Until Death Do Us Part - Jonas

Jumaat, Jun 26, 2009

#551. Skrip 7707 Selepas Tiga Tahun

TIGA tahun selepas tamat menjalani penggambaran bukanlah suatu tempoh waktu yang singkat buat para pelakon yang telah membintangi sesebuah filem itu. Ini kerana, mungkin ada di antara mereka yang sudah lupa pengalaman serta pembabitan mereka dalam menjayakan filem itu selain ia juga agak lewat untuk ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara.Skrip 7707 contohnya, merupakan filem genre seram terbitan Primeworks Studios Sdn. Bhd., yang telah pun tamat menjalani penggambarannya tiga tahun lalu.Sungguhpun begitu, selepas sekian lama, filem arahan Prof. Madya A. Razak Mohaideen itu akhirnya akan ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara mulai 16 Julai ini.
Selain penerbit dan pengarah, para pelakon Skrip 7707 tentunya antara yang paling berdebar-debar menantikan sambutan para penonton apabila filem itu ditayangkan kepada umum kelak.

Hafiz Nafiah, Jehan Miskin dan Fouziah Gous merupakan antara bintang popular yang membintangi filem yang menjalani penggambarannya di sekitar Kuala Lumpur itu.

Meskipun tiga tahun sudah berlalu, tetapi tiga pelakon itu nampaknya masih belum melupakan pengalaman-pengalaman mereka semasa berlakon dalam filem tersebut.

Hits sempat mengadakan sesi fotografi dengan Jehan, Fouziah dan Hafiz baru-baru ini bagi berkongsi pengalaman mereka dalam Skrip 7707 dan juga karier mereka sebagai pelakon popular hari ini.

Lakon 10 adegan

WALAUPUN dibariskan sebagai salah seorang pelakon penting dalam Skrip 7707, tetapi Fouziah Gous hanya diberi peluang berlakon tidak sampai 10 adegan dalam filem tersebut.

Watak Fouziah yang dilakonkannya dalam filem itu bukan sahaja sedikit, malah dia juga lebih banyak menampilkan imej cantik dan bergaya tidak seperti watak-watak lakonannya sebelum ini.

“Dalam filem ini, Fouziah merupakan seorang setiausaha yang sentiasa berada di pejabat membantu bosnya yang dilakonkan oleh Norman KRU.

“Bukan setakat saya seorang, tetapi setiap pelakon dalam Skrip 7707 juga melakonkan tidak sampai 10 adegan kerana filem ini mempunyai banyak cerita pendek yang digabungkan dalam sebuah cerita.

“Bagaimanapun, setiap pelakon dalam filem ini bolehlah dianggap penting walaupun kami semua hanya melakonkan tidak sampai 10 adegan,” katanya.

Pelakon berusia 27 tahun ini menjelaskan, watak Fouziah yang dilakonkannya dalam Skrip 7707 cukup mencabar kerana ia jarang diberi kepadanya.

Malah, bekas pramugari ini juga menambah, dia tidak sekadar menggunakan rupa paras dan popularitinya untuk melakonkan watak perempuan cantik semata-mata.

Sebaliknya, sebelum ini kata Fouziah, dia juga pernah melakonkan pelbagai watak berbeza sama ada menerusi filem atau drama termasuklah watak seorang gadis primitif dalam filem Sifu & Tonga.

“Dalam filem Sifu & Tonga, saya melakonkan watak seorang gadis primitif. Sudah pastinya untuk melakonkan watak itu saya tidak disolek. Malah, untuk watak itu muka saya disolek dengan kedua-dua kening saya juga dicantumkan.

Tambahnya, sedikit atau banyak adegan yang dilakonnya dalam Skrip 7707 tidak menjadi isu. Sebaliknya, keberkesaanan watak Fouziah yang dilakonkannya mampu menyumbang impak kepada keseluruhan jalan cerita filem itu.

Katanya lagi, setiap watak dan plot yang dipaparkan dalam filem ini saling kait mengait di mana watak lakonannya juga menjadi antara kunci penceritaan dalam Skrip 7707.

“Biarlah watak yang kita lakonkan itu kecil tetapi yang penting ia mampu meninggalkan kesan mendalam di hati para penonton. Daripada diberi peluang melakonkan watak penting tetapi penonton lupa watak atau gaya lakonan kita,” ungkapnya penuh makna.

Selain Skrip 7707, Fouziah juga pernah membintangi filem berjudul Bujang Senang dan Rasukan Ablasa yang telah pun ditayangkan di pawagam baru-baru ini.

Jadi hero selepas lima tahun

BAGI pelakon Hafiz, Skrip 7707 merupakan filem yang banyak meninggalkan kenangan manis buatnya sepanjang lima tahun bergelar pelakon.

Ini kerana, Skrip 7707 merupakan filem kedua yang memberinya peluang melakonkan watak utama selepas mencuba pelbagai pekerjaan di set penggambaran filem-filem arahan A. Razak Mohaideen.

“Kali pertama saya diberi peluang melakonkan watak utama ialah melalui filem Rasukan Ablasa. Itu pun selepas lebih lima tahun saya berlakon sebagai pelakon tambahan.

“Saya pernah melakukan macam-macam kerja di set penggambaran filem termasuklah sebagai budak pembancuh air. Saya sentiasa cuba mempertingkatkan mutu lakonan saya dalam setiap watak yang diberikan kepada saya.

“Mungkin sebab itu saya diberi kepercayaan melakonkan watak penting dalam filem ini,” jelasnya yang mula berlakon dalam filem Kuliah Cinta pada tahun 2001.

Sebagai sebuah filem genre seram, Hafiz telah melakukan pelbagai cara termasuklah berbincang dengan A. Razak Mohaideen tentang watak Jasrul yang dilakonkan dalam Skrip 7707.

Katanya, sebagai pelakon baru, beliau sentiasa memerlukan bimbingan daripada pengarah berpengalaman seperti A. Razak bagi memantapkan lagi lakonannya dalam filem itu.

“Selain berbincang dengan pengarah, saya juga sentiasa melakukan inisiatif sendiri bagi menjayakan Skrip 7707 seperti meninjau sendiri lokasi sebelum penggambarannya dijalankan.

“Contohnya, saya melihat serta menghayati sendiri lokasi filem ini, Klinik Dr. Leela Ratos di tingkat dua klinik itu yang tidak digunakan lagi.

“Klinik yang terletak tidak jauh dari Puduraya, Kuala Lumpur, itu banyak memberi inspirasi kepada saya untuk melakonkan watak Jasrul,” katanya.

Sama seperti pelakon lain, Hafiz turut menggunakan peluang serta ruang watak yang terhad dalam Skrip 7707 bagi memastikan watak yang dilakonkannya itu mampu membantu menghidupkan lagi jalan cerita filem tersebut.

Seramai 40 pelakon membintangi filem ini antaranya Que Haidar, Fasha Sandha, Norman Hakim, Abby Abadi, Ruminah Sidek, M. Rajoli dan Mariani.

Kerap lakon watak jahat

JEHAN Miskin kerap muncul sama ada menerusi teater, drama atau filem dengan watak-watak hero sesuai dengan karekter dan penampilan dirinya sebagai pelakon muda.

Sungguhpun begitu, sebagai pelakon yang versatil beliau tidak mahu dicop sebegitu, sebaliknya sentiasa terbuka dalam melakonkan pelbagai watak sama ada baik atau jahat.

Pelakon berusia 30 tahun ini misalnya menjelaskan, dalam Skrip 7707 dia bukan melakonkan watak hero tetapi sebagai samseng yang bekerja sebagai tukang tarik kereta pemilik yang gagal melangsaikan hutang mereka.

“Dalam filem ini saya melakonkan watak anti-hero di mana ia berbeza dengan watak-watak lakonan saya sebelum ini. Saya rasa lebih mencabar melakonkan watak anti-hero.

“Contohnya, dalam Skrip 7707 saya terpaksa melakonkan watak itu dengan berkesan supaya ia nampak betul-betul jahat hinggakan kaki saya tercedera sewaktu penggambarannya diadakan.

“Saya difahamkan watak Bob yang saya lakonkan dalam filem ini dikatakan agak ganas. Tidak tahulah sama ada adegan itu dipotong oleh LPFM (Lembaga Penapis Filem Malaysia) atau pun tidak,” ceritanya.

Jelas Jehan, dia tidak terkilan jika adegan-adegan seperti itu tidak diluluskan oleh LPFM kerana dia telah mencuba sedaya upaya menghayati serta melakonkannya dengan sebaik mungkin.

Apatah lagi katanya, sebagai pelakon beliau hanya mengikut arahan pengarah dan berdasarkan skrip sepanjang menghayati watak Bob demi melihat Skrip 7707 mampu meninggalkan kesan di hati para penonton filem itu kelak.

“Sebagai pelakon, bagi saya adalah perkara biasa apabila adegan-adegan yang dilakonkan dipotong kerana sebab-sebab tertentu. Tetapi sebagai pelakon saya telah menjalankan tanggungjawab saya.

“Soal penat atau buang masa tidak timbul kerana saya puas dengan kerja dan bayaran yang saya terima daripada hasil kerja saya. Kalau ikutkan memanglah penat kerana dalam Skrip 7707 saya berlakon dari petang hingga subuh,” katanya lagi.

Sumber : Utusan Malaysia [16/06/09]

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP