Until Death Do Us Part - Jonas

Jumaat, Jun 26, 2009

#554. Hebat Sangatkah Long Piah?

SEWAKTU sidang media yang bertempat di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur Selasa lalu, penasihat penerbitan filem Long Piah, Dr. Abu Hassan Hasbullah tidak henti-henti melaungkan kehebatan karya tersebut.Bukan itu sahaja, kedengaran suaranya dengan sepenuh keyakinan mengungkapkan Long Piah menjadi metamorfosis filem genre purba Melayu pertama yang dihasilkan di abad ke-21 setelah sekian lama lenyap.

Beberapa kali jugalah Abu Hassan mengisyaratkan perkara sama kepada tetamu yang hadir termasuk pihak media.Kenyataan tersebut memang mengejutkan ramai sedangkan seluruh rakyat di Malaysia sudah mengetahui bahawa Puteri Gunung Ledang menjadi filem klasik yang menemui khalayak pada tahun 2004.

Filem Long Piah yang belum memulakan penggambarannya tetapi sudah diangkat darjatnya tinggi melangit. Filem itu dijangka memulakan penggambaran pada bulan September dan berakhir pada November nanti.

Lantaran itu, timbul pertanyaan apakah 'muslihat' penasihat Long Piah yang juga merupakan pensyarah di Jabatan Media Universiti Malaya itu?

Atau barangkali dia sengaja mahu mencipta kontroversi murahan bagi memperkenalkan filem tersebut sebagai strategi melariskan karya terbitan Seven Sky Pictures Sdn. Bhd. itu apabila ia ditayangkan di panggung wayang pada tahun 2010.

Biarpun ucapannya itu menimbulkan sedikit kecelaruan, namun Abu Hassan punya alasan relevan untuk merungkai kata-kata yang terlahir daripada bibirnya.

Menurut Abu Hassan, Seven Sky Pictures berani membuat deklarasi berkenaan berdasarkan tiga fakta yang sudah diteliti sebelum ini.

"Pertama sekali, kisah Long Piah mengangkat dasar kenegaraan yang berkait rapat dengan kebangkitan negara-negara Melayu sebagai simbol kuasa empayar Melayu dengan kedaulatan Raja-Raja atau penguasa seperti Bendahara, Penghulu dan Laksamana.

"Faktor keduanya merupakan kesatriaan atau keperwiraan yang menerangkan kelahiran tokoh-tokoh satria, perwira dan pahlawan Melayu yang menjadi sumber hero Melayu.

"Kesaktian tergolong sebagai fakta ketiga yang menceritakan kemunculan pengaruh pengetahuan atau intelektualisme dengan ciri-ciri yang digambarkan dalam peristiwa pemilikan kuasa luar biasa atau sakti.

"Ini dapat dilihat melalui penguasaan ilmu persilatan, persenjataan dan hikmat lain sama ada kesan dari pengaruh agama Islam mahupun impak animisme yang masih kuat.

"Fakta-fakta inilah yang menjadikan filem Long Piah diangkat sebagai projek pertama filem purbawara setelah berpuluh-puluh tahun karya genre sama tidak dilaksanakan," katanya sambil menerangkan keadaan sebenar.

Menjelaskan kelainan antara Puteri Gunung Ledang dan Long Piah, Abu Hassan memandang dua karya berkenaan ada perbezaan yang ketara sesama sendiri.

"Puteri Gunung Ledang memang dianggap sebagai sebuah filem purba namun hakikat sebenarnya berada dalam kategori karya epik.

"Saya boleh cakap macam ini sebab Puteri Gunung Ledang diambil daripada sejarah yang ada dalam teks Sulalatus Salatin.

"Puteri Gunung Ledang bagaimanapun ada unsur sejarah yang benar-benar terjadi dan wujud walaupun diterjemahkan ke dalam bentuk baru.

"Watak dalam Puteri Gunung Ledang memang hidup dan bernafas sekali gus menjadi sebahagian daripada sejarah," jelas Abu Hassan menjawab persoalan yang diajukan.

Beritahunya lagi, filem berunsur purba tidak terpinjam atau tidak tercedok daripada mana-mana kesusasteraan asing baik di Timur mahupun Barat.

"Long Piah disampaikan dengan penceritaan lisan secara langsung oleh para penglipur lara atau penghulu yang menjadi tokoh intelektual kuno sepanjang perkembangan tamadun Melayu sejak abad ke-7.

"Kisah Long Piah bukannya dianggap sejarah. Ia sebaliknya seperti kebudayaan yang dijelmakan sebagai sebuah kepercayaan baru iaitu sastera Melayu purba.

"Bentuk dan kandungan sastera jenis ini mengangkat peristiwa sejarah serta pengalaman merentasi zaman oleh manusia Melayu hingga akhirnya naratif ini tersusun dengan sendirinya lalu membentuk lingkungan karya yang luar biasa.

"Long Piah umpama hikayat yang dicipta dan kami di Seven Sky Pictures ingin menjadikan watak Long Piah ini sebagai fenomena hingga membuatkan orang ramai tahu Long Piah wujud dan tercari-cari di mana makam individu ini," ujarnya panjang lebar.

Bukannya mudah untuk menjayakan filem Long Piah apatah lagi ia memerlukan kajian terperinci agar tidak melanggar cerita asalnya.

Lalu tidak hairanlah apabila Seven Sky Pictures mengambil masa selama enam bulan bermula Januari lalu bagi melakukan penyelidikan dengan mendapatkan bantuan daripada individu-individu tertentu termasuk mendapatkan khidmat nasihat Abu Hassan.

Filem Long Piah yang akan menjadikan tiga buah negeri iaitu Kelantan, Kedah dan Perak sebagai lokasi penggambaran mendapat sentuhan daripada sutradara muda dan berbakat besar, Ruzaimie Datuk Aziz Singah.

Long Piah juga dilihat bakal menjadi sebuah filem yang menarik kerana ia menampilkan banyak imej janaan komputer bagi menzahirkan zaman silam yang realistik sifatnya.

Nasha teraju utama

Dalam pada itu, aktres terkenal Nasha Aziz dan Datuk Dr. Zamshuri Ramli dipilih bagi membintangi filem yang menelan perbelanjaan yang dipersetujui pihak produksi dengan minimum sebanyak RM2 hingga RM4 juta secara maksimumnya.

Seven Sky Pictures juga akan mengadakan sesi uji bakat hujung bulan ini atau pertengahan Julai bagi mencari 10 hingga 15 orang pelakon yang mampu membawakan watak pendekar.

Menurut Ruzaimie, pihaknya tidak menetapkan syarat pelakon-pelakon itu perlu mempunyai kemahiran bersilat.

"Mereka sebaliknya yang terdiri daripada orang biasa ataupun atlet sukan juga boleh menghadiri uji bakat ini.

"Tiada sebarang spesifikasi yang ditetapkan untuk individu-individu yang ingin memegang watak pendekar kerana pihak kami akan memberi bantuan dan tunjuk ajar kepada mereka.

"Walaupun saya menyedari bakal berdepan dengan cabaran dan rintangan kerana bukan mudah untuk menghasilkan filem berbentuk purba namun saya tetap teruja untuk menyudahkan Long Piah.

"Harapan saya agar Long Piah dapat diterima dengan baik oleh peminat. Sokonglah filem pertama terbitan Seven Sky Pictures ini," ungkapnya berterus-terang.

Bagi pelakon utamanya, Zamshuri, dia juga ternanti-nanti untuk bekerjasama dengan kalangan cendiakawan terutama Abu Hassan dan Ruzaimie.

"Pastikan peminat di luar sana memberikan sokongan kepada Long Piah kerana masyarakat sendiri sudah lama mendahagakan filem genre purba," luahnya.

Sumber : Kosmo [18/06/09]
Oleh FAIZAL SAHARUNI

Catat Ulasan

Layar Reader

Layar Komuniti II

Empunya Diri

Foto saya
Nature Luver, Movie Buff, Bookworm, Photogeek, Bread Krazy,

Layar Frenz I

Layar Subscribe

Add to Google Reader or Homepage

Subscribe in NewsGator Online

Add to My AOL

Subscribe in Bloglines

Layar Frenz II

Layar Community

  ©Layar 2009 Template by Our Blogger Templates

Back to TOP