Until Death Do Us Part - Jonas

Khamis, Jun 18, 2009

#520. Kerajaan Galakkan Industri Animasi

Dr Rais berjanji agihan slot RTM kepada segelintir syarikat penerbitan dikaji semula

KERAJAAN akan menggalakkan syarikat penerbitan tempatan untuk menghasilkan program animasi kerana ia mempunyai potensi pasaran yang besar bukan saja dalam negeri tetapi juga peringkat antarabangsa.Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, dalam hal ini, kementeriannya akan membuat arahan dasar kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Filem Negara Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk memberikan apa saja sokongan kepada syarikat yang berminat mengembangkan industri penerbitan animasi.

“Kementerian sangat mengalu-alukan penerbit tempatan untuk memperbanyakkan produk dalam bidang animasi. Kementerian melalui pelbagai agensi di bawahnya akan melakukan apa saja bagi menggalakkan penerbit untuk menceburi bidang ini.“Sekiranya permintaan pihak penerbit sangat menggalakkan kita akan mengkaji kembali dasar kementerian untuk menyelaraskan kembali bentuk bantuan yang boleh kita laksanakan.“Kita mempunyai kemudahan peralatan yang boleh dibantu daripada Finas. Bagi yang memerlukan bahan untuk rujukan dan kajian, Filem Negara ada tempatnya dan RTM sebagai stesen televisyen kerajaan akan membantu dalam bentuk penyiarannya,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Penerbit TV Malaysia (PTVM) di Auditorium P Ramlee, Wisma Radio, Angkasapuri baru-baru ini.

Dalam ucapannya itu juga, Dr Rais berkata, beliau berjanji akan mengkaji semula beberapa syarikat penerbitan yang menerima jumlah jam agak banyak untuk membekalkan program kepada RTM.

“Kita akan mengenal pasti syarikat yang banyak menerima pemberian jam slot di RTM agar dapat dikaji semula. Kita juga mahu memberi peluang sama rata kepada syarikat lain yang menunjukkan komitmen yang tinggi untuk membantu industri penerbitan kita agar diutamakan.

“Apa yang penting syarikat yang diberi peluang menerima jam dari RTM harus memenuhi beberapa aspek penting selain daripada kualiti yang kita harapkan. Ia harus menitikberatkan budaya bangsa kita,” katanya.

Menurut Dr Rais lagi, RTM membelanjakan RM200 juta setahun untuk membeli pelbagai program TV sama untuk drama, program bual bicara, dokumentari, hiburan dan bermacam-macam lagi.

“Dengan aktiviti pembelian program ini sebenarnya ia masih memberi kelebihan kepada RTM kerana dapat mengaut keuntungan berlipat kali ganda. Tetapi jika kita perhatikan kebanyakan program yang dibeli adalah program daripada pembekal tempatan.

“Sebanyak 70 peratus adalah program tempatan dan hanya 30 peratus saja program yang dibeli dari negara luar, ini membuktikan kerajaan sangat peka dengan masalah syarikat penerbitan agar produk tempatan diutamakan,” katanya.

Shuhaimi tegur stesen TV

STESEN TV patut memaklumkan kepada penerbit mengenai sebarang peraturan baru daripada pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Selain itu, setiap arahan dan peraturan baru juga sewajarnya dikuatkuasakan sekurang-kurangnya tiga bulan selepas ia diumumkan bagi memudahkan syarikat penerbitan membuat pengubahsuaian.

Inilah antara usul yang dibangkitkan oleh Datin Paduka Shuhaimi Baba dalam mesyuarat agung PTVM.

“Sekiranya stesen TV menerima apa saja peraturan baru yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi agar memberitahu syarikat penerbitan. Seperti yang berlaku baru-baru ini, peraturan baru yang dikeluarkan seperti tidak boleh menggunakan perkataan ‘bodoh’ dan banyak tidak diketahui penerbit.

“Tapi penguatkuasaannya janganlah serta merta. Tidak logiklah sekiranya drama yang sudah siap terpaksa dibuat semula hanya kerana kesalahan kecil saja kerana ia akan menambahkan kos penerbitan.

“Sebaik-baiknya setiap peraturan atau arahan itu dikuat kuasa selepas tiga bulan arahan itu dikeluarkan. Mana-mana syarikat yang masih melakukan kesalahan yang sama berhak merakam kembali babak yang melanggar peraturan itu,” katanya yang mengharapkan PTVM memainkan peranan dalam menyampaikan apa saja peraturan baru yang dikeluarkan kerajaan.

Shuhaimi juga meminta stesen TV seperti RTM supaya pemberian dan pengagihan slot biarlah seadil-adilnya, bukan secara pilih kasih atau pihak yang dikuasai oleh golongan yang ada pengaruh dalam politik.

“Perkara ini sudah lama berlaku dan seharusnya ia diberhentikan segera. Sudah sampai masanya kelebihan itu diagihkan-agihkan kepada syarikat penerbitan lain agar dapat dirasai bersama kerana orang lain juga ingin hidup senang,” katanya.

Sementara itu, dalam acara yang sama, Presiden PTVM, Jurey Latiff Rosli menyerahkan Doktrin Televisyen Malaysia kepada Dr Rais.

Katanya, doktrin itu mengandungi beberapa perkara patut diberi perhatian sewajarnya oleh kerajaan bagi tujuan untuk memperkemaskan sistem penyampaian dan maklumat ke arah perpaduan dan semangat Satu Malaysia.

“Kita mengharapkan stesen TV harus membantu kerajaan untuk memupuk semangat kebangsaan yang kental di kalangan rakyat membabitkan semua kaum dan agama.

“Tidak lain doktrin itu menggariskan beberapa perkara yang dicadangkan untuk diambil tindakan bagi tujuan memperkemaskan sistem penyampaian dan maklumat ke arah perpaduan dan semangat Satu Malaysia.

“Antaranya ialah seperti membina jati diri rakyat agar memiliki daya tahan, kekuatan moral dan rohani dalam menghadapi pengaruh globalisasi melalui usaha mengukuhkan prinsip asas ketuhanan dan keagamaan berdasarkan pembangunan modal insan,” katanya yang ditemui selepas perasmian mesyuarat agung ini.

Sumber : Berita Harian [04/06/09]
Oleh Rozdan Mazalan

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP