Until Death Do Us Part - Jonas

Khamis, Jun 18, 2009

#521. Epilog : Mampukah MIG Capai Sasaran 100 Judul Filem?

DALAM industri filem Malaysia sekarang, ramai yang tahu syarikat penerbitan filem Metrowealth (MIG) adalah yang paling aktif menerbitkan filem cereka dan kehadiran syarikat ini sebenarnya membuka mata banyak pihak kerana berani membuat pelaburan besar dalam filem. Lebih mengejutkan ialah kemampuannya menerbitkan filem cereka dalam jumlah yang banyak berbanding syarikat lain.Tahun lalu saja, MIG sudah tayangkan lima filem, manakala tahun ini tiga filemnya sudah ditayangkan iaitu Jangan Tegur dan Syurga Cinta, manakala Jangan Pandang Belakang Congkak mula memasuki pawagam hari ini, diikuti selepas ini ialah filem Remp-it V3 dan akhir tahun nanti ialah Rempit Nan Sempit.

Berdasarkan statistik, sejak MIG muncul dalam industri filem menerusi filem pertamanya pada tahun 2000 berjudul Syukur 21, syarikat itu sudah berjaya menghasilkan 33 filem dan projek filem ke-34 terbitannya baru saja dilancarkan malam kelmarin menerusi judul Santau arahan Azhari Zain atau Zack yang sebelum ini pernah mengarah filem Jin Notti. Ini bermakna dalam tempoh sembilan tahun, MIG sudah mampu mengeluarkan 34 filem dan ada beberapa judul lagi sedang menanti tahun ini.Sasaran MIG ialah untuk menjadikan selama 10 tahun kemunculannya, mereka mampu menghasilkan 20 filem. Dalam suasana sekarang sebenarnya bukan mudah untuk hasilkan 20 filem dalam 10 tahun kerana ia banyak mengundang risiko apatah lagi sambutan terhadap filem tempatan sering menjadi tidak menentu. Agak ramai juga produser baru muncul sejak kebelakangan ini tetapi mereka kebanyakannya cuma hangat-hangat tahi ayam malah ada yang buat projek filem sulung tetapi masih belum siap-siap dan ada juga syarikat yang peringkat awalnya saja kelihatan ‘garang’ tetapi akhirnya kini lesap hilang ke mana.

Namun, MIG nyata berani mengambil risiko dan mungkin pendekatannya yang berhati-hati tetapi berani mampu meletakkan MIG pada tahap pencapaian sekarang yang boleh dibanggakan untuk industri filem. MIG kini menjadi peneraju di kalangan syarikat perfileman di negara ini berdasarkan potensi agresif dalam jumlah penerbitan.

Sebelum ini, penerbit yang juga orang kuat MIG, David Teo, pernah memberi kenyataan akhbar bahawa pihaknya berazam untuk menghasilkan 100 judul filem cereka. Apabila ditanya kepadanya apakah beliau yakin dengan jumlah sebanyak itu boleh dicapai, beliau dengan bersemangat berkata: “Ya, kami memang sasarkan 100 tajuk dalam tempoh 20 tahun... ini bukan janji tapi pasti. Ini juga bermakna kami ada 11 tahun lagi untuk capai jumlah 100 tajuk.”

David menjelaskan, sehingga tahun ini pihaknya menjangka mampu mencapai jumlah 38 judul filem, iaitu 34 judul sudah dan sedang diterbitkan manakala empat judul lagi dalam perancangan. Untuk tahun depan, MIG juga merancang dua lagi judul filem cereka, bermakna mereka mampu mencapai jumlah 40 filem untuk tempoh 10 tahun.

Kalau apa yang dirancang itu tercapai, ini bererti MIG bakal mencipta sejarah dalam industri filem Malaysia era baru kerana pencapaian itu tidak pernah diperoleh oleh mana-mana syarikat produksi lain sebelum ini. Ketika ini, syarikat yang aktif menghasilkan penerbitan filem dalam jumlah yang agak banyak dalam tempoh 10 tahun ialah Tayangan Unggul dan Grand Brilliance. Sebelum ini, Skop Productions juga pernah mencatat jumlah filem yang agak banyak dalam tempoh sedekad, iaitu 13 filem dari 1990 hingga 2000.

Syarikat SV Productions juga pernah menghasilkan 19 filem tetapi mengambil masa sehingga 20 tahun, iaitu dari 1979 hingga 1999, manakala pada era 1970-an, syarikat Sabah Film Productions adalah produksi paling aktif kerana dalam tempoh 11 tahun mereka menghasilkan 15 judul filem bermula dengan filem Keluarga Si Comat.

Berbalik pada usaha MIG yang meletakkan sasaran 100 filem setahun, ia adalah satu azam yang cukup baik dan amat penting untuk membantu industri filem di negara ini. Sewajarnya juga produser filem lain ada kekuatan dan semangat seperti David dan pasukannya untuk cuba menghasilkan sebanyak mungkin filem cereka untuk menghiasi pawagam di Malaysia.

Industri dan masyarakat sering merungut kerana pawagam kita lebih banyak dilimpahi filem import, maka jika kita ada lebih banyak produk cereka untuk mengisi pawagam kita, sudah tentu filem dari kita mampu memberi saingan kepada filem import. Ketika ini purata filem tempatan yang memasuki pawagam ialah sekitar 24 hingga 28 judul setahun. Industri filem kita pernah berazam untuk menghasilkan sekurang-kurangnya setahun ada 50 filem cereka memasuki pawagam.

Jika MIG sudah ada azam begitu, iaitu mahu mencapai 100 judul sehingga tahun 2020, maka kita harap penerbit filem lain termasuk yang baru dapat merealisasikan hasrat supaya filem tempatan mampu mendominasi pawagam di negara ini suatu hari nanti. Kita tidak boleh lagi membiarkan nasib filem tempat asyik menjadi melukut di tepi gantang.

Hasrat MIG itu sebenarnya bukan mustahil kerana dalam rekod sejarah lama industri filem Melayu khususnya zaman 1950-an dan 60-an dulu, memang filem Melayu menguasai pawagam di seluruh negara, manakala filem import sekadar menjadi penumpang saja. Zaman kegemilangan ini wajar dikembalikan apatah lagi ketika ini kita ada ramai karyawan filem dan bakat baru yang hebat dan mempunyai pendidikan tinggi, apatah lagi pendedahan mengenai dunia filem lebih meluas dan teknologi perfileman makin canggih.

Berdasarkan rekod, jika dianalisa kepada kejayaan Malay Film Productions (MFP) di Jalan Ampas, Singapura, bermula 1947 menerusi filem pertamanya, Singapura Di Waktu Malam, studio itu seterusnya berjaya menghasilkan keseluruhan 160 judul filem cereka, dengan yang terakhir berjudul Raja Bersiong pada 1968. Maknanya, dalam tempoh 21 tahun, MFP menghasilkan 160 filem.

Satu lagi studio besar era itu, Cathay Keris, juga berjaya menghasilkan banyak filem. Berdasarkan rekod penerbitannya, mereka menghasilkan 121 judul filem dalam tempoh 19 tahun iaitu dari 1953 dengan judul pertama, Buluh Perindu dan berakhir dengan Pengejaran Ke Neraka pada 1972.

Studio Merdeka di Hulu Klang pula dalam tempoh 20 tahun iaitu dari 1960 hingga 1980, pihaknya menerbitkan sebanyak 89 judul filem, iaitu filem pertama Tun Tijah dan filem terakhir, Adik Manja.

Maka berbalik pada sasaran yang mahu dicapai MIG iaitu 100 judul filem untuk tempoh 20 tahun, ia bukan perkara luar biasa kerana senario perfileman negara ketika ini menyaksikan pertumbuhan jumlah penonton semakin baik dan prasarana untuk filem tempatan juga semakin diberi perhatian oleh kerajaan. Ini akan merangsang penerbitan yang rancak dan mampu menarik perhatian masyarakat untuk terus menyokong filem tempatan. Maka kita akan lihat industri filem kita akan hidup subur dan mekar di bumi bertuah ini.

Kata orang, ibarat daun dapat dilayang, getah meleleh ke perdu jua...

Sumber : Berita Harian [04/06/09]
Oleh Akmal Abdullah

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP