Until Death Do Us Part - Jonas

Jumaat, Jun 19, 2009

#534. Sembilan Kisah Satu Filem

Mengambil masa hampir tiga tahun sebelum bersedia menjengah pawagam pada Julai ini, Skrip 7707 dikatakan antara filem seram Razak yang terbaik setakat ini berbanding filem seram yang lepas seperti Mistik, Potret Mistik dan 7 Perhentian.Filem seram terbaru terbitan Grand Brilliance ini mengandungi sembilan kisah seram berbeza. Antara cerita yang ditonjolkan seperti legenda hantu di asrama, hantu raya yang mempunyai kebolehan menyerupai manusia biasa dan seorang lelaki meninggal dunia, tetapi adik kecilnya masih boleh melihatnya.

Apa yang menarik dengan filem ini ialah kesembilan cerita itu dihimpunkan dalam Skrip 7707 dan setiap kisah hanya mengambil masa sepuluh minit saja.Satu kelainan sekiranya dilihat filem seram sebelum ini yang hanya memaparkan satu jalan cerita berdasarkan satu judul filem.Menggunakan pelakon yang agak ramai, filem ini mendapat reaksi positif di kalangan pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) ketika ditayangkan di Dewan Seri Budiman sempena promosi, baru-baru ini.

Antara pelakon yang terbabit dalam Skrip 7707 adalah M Rajoli, Mak Jah, Que Haidar, Fouziah Gous, Almy Nadia, Jehan Miskin dan Hafiz.

Bagi Fouziah Gous, menunggu hampir tiga tahun untuk menyaksikan reaksi peminat hiburan tempatan terhadap Skrip 7707, terselindung seribu hikmah di sebaliknya.

"Skrip 7707 adalah filem kedua saya selepas Rasukan Ablasa. Ketika menerima tawaran berlakon untuk kedua-dua filem itu, pembabitan saya dalam pentas lakonan tempatan masih baru lagi.

"Justeru, selepas habis menjalani penggambaran, setiap detik saya menunggu bila kedua-dua filem itu akan ditayangkan kepada umum.

"Dek terlalu lama menunggu, akhirnya saya biarkan saja. Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya.

"Di saat menunggu ia menjengah pawagam, rezeki saya bertambah apabila banyak menerima tawaran untuk membintangi drama. Saya akui, drama yang membantu meningkatkan populariti di pentas lakonan tanah air.

"Bagaimanapun, saya bersyukur akhirnya Skrip 7707 akan menemui orang ramai pada Julai ini," katanya.

Bercerita mengenai watak, terang Fouziah, dia diberi kepercayaan menggalas peranan sebagai pembantu kepada pengarah filem iaitu Burn lakonan Norman KRU.

"Dalam filem ini, saya melakonkan watak Fouziah iaitu pembantu peribadi kepada Burn dan saya hanya terbabit di awal dan akhir cerita saja.

"Burn tengah mencari satu skrip cerita seram untuk dijadikan filem. Kerana tidak berpuas hati dengan skrip filem seram yang ada, Burn mengarahkan Fouziah mengiklankan dalam surat khabar mengenai satu perjumpaan sesiapa yang ingin berkongsi cerita seram di sebuah jirat Cina jam 12 malam pada 7 haribulan 7, 2007.

"Tetapi yang berlaku adalah sebaliknya. Walaupun sekejap, tetapi setiap dari mereka yang terbabit dalam filem ini memainkan banyak peranan dan saya begitu seronok sepanjang menjalani penggambaran Skrip 7707," katanya.

Beralih kepada Jehan Miskin, pengalaman melakonkan watak Bob adalah sesuatu yang baru sepanjang pembabitannya dalam seni lakon layar tempatan.

"Ini adalah filem seram kedua yang saya lakonkan selepas Gong. Amat menarik, walaupun ia hanya membabitkan beberapa minit saja.

"Saya akui terdapat perbezaan ketara dari semua filem yang saya lakonkan sebelum ini. Entahlah kenapa, tetapi sejujurnya saya suka filem ini. Mungkin kerana saya minat jalan ceritanya.

"Antara sembilan cerita itu, kisah yang saya lakonkan hanya membabitkan tiga pelakon. Saya memegang watak Bob, seorang berpesonaliti buruk, jahat dan bekerja sebagai penarik kereta serta mengutip hutang.

"Satu hari, Bob membelasah sampai mati seorang lelaki biasa yang tidak menjelaskan bayaran ansuran keretanya. Selepas kejadian itu, Bob dihantui kejadian seram apabila lelaki yang mati dibelasahnya itu, datang untuk membalas dendam. Walaupun sekejap, namun saya fikir ia dapat menghiburkan penonton," katanya.

Sementara itu, bagi pelakon Almy Nadia yang sudah membintangi dua filem seram sebelum ini, Jangan Tegur dan Rasukan Ablasa, dia menganggap watak yang dibawanya dalam Skrip 7707 agak mencabar.

"Dalam filem ini saya memegang watak sebagai Jaja yang tengah sarat mengandung. Konflik mula tercetus apabila bidan yang dipanggil suami adalah hantu raya.

"Saya akui agak sukar untuk menjiwai dan melakonkan watak wanita yang tengah sarat mengandung. Apatah lagi, melakonkan babak menahan kesakitan yang teramat sangat ketika melahirkan anak.

"Semua itu memainkan banyak emosi. Walaupun singkat, ia banyak memberi kesan kepada saya.

"Sekiranya, sebelum ini saya pengsan ketika menjalani penggambaran Rasukan Ablasa dek dirasuk, namun Alhamdulillah tiada apa yang berlaku dalam Skrip 7707," katanya.

Berlainan pula dengan Mohd Hafiz Mohd Nafiah atau Hafiz yang mengalami pengalaman aneh ketika terbabit dalam penggambaran Skrip 7707.

"Saya memegang watak sebagai Jasrul dan mempunyai sekumpulan kawan baik. Seorang kawannya, Shahrol, seorang pemburu hantu.

"Satu hari, Shahrol ingin menjalankan misinya di sebuah hospital lama di Jalan Pudu.

"Oleh kerana teruja, Jasrul dan yang lain turut serta.

"Untuk pengetahuan, tingkat dua hospital lama itu memang betul berhantu dan di situlah kami jalani penggambaran. Ketika saya hendak pergi ke tandas, saya ternampak kelibat seorang perempuan tengah bermain rambut di hadapan cermin .

"Apabila saya cuba mendekatinya, secara tiba-tiba ia hilang. Ketika itu, saya terkejut dan tergamam sebentar. Tetapi, saya tidak cerita kepada sesiapa kerana tidak mahu menakutkan yang lain.

"Namun, itu tidak menghalang saya untuk terus terbabit dalam penggambaran Skrip 7707. Bagi saya, itu adalah antara pengalaman yang perlu ditempuhi ketika berlakon dalam cerita seram," katanya.

Sumber : Harian Metro [10/06/09]
Oleh Sakini Mohd Said

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP