Until Death Do Us Part - Jonas

Khamis, Jun 18, 2009

#526. Sentuhan Islamik Kabir - Mira

KOLABORASI pasangan suami isteri ini sememangnya cukup menjadi dan tiada siapa pernah menyangka, kehadiran mereka berdua dalam industri hiburan telah membuka lembaran baru dalam penerbitan filem dan televisyen di negara ini.Biarpun sudah lebih sedekad menghasilkan karya untuk tatapan penonton, tetapi nama Kabir Bhatia dan Mira Mustaffa mula meraih perhatian menerusi filem Cinta yang telah mencetuskan revolusi baru dalam sinema tempatan.Lebih manis lagi, kolaborasi dua anak seni berlainan bangsa ini telah membuahkan hasil yang cukup lumayan apabila Cinta dinobatkan sebagai Filem Terbaik dalam Festival Filem Malaysia Ke-20 dan Anugerah Skrin ke-9 pada tahun 2007.

Maka dengan itu, mereka mengembangkan bakat serta kreativiti di layar kaca menerusi drama bersiri, Kekasihku Seru yang ditayangkan tahun lalu menerusi slot Seram di TV3.
Siapa sangka percaturan Kabir dan Mira dalam genre seram telah mengubah pandangan sesetengah pihak terhadap mereka yang beranggapan kekuatan Kabir dan isterinya itu hanya mampu menghasilkan kisah cinta.Kekasihku Seru yang dilakonkan oleh Emelda Rosmila, Hairie Othman, Fizz Fairuz, Umie Aida dan Rose Iskandar itu telah mencatat rating yang cukup baik serta memberi satu dimensi baru dalam penghasilan karya-karya seram tempatan.

Masih lagi bekerjasama dengan stesen televisyen swasta pertama negara, TV3, Kabir dan Mira mempertaruhkan karya berjudul Nur Kasih.

Nur Kasih masih berlingkar dalam dunia percintaan tetapi ia lebih menjurus kepada dunia Islamik dan ternyata ia merupakan pendekatan yang cukup berbeza daripada dua karyawan seni ini.

Memulakan tayangan pada 29 Mei lalu, drama bersiri sebanyak 26 episod ini bukanlah kisah cinta biasa. Karya itu sarat dengan elemen drama dan tragis dalam merungkai kisah pengorbanan seorang anak dan abang terhadap keluarga serta adik yang cukup disayanginya.

Nur Kasih dijayakan oleh Fizz Fairuz sebagai Aidil, Remy Ishak (Adam), Datuk Jalaluddin Hassan (Ustaz Hassan), Liza Othman (Khadijah), Sharifah Sofea (Katrina), Ummi Nazeera (Siti Sarah) serta pendatang baru, Tiz Zaqyah sebagai Nur Amina.

Berbicara dengan Kabir dan Mira pada majlis pelancaran drama berkenaan di Restoran Puteri, Sungai Penchala baru-baru ini, mereka berdua tidak menafikan cabaran yang perlu ditempuhi dalam menghasilkan Nur Kasih.

Turut hadir pada majlis berkenaan adalah Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan jenama TV3, Nurul Aini Abu Bakar.

Sudah pasti dengan elemen Islamik yang diterapkan dalam drama ini, sememangnya ia bukan satu kerja yang mudah untuk meyakinkan penonton menyaksikan serta mendalami drama terbitan Filmscape Sdn. Bhd.

Mujurlah kata Mira, dia dibantu oleh dua orang sahabatnya, Mariana Hashim dan Maizurah Mohd. Idris untuk memantapkan lagi jalan cerita Nur Kasih yang ideanya sudah berada dalam kotak fikirannya sejak dua tahun lalu.

“Mereka berdua mempunyai idea yang cukup bernas untuk mencantikkan lagi cerita ini. Masing-masing ada kelebihan dalam mengutarakan isu serta penonjolan watak Aidil dan Adam yang menjadi penggerak dalam drama ini.

“Saya gembira apabila didatangi oleh TV3 yang mahukan saya dan Kabir menghasilkan drama seperti ini yang juga sesuatu yang baru dalam karier seni kami. Apa yang kami mahukan adalah untuk menyalurkan mesej yang berguna kepada penonton,” kata Mira.

Bagi Kabir pula, sesuatu yang cukup menyeronokkan dan mengujakan dalam mengarahkan Nur Kasih kerana buat pertama kalinya, dia dapat mengarahkan drama tempatan di luar negara.

Bukan itu sahaja, Kabir yang turut dibantu oleh Faizal Ishak selaku pembantu pengarah itu turut menampilkan teknik imej penjanaan komputer (CGI) untuk babak-babak tertentu dalam drama yang sudah pun selesai menjalani penggambaran sebanyak 14 episod.

Untuk pengetahuan, Nur Kasih telah menjalani penggambaran di Sydney, Australia selain di ibu negara dan sekitar Kuala Selangor.

Pada 2 Jun lalu pula, Kabir dan seluruh krew produksi sudah pun berangkat ke Jordan untuk menyelesaikan beberapa episod yang mengambil Jordan sebagai latar untuk disesuaikan dengan jalan cerita.

Ia adalah juga sebahagian daripada lebihan 12 episod lagi yang belum diselesaikan sebelum kembali ke tanah air dan menamatkan penggambaran pada bulan Julai nanti.

“Memang saya mahu mencuba genre yang lain dan apabila peluang itu diberikan oleh TV3, saya mahu buat yang terbaik. Di tambah pula dengan para pelakonnya yang hebat dan memberikan lakonan yang memuaskan hati saya, sudah cukup memperindahkan Nur Kasih.

“Saya rasa bertuah dan beruntung apabila dapat menjalani penggambaran di luar negara dan peluang itu saya ambil untuk memberikan hasil terbaik menerusi sinematografi dan pergerakan kameranya.

“Semua itu adalah menerusi perancangan rapi yang dilakukan dan setakat ini, semuanya berjalan lancar seperti mana yang telah dirancangkan,” jelasnya yang akan muncul dengan filem ketiganya, Setem terbitan Tayangan Unggul Sdn. Bhd., bulan depan.

Tambahnya, selain mahu memberikan kelainan dalam karyanya, menjalani penggambaran di luar negara juga adalah untuk menyesuaikan dengan jalan cerita Nur Kasih.

“Sydney dipilih sebagai memberi satu santapan baru untuk karya tempatan kerana sebelum ini, Sydney agak jarang ditampilkan dalam drama-drama tempatan.

“Kami juga ada memikirkan untuk ke New Zealand tetapi pemandangan indah Sydney telah memikat kami,” ujar Kabir yang memberitahu dia dan Mira kini dalam perancangan untuk menghasilkan sebuah filem romantik komedi bersama Grand Brilliance Sdn. Bhd.

Kepada penonton yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang jalan cerita serta karakter dalam Nur Kasih, bolehlah berbuat demikian dengan melayari laman web rasminya di www.tv3.com/nurkasih.

Sumber : Utusan Malaysia [06/06/09]
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP