Until Death Do Us Part - Jonas

Khamis, Jun 18, 2009

#513. Pusat Sehenti Karyawan

Perkara itu dimaklumkan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), Datuk Seri Utama Dr Rais Yatim ketika berucap selepas Majlis Bacaan Yasin dan Tahlil Perdana Sempena Hari Seniman Kebangsaan 2009 di Perbadanan Filem Nasional (Finas), Hulu Klang, Jumaat lalu.Menurut Rais, perkara itu sudah dikemukakan kerajaan dan dibincangkan di Kabinet. Jika segalanya berjalan lancar ia akan dilaksanakan penghujung bulan ini.“Tujuan mewujudkan pusat sehenti di hadapan Bangunan Sultan Abdul Samad adalah untuk mengiktiraf dan memberi peluang kepada karyawan seni mempamerkan bakat mereka. Bukan hanya tertumpu kepada golongan pelakon dan penyanyi, malah kalau boleh kita mahu melihat pembabitan pelukis, pelawak dan sasterawan negara.

“Pusat sehenti ini akan dibuka setiap seminggu sekali. Ia akan menjadi destinasi terbaru buat karyawan seni berkumpulan. Di samping mempertaruhkan karya mereka, golongan ini juga dapat bertukar pendapat dan berkongsi pengalaman menerusi karya mereka selain menyertai beberapa aktiviti dan program dijalankan di sana.“Kewujudan pusat berkenaan bukan untuk bersaing dengan pusat seni lain sedia ada seperti Pasar Seni sebaliknya mewujudkan lebih banyak peluang bagi golongan ini berkarya selain memartabatkan karyawan seni tanah air,” katanya.Kata beliau, khazanah seni yang tidak dibela dan dijaga akan pupus pada masa hadapan. Selain itu, ia mengiktiraf seniman sebagai pejuang bangsa sebenar menerusi karya mereka yang berunsurkan budaya dan kemasyarakatan. Justeru, kementerian cuba mengiktiraf bakat karyawan seni tanah air dengan mengadakan pelbagai program.

“Ini bukan bermakna industri seni kita hanya tertumpu di Kuala Lumpur. Sebaliknya dengan adanya pusat sehenti ini ia akan menjana pendapatan dan ekonomi negara,” katanya ketika ditemui di Finas, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Kamaruddin Siaraf, Senator Jins Shamsudin, pegawai kanan KPKK, Finas dan barisan artis tempatan.

Simboliknya, sambutan Hari Seniman Kebangsaan yang disambut setiap 29 Mei adalah sebagai penghormatan kepada Seniman Agung Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang meninggal dunia pada 29 Mei 1973.

Majlis berkenaan dianjurkan Arkib Negara Malaysia di bawah KPKK bagi memperingati tokoh dan menghargai sumbangan serta jasa bakti karyawan seni tempatan dalam memartabatkan kesenian dan kebudayaan negara.

Pada majlis itu, Rais turut menyerahkan sumbangan kepada 12 artis veteran di bawah Skim Belaan Artis yang menerima bantuan wang tunai sekitar RM3,000 hingga RM10,000 yang menghidap pelbagai penyakit dan uzur.

Antara penerimanya ialah penyanyi, Zaleha Hamid, 53, yang menghidap penyakit batu karang dalam hempedu; pelakon, Zairi Moh, 32, (buah pinggang); pelakon, Jaafar Wira, 69, dan jurukamera, Omar Man, 67, (barah tulang).

Turut menerima sumbangan ialah pengarah fotografi, Ali Husein, 53, (penyakit hernia); pelakon Ramli Mohamad, 51, atau Limra (ulser mata); pelakon, Kili Illam Cuttan Susila, 64; pemain dram dan penyanyi, R Mahalingam, 45, (cacat penglihatan kerana kemalangan) dan M Annatham, 58, (buah pinggang).

Tidak ketinggalan penyanyi, Koh Ah Quek, 73 dan pelukis, Wan Ismail Wan Jaafar, 63, (buah pinggang) dan pelukis khat, Abdul Wafaf Abdul Ghani, 63, (buah pinggang).

Penyanyi dangdut, Zaleha Hamid berkata, dia berterima kasih kepada kerajaan atas sumbangan itu. Biarpun, tidak mengharapkan sebarang bantuan kerana masih aktif menyanyi, dia mengakui sumbangan berkenaan dapat meringankan beban yang ditanggung terutama membabitkan kos rawatan yang perlu dibiayainya.

“Selepas menjalani pembedahan bulan lalu di Hospital Kuala Lumpur saya berasa lega sedikit. Saya menghidap penyakit batu karang dalam hempedu sejak era 1980-an dan ia mula serius sejak tahun lalu.

“Sekarang ini doktor menasihatkan saya supaya tidak mengambil makanan keras dan berlemak kerana dalam badan saya sudah tiada hempedu,” katanya.

Sumber : Harian Metro [01/06/09]
Oleh Wan Asrudi Wan Hasan

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP