Until Death Do Us Part - Jonas

Khamis, Jun 18, 2009

#519. Apa Jadi Hari Sambutan Seniman Negara?

TANGGAL 29 Mei tahun lalu, bidang seni tanah air mencatat sejarahnya yang tersendiri apabila pihak kerajaan melalui Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KeKKWa) menganjurkan Hari Seniman Negara buat kali yang pertama.Ini kerana selepas 51 tahun negara mencapai kemerdekaan, itulah julung-julung kalinya golongan seniman di negara ini diberi penghormatan dan pengiktirafan yang khusus daripada pihak kerajaan atas sumbangan seni mereka kepada masyarakat.Anugerah yang diusulkan oleh Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) pada tahun 2007 itu juga sebulat suara memilih serta menetapkan tarikh 29 Mei pada setiap tahun sebagai hari khusus untuk menghargai para seniman di negara ini.Antara kategori seniman yang diiktiraf pada hari itu ialah pelakon, pengarah, pelawak, penari, pemain silap mata, penyanyi, pemuzik, pencipta lagu, penulis skrip, pengacara, pemain wayang kulit, penyair, pelukis dan pengulas sukan.

Sayangnya, 29 Mei lalu, Hari Seniman Negara yang sepatutnya disambut buat kali kedua seakan-akan dilupakan oleh pihak yang mengusulkan hari itu mahupun pihak kementerian yang bertanggungjawab memberikan pengiktirafan tersebut.Tidak tahu di mana silapnya, apabila tahun ini pihak Arkib Negara Malaysia yang dilantik sebagai urusetia Hari Seniman Negara seolah-olah kurang menjalankan peranan mereka bagi menjayakan hari yang tentunya dinanti-nantikan oleh seluruh penggiat seni tempatan itu.Perkara itu dapat dilihat apabila tiada sambutan khusus diadakan sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan tidak seperti tahun lalu di mana ia dirasmikan dengan penuh gilang gemilang oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Difahamkan, acara yang diadakan untuk mengisi sambutan pada tahun ini hanyalah sebuah majlis tahlil dan doa selamat yang dihadiri tidak sampai 200 hadirin di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Hulu Klang, Selangor.

Pastinya ramai golongan seni di negara ini yang kurang menyedari atau tidak mengetahui langsung tentang adanya sambutan serta acara khusus yang sepatutnya diadakan untuk mereka pada setiap kali tibanya 29 Mei mulai tahun lalu.

Mungkinkah pertukaran KeKKWa kepada Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW) yang kini dikenali sebagai Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan menjadi puncanya?

Bagaimanapun, sebagai sebuah kementerian yang mempunyai banyak agensi di bawahnya seperti Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Finas, Filem Negara dan Jabatan Kraftangan kesukaran menganjurkan Hari Seniman Negara sepatutnya tidak timbul.

Sebabnya, boleh dikatakan kesemua agensi di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mempunyai agensi, kakitangan serta bajet yang mencukupi bagi menganjurkan Hari Seniman Negara pada setiap tahun.

Sepatutnya Hari Seniman Negara juga bukan setakat diuar-uarkan ke seluruh negara bagi mencetuskan kesedaran serta menarik minat golongan karyawan seni dan orang ramai demi melahirkan apresiasi yang tinggi terhadap bidang tersebut.

Malah sambutannya juga haruslah diadakan di suatu tempat yang mampu menghimpunkan seberapa ramai karyawan seni tanah air sambil di selang-selikan dengan aktiviti-aktiviti bermanfaat seperti persembahan, pameran atau diskusi seni-seni yang berkaitan.

Kita tidak mahu Hari Seniman Negara sekadar sebuah hari yang antara wujud dengan tidak, dan kalau ada pun penganjurannya ia haruslah dipenuhi pengisiannya dengan aktiviti-aktiviti yang mampu mempertingkatkan lagi mutu karya-karya seni tempatan.

Ia juga bagi memastikan agar golongan seniman di negara ini tidak dipinggirkan dan apa yang lebih penting pendekatan itu mampu mempertingkatkan lagi apresiasi masyarakat terhadap bidang seni di negara ini.

Sumber : Utusan Malaysia [03/06/09]

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP