05/2009]
Oleh Serimah Mohd Sallehuddin